Surah 38: Sad (21 – 26)

Kisah Dua Orang Lelaki Meminta Nabi Daud as Memberikan Keputusan Terhadap Perselisihan Mereka

Surah 38: Sad (21 – 26)


Ayat 21

وَهَلْ أَتَىٰكَ نَبَؤُا۟ ٱلْخَصْمِ إِذْ تَسَوَّرُوا۟ ٱلْمِحْرَابَ

Dan adakah telah sampai kepadamu (Muhammad) berita pertikaian antara (dua orang) ketika mereka memanjat dinding mihrab (tempat ibadah Daud)?

Ayat 22

إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَىٰ دَاوُۥدَ فَفَزِعَ مِنْهُمْ ۖ قَالُوا۟ لَا تَخَفْ ۖ خَصْمَانِ بَغَىٰ بَعْضُنَا عَلَىٰ بَعْضٍ فَٱحْكُم بَيْنَنَا بِٱلْحَقِّ وَلَا تُشْطِطْ وَٱهْدِنَآ إِلَىٰ سَوَآءِ ٱلصِّرَٰطِ

Ketika mereka masuk (menemui) Daud, dia (Daud) terkejut dengan (kedatangan) mereka. Mereka berkata, “Janganlah kamu berasa takut. (Kami) adalah dua orang yang berselisih yang salah seorang daripada kami berbuat zalim kepada yang lain. Maka berilah keputusan antara kami dengan adil dan janganlah kamu menyimpang daripada kebenaran dan tunjukilah kami ke jalan yang lurus.

Dalam ayat-ayat di atas, walaupun Allah Swt memulakannya dengan pertanyaan, namun maksudnya ialah untuk memberitahu Rasulullah saw, suatu berita tentang orang-orang yang bertengkar menerpa masuk ke tempat Nabi Daud as saat baginda sedang berada di tempat peribadatan. Mereka datang dengan cara memanjat dinding mihrab dan perbuatan mereka itu menyebabkan baginda terkejut serta menyangka mereka hendak berbuat sesuatu yang tidak baik kepadanya.

Lalu mereka bersegera menenangkan hati Nabi Daud as dengan mengatakan mereka berdua sedang berselisih tentang suatu perkara. Salah seorang daripada mereka berbuat zalim kepada yang lain, maka baginda diminta untuk memberikan keputusan secara adil dan tidak menyimpang daripada kebenaran serta ditunjukkan mereka ke jalan yang lurus.

Ayat 23

إِنَّ هَـٰذَآ أَخِى لَهُۥ تِسْعٌ وَتِسْعُونَ نَعْجَةً وَلِىَ نَعْجَةٌ وَٰحِدَةٌ فَقَالَ أَكْفِلْنِيهَا وَعَزَّنِى فِى ٱلْخِطَابِ

Sesungguhnya saudaraku ini mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku mempunyai seekor sahaja, lalu dia berkata, ‘Serahkanlah kambingmu itu kepadaku dan dia mengalahkan aku dalam perdebatan.’”

Salah seorang daripada mereka berdua berkata kepada Nabi Daud as bahawa lelaki yang datang bersama-samanya itu adalah saudaranya. Saudaranya itu mempunyai 99 ekor kambing betina, manakala dia memiliki seekor sahaja. Saudaranya itu memintanya agar seekor kambing kepunyaannya itu diberikan kepadanya. Saudaranya itu telah mengalahkannya dalam menjelaskan hujjah atas perdebatan mereka.

Ayat 24

قَالَ لَقَدْ ظَلَمَكَ بِسُؤَالِ نَعْجَتِكَ إِلَىٰ نِعَاجِهِۦ ۖ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ ٱلْخُلَطَآءِ لَيَبْغِى بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَقَلِيلٌ مَّا هُمْ ۗ وَظَنَّ دَاوُۥدُ أَنَّمَا فَتَنَّـٰهُ فَٱسْتَغْفَرَ رَبَّهُۥ وَخَرَّ رَاكِعًا وَأَنَابَ

Dia (Daud) berkata, “Sesungguhnya dia telah berbuat zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu untuk ditambahkan kepada kambingnya. Dan sesungguhnya kebanyakan daripada orang-orang yang bersyarikat (bersekutu) itu sebahagian mereka berbuat zalim kepada sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, dan amat sedikitlah mereka ini.” Dan Daud mengetahui bahawa Kami mengujinya, maka dia meminta ampun kepada Rabbnya lalu menyungkur sujud dan bertaubat.

Setelah mendengar cerita lelaki tersebut, Nabi Daud as terus membuat keputusan dengan mengatakan sesungguhnya saudara lelaki itu telah berbuat zalim kepada lelaki itu dengan meminta kambingnya itu untuk ditambahkan kepada kambing saudaranya sehingga kambing saudaranya bertambah banyak.

Memang terdapat ramai di antara orang-orang yang bersyarikat (bersekutu) itu berbuat zalim kepada yang lain kerana pihak yang lemah tidak memiliki bukti yang memihak kepada mereka. Manakala orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan yang menjunjung tinggi keadilan, sangatlah sedikit.

Setelah memberi keputusan berdasarkan aduan sebelah pihak sahaja, Nabi Daud as kemudian menyedari dan menduga bahawa Allah Swt mengujinya. Maka baginda segera memohon keampunan kepada-Nya atas kekeliruannya, lalu baginda menyungkur sujud dan bertaubat.

Sujud dalam surah ini bukanlah sujud yang dikuatkan oleh syariat untuk sujud tilawah melainkan ia adalah sujud syukur.

Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Sesungguhnya Nabi saw sujud ketika membaca surah Sad, lalu baginda bersabda:

‘Daud as sujud pada-Nya sebagai tanda bertaubat, sedangkan kita sujud padanya sebagai tanda rasa syukur.’”

(HR. An-Nasa’i)

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“……….Kami telah beri petunjuk kepada Nuh dan kepada sebahagian keturunannya (Ibrahim) iaitu Daud, Sulaiman……….”

Al-An’am 6:84

Ayat 25

فَغَفَرْنَا لَهُۥ ذَٰلِكَ ۖ وَإِنَّ لَهُۥ عِندَنَا لَزُلْفَىٰ وَحُسْنَ مَـَٔابٍ

Maka Kami mengampuni baginya (kesalahannya) itu. Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami dan tempat kembali yang baik.

Allah Swt telah mengampunkan kesalahan Nabi Daud as. Sesungguhnya baginda tergolong dalam kalangan orang-orang yang dekat dengan-Nya. Di akhirat kelak baginda dikurniakan tempat kembali yang baik iaitu ketinggian darjat di syurga, disebabkan taubatnya dan keadilannya dalam memerintah.

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“Mereka itu adalah (para Nabi) yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka………”

Al-An’am 6:90

Abdullah Daripada ‘bin ‘Amr ra, Rasulullah saw bersabda:

“Orang-orang yang adil berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya di sisi kanan Rabb Yang Maha Penyayang, sedangkan kedua-dua Tangan-Nya adalah kanan. Mereka itu adalah orang-orang yang bersikap adil terhadap keluarga mereka dan terhadap urusan yang mereka pegang (atau amanah kekuasaan yang mereka pikul).”

(HR. Muslim)

Ayat 26

يَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلْنَـٰكَ خَلِيفَةً فِى ٱلْأَرْضِ فَٱحْكُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌۢ بِمَا نَسُوا۟ يَوْمَ ٱلْحِسَابِ

Allah berfirman, “Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan Hari Perhitungan.”

Kemudian Allah Swt menyatakan kepada Nabi Daud as bahawa Dia telah menjadikan baginda berkuasa dan memiliki kerajaan di muka bumi. Maka hendaklah baginda memutuskan hukuman di antara manusia dengan adil dan tidak boleh mengikut hawa nafsu dalam menetapkan sesuatu hukuman.

Ini kerana hal itu akan menyesatkan baginda daripada agama dan syariat Allah Swt. Sesungguhnya orang-orang yang tersesat dari jalan-Nya akan mendapat seksaan yang pedih di dalam api neraka, disebabkan kelalaian mereka terhadap Hari Pembalasan dan perhitungan amal.

Dalam ayat ini juga terkandung pesan kepada ulil amri (pemerintah) agar mereka menetapkan hukum dengan menegakkan kebenaran yang diturunkan daripada Allah Swt dan tidak menyimpang daripadanya kerana hal itu akan menyesatkan mereka daripada jalan-Nya.