Surah 38: Sad (30 – 35)

Ujian ke atas Nabi Sulaiman as

Surah 38: Sad (30 – 35)


Ayat 30

وَوَهَبْنَا لِدَاوُۥدَ سُلَيْمَـٰنَ ۚ نِعْمَ ٱلْعَبْدُ ۖ إِنَّهُۥٓ أَوَّابٌ

Dan kepada Daud, Kami kurniakan (anak bernama) Sulaiman, dia adalah sebaik-baik hamba dan sangat taat (kepada Allah).

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menganugerahkan Nabi Daud as ramai anak termasuk Nabi Sulaiman as. Namun di kalangan anak-anak Nabi Daud as, Nabi Sulaiman as mendapat pujian dan sanjungan kerana baginda seorang yang taat, tekun beribadah dan sentiasa bertaubat (kembali) kepada-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan Sulaiman telah mewarisi (kenabian dan kerajaan) Daud……….”

An-Naml 27:16

Ayat 31

إِذْ عُرِضَ عَلَيْهِ بِٱلْعَشِىِّ ٱلصَّـٰفِنَـٰتُ ٱلْجِيَادُ

(Ingatlah) pada suatu petang, ketika dia (Sulaiman) dipertunjukkan kepadanya kuda-kuda yang tenang semasa berhenti dan tangkas semasa berlari.

Ayat 32

فَقَالَ إِنِّىٓ أَحْبَبْتُ حُبَّ ٱلْخَيْرِ عَن ذِكْرِ رَبِّى حَتَّىٰ تَوَارَتْ بِٱلْحِجَابِ

Maka dia berkata, “Sesungguhnya aku menyukai kesenangan terhadap barang yang baik (kuda) sehingga aku lalai mengingati Rabbku sampai kuda itu hilang daripada pandangan.

Kemudian Allah Swt menyebutkan dua peristiwa yang menyebabkan Nabi Sulaiman as bertaubat iaitu:

▪️   Diuji dengan ketangkasan kuda.

Sebahagian mufassir menyatakan Nabi Sulaiman as disibukkan oleh kuda-kudanya sehingga berlalu waktu solat asar. Apa yang pasti baginda tidak akan meninggalkan solat asar melainkan kerana terlupa.

Ayat 33

رُدُّوهَا عَلَىَّ ۖ فَطَفِقَ مَسْحًۢا بِٱلسُّوقِ وَٱلْأَعْنَاقِ

(Kemudian Sulaiman berkata kepada orang-orangnya), “Bawalah kembali kuda itu kepadaku”, maka dia pun menyapu kaki dan leher kuda itu (seekor demi seekor).

Lalu Nabi Sulaiman as menyuruh pelatih kuda membawa semua kuda itu kepadanya lalu baginda pun mengusap-usap kaki dan leher kuda itu sebagai rasa syukurnya kepada Allah Swt.

Sebahagian ulama menyatakan setelah Nabi Sulaiman as meninggalkan minatnya terhadap kuda kerana Allah Swt, maka Dia menggantikannya dengan yang lebih baik iaitu angin yang berhembus dan datang sesuai dengan perintahnya. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, bahawa Qatadah dan Abud Dahma’ yang sering melakukan perjalanan ke Baitullah, kedua-duanya berkata, “Kami mendatangi seorang lelaki Badwi. Lalu lelaki Badwi itu memberitahu kami, Rasulullah saw mengajarkannya sebahagian daripada apa yang diajarkan oleh Allah Swt kepadanya. Baginda bersabda:

Tidaklah engkau meninggalkan sesuatu kerana mengharapkan redha Allah Swt melainkan Dia akan memberimu (menggantikannya untukmu) sesuatu yang lebih baik daripadanya.’”

(HR. Ahmad)

Ayat 34

وَلَقَدْ فَتَنَّا سُلَيْمَـٰنَ وَأَلْقَيْنَا عَلَىٰ كُرْسِيِّهِۦ جَسَدًا ثُمَّ أَنَابَ

Dan sesungguhnya, Kami telah menguji Sulaiman dan Kami jadikannya terlantar di atas singgahsananya dengan tubuh (yang lemah kerana sakit), kemudian dia bertaubat.

▪️   Diuji dengan kesakitan.

Allah Swt juga menguji Nabi Sulaiman as dengan sakit yang berat di atas singgahsananya sehingga badannya begitu lemah. Kemudian baginda bertaubat dan Allah Swt mengembalikan semula kesihatannya seperti sediakala.

Ayat 35

قَالَ رَبِّ ٱغْفِرْ لِى وَهَبْ لِى مُلْكًا لَّا يَنۢبَغِى لِأَحَدٍ مِّنۢ بَعْدِىٓ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْوَهَّابُ

Dia (Sulaiman) berkata, “Wahai Rabbku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seseorang pun sesudahku, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pemberi.”

Seterusnya, Nabi Sulaiman as memohon agar Allah Swt mengampuninya daripada segala kesalahan yang pernah baginda lakukan. Baginda juga memohon agar dianugerahkan kerajaan yang besar yang tidak akan dimiliki oleh sesiapa pun sesudahnya.

Pada zahirnya ayat ini boleh difahami bahawa Nabi Sulaiman as memohon kepada Allah Swt agar kerajaan seumpama yang dimilikinya tidak akan diberikan kepada sesiapa pun sesudahnya daripada kalangan manusia. Ini termasuk kebolehan baginda memerintahkan angin membawanya ke mana sahaja yang dikehendakinya dan mengawal syaitan termasuk jin ifrit untuk mengikuti perintahnya. Selaras dengan ini terdapat riwayat sahih daripada Rasullulah saw menyentuh perkara ini. Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya ifrit itu termasuk golongan jin. Dia telah datang kepadaku malam tadi untuk mengganggu solatku, lalu Allah memberikan kemampuan kepadaku untuk melihatnya, lalu aku berkeinginan mengikatnya di pagar masjid sehingga kalian semua dapat menyaksikannya, kemudian aku teringat doa saudaraku Sulaiman, ‘Wahai Rabbku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seorang pun sesudahku.’ Lalu aku melepaskannya seraya mengusirnya jauh-jauh.”

(HR. Al-Bukhari)