Pelbagai Azab kepada Penghuni Neraka dan Pertengkaran antara Mereka
Surah 38: Sad (55 – 64)
Ayat 55
هَـٰذَا ۚ وَإِنَّ لِلطَّـٰغِينَ لَشَرَّ مَـَٔابٍ
Beginilah (keadaan mereka). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang derhaka, benar-benar (disediakan) tempat kembali yang buruk.
Ayat 56
جَهَنَّمَ يَصْلَوْنَهَا فَبِئْسَ ٱلْمِهَادُ
(Iaitu) Neraka Jahannam, mereka memasukinya, maka itulah seburuk-buruk tempat tinggal.
Setelah menyebutkan tentang balasan kenikmatan-kenikmatan kepada ahli syurga maka dalam ayat ini, Allah Swt menyebutkan pula tentang balasan kepada orang-orang yang kafir terhadap-Nya dan mendustakan para Rasul-Nya. Sesungguhnya mereka akan mendapat tempat kembali yang sangat buruk lagi hina.
Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“……………..dan Allah memurkai dan mengutuk mereka serta menyediakan bagi mereka Neraka Jahannam. Dan (Neraka Jahannam) itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
Al-Fath 48:6
Ayat 57
هَـٰذَا فَلْيَذُوقُوهُ حَمِيمٌ وَغَسَّاقٌ
Inilah (azab neraka), biarlah mereka merasakannya, (minuman mereka) air yang sangat panas dan air yang sangat dingin.
Ayat 58
وَءَاخَرُ مِن شَكْلِهِۦٓ أَزْوَٰجٌ
Dan azab yang lain yang serupa itu bermacam-macam.
Orang-orang yang kufur kepada Allah Swt akan dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam yang penuh dengan azab yang berat dalam api yang menyala.
Minuman mereka pula adalah air yang tersangat panas sehingga membakar kulit dan air yang tersangat sejuk yang tidak boleh diminum kerana terlalu sejuk dan menyakitkan. Selain itu, mereka juga akan ditimpakan azab-azab yang lain bahkan lebih menyakitkan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
An-Nisa’ 4:56
Ayat 59
هَـٰذَا فَوْجٌ مُّقْتَحِمٌ مَّعَكُمْ ۖ لَا مَرْحَبًۢا بِهِمْ ۚ إِنَّهُمْ صَالُوا۟ ٱلنَّارِ
(Dikatakan kepada mereka), “Ini adalah suatu rombongan (pengikut-pengikutmu) yang masuk berasak-asak bersama-sama kamu (ke neraka).” Tiadalah ucapan selamat datang kepada mereka kerana sesungguhnya mereka akan masuk neraka.
Pada saat orang-orang yang melampaui batas itu masuk ke dalam neraka, sebahagian daripada mereka mencaci sebahagian yang lain. Manakala sebahagian yang lain pula mengatakan tidak ada ucapan selamat datang bagi mereka, sesungguhnya mereka akan merasakan azab sebagaimana yang dirasakan oleh sebahagian mereka.
Ayat 60
قَالُوا۟ بَلْ أَنتُمْ لَا مَرْحَبًۢا بِكُمْ ۖ أَنتُمْ قَدَّمْتُمُوهُ لَنَا ۖ فَبِئْسَ ٱلْقَرَارُ
(Pengikut-pengikut mereka) menjawab, “Sebenarnya tidak ada ucapan selamat datang bagimu, kerana kamulah yang menjerumuskan kami ke dalam azab, maka itulah seburuk-buruk tempat menetap.”
Ayat 61
قَالُوا۟ رَبَّنَا مَن قَدَّمَ لَنَا هَـٰذَا فَزِدْهُ عَذَابًا ضِعْفًا فِى ٱلنَّارِ
Mereka berkata (lagi), “Wahai Rabb kami, sesiapa yang menjerumuskan kami ke dalam azab ini maka tambahkanlah azab kepadanya berlipat ganda di dalam neraka.”
Allah Swt menceritakan bahawa para pengikut berkata kepada para pemimpin bahawa tidak ada ucapan selamat datang untuk para pemimpin itu. Ini kerana para pemimpin itulah yang menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam, seburuk-buruk tempat tinggal. Kemudian mereka memohon kepada Allah Swt agar para pemimpin itu ditambahkan azab yang berlipat ganda.
Allah Swt menceritakan tentang perbicaraan dan permusuhan sesama penghuni neraka. Mereka menggantikan ucapan selamat di antara mereka dengan cara saling melaknat, menuduh dan mengingkari. Satu kelompok yang masuk terlebih dahulu akan melaknat kelompok yang lain yang baru masuk neraka.
Ayat 62
وَقَالُوا۟ مَا لَنَا لَا نَرَىٰ رِجَالًا كُنَّا نَعُدُّهُم مِّنَ ٱلْأَشْرَارِ
Dan (orang-orang derhaka) berkata, “Mengapa kami tidak melihat orang-orang yang dahulu (di dunia) yang kami anggap sebagai orang-orang yang jahat (hina).
Ayat 63
أَتَّخَذْنَـٰهُمْ سِخْرِيًّا أَمْ زَاغَتْ عَنْهُمُ ٱلْأَبْصَـٰرُ
Adakah kerana kami dahulu menjadikan mereka olok-olokan, ataupun kerana mata kami tidak dapat melihat mereka?”
Allah Swt menyatakan orang-orang kafir yang berada dalam neraka tertanya-tanya dengan kehairanan kerana mereka tidak melihat atau bertemu orang-orang yang mereka yakini sesat ketika di dunia dahulu. Mereka maksudkan ‘orang-orang yang sesat’ itu adalah orang-orang miskin daripada kaum mukmin. Ini kerana mereka meyakini bahawa orang-orang mukmin akan dimasukkan ke dalam neraka.
Seterusnya, orang-orang kafir itu bertanya lagi adakah kerana dahulunya mereka menindas dan menjadikan orang-orang mukmin sebagai ejek-ejekan menyebabkan mereka tidak dapat melihat orang-orang mukmin. Mereka juga tertanya-tanya adakah orang-orang mukmin ada bersama mereka di dalam neraka, hanya sahaja mereka tidak melihat orang-orang mukmin itu.
Ayat 64
إِنَّ ذَٰلِكَ لَحَقٌّ تَخَاصُمُ أَهْلِ ٱلنَّارِ
Sesungguhnya, yang demikian itu benar-benar terjadi, (iaitu) pertengkaran di antara penghuni neraka.
Allah Swt kemudian menegaskan bahawa pertengkaran antara para penghuni neraka dan pertengkaran antara pemimpin dengan pengikutnya pasti berlaku.
Firman-firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“……….Setiap kali suatu umat masuk, dia melaknat saudaranya, sehingga apabila mereka telah masuk semuanya, berkatalah orang yang (masuk) setelahnya (kepada) orang yang (masuk) terlebih dahulu, ‘Wahai Rabb kami, mereka telah menyesatkan kami. Datangkanlah seksaan api neraka yang berlipat ganda kepada mereka.’ Allah berfirman, ‘Masing-masing akan mendapatkan (seksaan) yang berlipat ganda, tetapi kamu tidak mengetahuinya.’”
Al-A’raf 7:38
“Dan para penghuni syurga menyeru kepada penghuni-penghuni neraka, ‘Sesungguhnya, kami telah memperoleh apa yang dijanjikan Rabb kepada kami itu semuanya benar. Adakah kamu telah memperoleh apa yang dijanjikan Rabb kepadamu itu benar?’ Mereka menjawab, ‘Benar.’ Kemudian penyeru (malaikat) berseru di antara mereka, ‘Laknat Allah bagi orang-orang yang zalim. (Iaitu) orang-orang yang menghalang (orang lain) daripada jalan Allah dan ingin memesongkannya. Mereka itulah yang mengingkari kehidupan akhirat.’”
Al-A’raf 7:44-45