Kenikmatan ke atas Nabi Sulaiman as
Surah 38: Sad (36 – 40)
Ayat 36
فَسَخَّرْنَا لَهُ ٱلرِّيحَ تَجْرِى بِأَمْرِهِۦ رُخَآءً حَيْثُ أَصَابَ
Kemudian Kami tundukkan kepadanya angin yang berhembus dengan baik menurut perintahnya ke mana sahaja yang dia kehendaki.
Dalam ayat 36-40 ini, Allah Swt menyatakan Nabi Sulaiman as diberikan lima kenikmatan iaitu:
▪️ Ditundukkan angin dan menjadikannya menurut perintah Nabi Sulaiman as.
Angin tersebut berhembus dengan kekuatan angin taufan dan cepat tanpa membahayakan atau merosakkan sekelilingnya. Angin itu membawa Nabi Sulaiman as ke mana sahaja yang diingininya.
Ayat 37
وَٱلشَّيَـٰطِينَ كُلَّ بَنَّآءٍ وَغَوَّاصٍ
Dan (Kami tundukkan juga kepadanya) syaitan-syaitan (bangsa jin), semuanya mahir membina bangunan dan menyelam.
▪️ Menundukkan para jin untuk melaksanakan segala perintahnya seperti mendirikan bangunan-bangunan mewah, menyelam ke dalam lautan untuk mengambil mutiara, marjan dan batu-batu perhiasan serta melakukan tugas-tugas yang lain.
Ayat 38
وَءَاخَرِينَ مُقَرَّنِينَ فِى ٱلْأَصْفَادِ
Dan (syaitan) yang lain yang terikat dalam belenggu.
▪️ Syaitan yang membangkang ditundukkan bagi Nabi Sulaiman as. Mereka diikat dan dibelenggu untuk mencegah kejahatan mereka serta sebagai hukuman bagi mereka.
Ayat 39
هَـٰذَا عَطَآؤُنَا فَٱمْنُنْ أَوْ أَمْسِكْ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Inilah anugerah kami, maka berikanlah (kepada orang lain) atau tahanlah (untuk dirimu sendiri) dengan tiada pertanggungjawaban.
▪️ Nabi Sulaiman as diberikan kebebasan untuk menguruskan anugerah Allah Swt kepadanya berupa kerajaan yang besar, kekayaan, menguasai angin dan syaitan tanpa dipertanggungjawabkan kelak.
Ayat 40
وَإِنَّ لَهُۥ عِندَنَا لَزُلْفَىٰ وَحُسْنَ مَـَٔابٍ
Dan sesungguhnya dia (Sulaiman) memiliki kedudukan yang dekat di sisi Kami dan tempat kembali yang baik.
▪️ Nabi Sulaiman as mendapat kedudukan yang tinggi dan penghormatan di sisi Allah Swt serta tempat kembali yang baik iaitu syurga dengan limpahan kenikmatan. Baginda mendapat limpahan yang besar di sisi-Nya pada Hari Kiamat kelak.