Kedudukan Al-Quran dan Pengingkaran Kaum Musyrik
Surah 38: Sad (1 – 11)
Ayat 1
صٓ ۚ وَٱلْقُرْءَانِ ذِى ٱلذِّكْرِ
Sad, demi Al-Quran yang mempunyai keagungan (atau penjelasan).
Sad merupakan salah satu huruf hijaiyyah dan pembuka kepada surah ini.
Allah Swt bersumpah dengan Al-Quran yang agung, yang memiliki penjelasan yang lengkap, mencakupi bab aqidah, syariat, berita gembira dan ancaman-Nya sebagai panduan kepada manusia dalam menjalani kehidupan di dunia demi kepentingan akhirat.
Ada dua pendapat tentang maksud ذِى ٱلذِّكْرِ dalam ayat ini:
🔹 Ad-Dahhak, Qatadah dan Ibnu Jarir mengatakan maksudnya ialah peringatan.
🔹 Ibnu ‘Abbas, Sa’id bin Jubair, Ismail bin Abi Khalid, Ibnu ‘Uyainah, Abu Husain, Abu Salih dan As-Suddi mengatakan maksudnya ialah yang memiliki keagungan, kemuliaan, kehormatan dan kedudukan.
Kedua-dua pendapat ini tidak saling bertentangan, kerana Al-Quran adalah sebuah kitab yang mulia serta mengandungi peringatan, hujjah-hujjah dan ancaman.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya telah Kami turunkan kepadamu sebuah kitab yang di dalamnya terdapat sebab-sebab kemuliaan bagimu………..”
Al-Anbiya’ 21:10
“Dan sesungguhnya Kami benar-benar telah mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pelajaran?”
Al-Qamar 54:32
Ayat 2
بَلِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فِى عِزَّةٍ وَشِقَاقٍ
Tetapi orang-orang yang kafir (berada) dalam kesombongan dan permusuhan.
Ayat 3
كَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَبْلِهِم مِّن قَرْنٍ فَنَادَوا۟ وَّلَاتَ حِينَ مَنَاصٍ
Betapa banyak umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, lalu mereka meminta tolong padahal (waktu itu) bukanlah masa untuk lari melepaskan diri.
Ayat 2 dan 3 ini merupakan isi sumpah Allah Swt iaitu walaupun di dalam Al-Quran itu terdapat peringatan, namun orang-orang kafir tidak dapat mengambil manfaatnya kerana sikap mereka yang sombong dan angkuh terhadap Al-Quran.
Kemudian Allah Swt mengancam mereka dengan seksaan sepertimana seksaan yang membinasakan umat-umat terdahulu kerana penentangan mereka terhadap para Rasul yang diutuskan-Nya dan pendustaan terhadap kitab-kitab-Nya.
Ketika azab datang kepada mereka, mereka memohon pertolongan dan perlindungan kepada Allah Swt sedangkan permohonan mereka itu tidak bermanfaat sedikit pun bagi mereka. Pada waktu itu mereka tidak dapat lari untuk menghindarkan azab.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“(Iaitu) orang yang mendengar ayat-ayat Allah ketika dibacakan kepadanya, namun dia tetap menyombongkan diri seakan-akan dia tidak mendengarnya. Maka peringatkanlah dia dengan azab yang pedih.”
Al-Jathiyah 45:8
“(Keadaan mereka) seperti keadaan pengikut Firaun dan orang-orang sebelum mereka. Mereka mendustakan ayat-ayat Kami, maka Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan Allah sangat keras seksaan-Nya.”
Ali ‘Imran 3:11
Ayat 4
وَعَجِبُوٓا۟ أَن جَآءَهُم مُّنذِرٌ مِّنْهُمْ ۖ وَقَالَ ٱلْكَـٰفِرُونَ هَـٰذَا سَـٰحِرٌ كَذَّابٌ
Dan mereka hairan kerana mereka didatangi seorang pemberi peringatan (Rasul) daripada kalangan mereka, dan orang-orang kafir berkata, “Ini adalah seorang ahli sihir yang banyak berdusta.”
Allah Swt memberitahu keadaan orang-orang musyrik yang berasa hairan apabila Rasulullah saw diutuskan-Nya sebagai Rasul daripada kalangan manusia biasa seperti mereka. Mereka mendakwa baginda hanyalah seorang penyihir apabila mukjizat-mukjizat diperlihatkan kepada mereka.
Ayat ini menunjukkan bahawa orang-orang musyrik yang memiliki kedudukan dan kemewahan suka menentang Rasulullah saw tanpa memiliki hujjah dan bukti. Hal ini kerana perasaan dengki yang ada pada mereka kerana selama ini mereka mengharapkan seorang Rasul datang daripada kalangan pembesar dan tokoh yang hebat.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Adakah (patut) manusia (penduduk Mekah) berasa hairan bahawa Kami mewahyukan kepada seorang lelaki di antara mereka, ‘Berilah peringatan kepada menusia dan gembirakanlah orang-orang beriman, bahawa mereka mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Rabb mereka.’ Orang-orang kafir berkata, ‘Sesungguhnya orang ini (Muhammad) benar-benar adalah tukang sihir yang nyata.’”
Yunus 10:2
Ayat 5
أَجَعَلَ ٱلْـَٔالِهَةَ إِلَـٰهًا وَٰحِدًا ۖ إِنَّ هَـٰذَا لَشَىْءٌ عُجَابٌ
Mengapa dia menjadikan ilah-ilah itu Ilah yang satu sahaja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.
Ketika Rasulullah saw menyeru mereka meninggalkan kesyirikan dan kemudian mengesakan Allah Swt mereka enggan melakukannya. Mereka berasa hairan terhadap larangan menyekutukan Allah Swt kerana perbuatan menyembah berhala-berhala itu diwarisi daripada nenek moyang mereka dan perbuatan tersebut telah menjadi pegangan mereka.
Ayat 6
وَٱنطَلَقَ ٱلْمَلَأُ مِنْهُمْ أَنِ ٱمْشُوا۟ وَٱصْبِرُوا۟ عَلَىٰٓ ءَالِهَتِكُمْ ۖ إِنَّ هَـٰذَا لَشَىْءٌ يُرَادُ
Dan pergilah pemimpin-pemimpin mereka (sambil berkata), “Pergilah kamu dan tetaplah (menyembah) ilah-ilahmu, sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang dikehendaki.
Pemimpin dan pembesar daripada kalangan mereka menasihatkan mereka agar terus memegang agama mereka dan tidak memenuhi seruan tauhid yang disampaikan oleh Rasulullah saw.
Ibnu Jarir mengatakan bahawa maksud ayat, “Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang dikehendaki,” ialah pemimpin-pemimpin mereka mengatakan sesungguhnya ajaran tauhid yang diserukan oleh Rasulullah saw kepada mereka benar-benar dijadikannya sebagai alat untuk meraih kedudukan yang tinggi mengatasi mereka, juga agar mereka semua menjadi pengikutnya. Oleh itu, tidak perlu mereka menerima seruannya itu.
Ayat 7
مَا سَمِعْنَا بِهَـٰذَا فِى ٱلْمِلَّةِ ٱلْـَٔاخِرَةِ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا ٱخْتِلَـٰقٌ
Kami tidak pernah mendengar hal ini dalam agama yang terakhir. Ini (mengesakan Allah), tidak lain hanyalah (dusta) yang diada-adakan.
Mereka mengatakan bahawa mereka tidak pernah mendengar ajaran tauhid yang diserukan oleh Rasulullah saw pada ajaran terakhir iaitu agama Nasrani.
Ayat 8
أَءُنزِلَ عَلَيْهِ ٱلذِّكْرُ مِنۢ بَيْنِنَا ۚ بَلْ هُمْ فِى شَكٍّ مِّن ذِكْرِى ۖ بَل لَّمَّا يَذُوقُوا۟ عَذَابِ
Mengapa kitab (Al-Quran) itu diturunkan kepadanya di antara kita?” Sebenarnya mereka ragu-ragu terhadap kitab-Ku, dan sebenarnya mereka belum merasakan azab-(Ku).
Mereka berasa hairan kenapa Al-Quran diturunkan khusus kepada Rasulullah saw dan bukan kepada salah seorang di antara mereka. Ucapan ini menunjukkan kebodohan dan lemahnya pemikiran mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan mereka (juga) berkata, “Mengapa Al-Quran ini tidak diturunkan kepada orang besar (kaya dan berpengaruh) daripada salah satu dua negeri ini (Mekah dan Taif)?” Apakah mereka yang membahagi-bahagi rahmat Rabbmu? Kami-lah yang menentukan penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian daripada mereka ke atas sebahagian yang lain beberapa darjat……….”
Az-Zukhruf 43:31-32
Mereka mengatakan begitu kerana mereka belum merasakan azab dan kemurkaan Allah Swt. Kelak mereka akan mengetahui akibat daripada apa yang mereka ucapkan kerana pada Hari Kiamat kelak mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam.
Ayat 9
أَمْ عِندَهُمْ خَزَآئِنُ رَحْمَةِ رَبِّكَ ٱلْعَزِيزِ ٱلْوَهَّابِ
Atau apakah mereka itu mempunyai perbendaharaan rahmat Rabbmu yang Maha Perkasa lagi Maha Pemberi?
Selanjutnya, Allah Swt menjelaskan bahawa Dia-lah Yang mengatur kerajaan-Nya lagi Maha Berbuat terhadap apa yang dikehendaki-Nya. Yang memberikan apa yang dikehendaki-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, Yang memuliakan siapa yang dikehendaki-Nya, Yang menghinakan siapa yang dikehendaki-Nya, Yang memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Yang menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dia menurunkan Malaikat Jibril membawa perintah-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia jugalah yang mengunci mati hati sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Oleh itu, tiada seorang pun yang dapat memberinya petunjuk selain Allah Swt. Dan sesungguhnya semua hamba itu tidak berhak untuk mengatur kerajaan ini dan mereka tidak diserahkan sesuatu pun daripada urusan ini walaupun seberat biji sawi.
Dia-lah Yang Maha Perkasa yang Zat-Nya tidak dapat dijangkau. Dia Maha Pemberi yang memberi kepada siapa yang dikehendaki-Nya apa yang dikehendaki-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Ataukah mereka mempunyai bahagian daripada kerajaan (kekuasaan) meskipun mereka tidak akan memberi sedikit pun (kebaikan) kepada manusia. Atau adakah mereka dengki kepada manusia (Muhammad) kerana kurniaan yang telah diberikan Allah kepadanya? Sesungguhnya Kami telah memberikan kitab dan hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kepada mereka kerajaan (kekuasaan) yang besar. Maka di antara mereka (yang dengki itu), ada yang beriman kepadanya, dan ada pula yang menghalang (manusia beriman) kepadanya. Dan cukuplah (bagi mereka) Neraka Jahannam yang menyala-nyala apinya.”
An-Nisa’ 4:53-55
Ayat 10
أَمْ لَهُم مُّلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا ۖ فَلْيَرْتَقُوا۟ فِى ٱلْأَسْبَـٰبِ
Atau apakah mereka mempunyai kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya? (Jika ada), maka hendaklah mereka menaiki tangga-tangga (ke langit).
Seterusnya, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menanyakan kepada orang-orang musyrik atas sikap mereka yang ingkar dan sombong. Pertanyaan ini mengandungi cemuhan kerana sememangnya mereka tidak mempunyai kekuasaan sedikit pun dalam urusan ghaib dan kekuasaan Allah Swt.
Oleh itu pada akhir ayat ini, mereka dicabar menaiki tangga-tangga ke langit dan menghalang wahyu yang diturunkan kepada baginda. Sesungguhnya mereka pasti tidak akan mampu melakukannya. Maka dengan ini, jelaslah pengingkaran mereka kepada wahyu kerana sikap hasad dengki mereka.
Ayat 11
جُندٌ مَّا هُنَالِكَ مَهْزُومٌ مِّنَ ٱلْأَحْزَابِ
Suatu tentera yang besar yang berada di sana daripada golongan-golongan yang bersekutu, pasti akan dikalahkan.
Allah Swt menjelaskan keadaan orang-orang musyrik Mekah yang mendustakan kerasulan Nabi Muhammad saw dan mengingkari ajaran tauhidnya ibarat bala tentera yang besar, yang merupakan gabungan daripada kesatuan-kesatuan tentera.
Bala tentera ini bergerak untuk menghancurkan kaum mukmin namun mereka pasti akan dapat dikalahkan kerana perjuangan mereka tidak berlandaskan keyakinan yang kukuh, tetapi hanyalah kerana hasad dan sombong.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Atau mereka mengatakan, “Kami ini golongan bersatu yang pasti menang.” Golongan itu pasti dikalahkan dan mereka akan mundur ke belakang. Bahkan Hari Kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka dan Hari Kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pedih.”
Al-Qamar 54:44-46