Surah 37: As-Saffat (149 – 160)

Bantahan terhadap Orang Musyrik yang Menyatakan bahawa Malaikat sebagai Anak Perempuan Allah Swt

Surah 37: As-Saffat (149 – 160)


Ayat 149

فَٱسْتَفْتِهِمْ أَلِرَبِّكَ ٱلْبَنَاتُ وَلَهُمُ ٱلْبَنُونَ

Tanyakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka (orang-orang kafir Mekah), “Apakah untuk Rabbmu anak-anak perempuan dan untuk mereka anak lelaki?

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw bertanyakan dan meminta penjelasan serta hujjah daripada kaum musyrik atas kebodohan mereka yang mengatakan bahawa Allah Swt mempunyai anak-anak perempuan iaitu malaikat, padahal mereka sendiri menganggap hina anak-anak perempuan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Apakah (patut) untuk kamu yang lelaki dan untuk-Nya perempuan? Yang demikian itu tentulah suatu pembahagian yang tidak adil.”

An-Najm 53:21-22

“Dan apabila seseorang daripada mereka dikhabarkan dengan (kelahiran) anak perempuan, wajahnya menjadi hitam (merah padam), dan amat marah.”

An-Nahl 16:58

Ayat 150

أَمْ خَلَقْنَا ٱلْمَلَـٰٓئِكَةَ إِنَـٰثًا وَهُمْ شَـٰهِدُونَ

Atau apakah mereka menyaksikan Kami menciptakan malaikat-malaikat berupa perempuan?”

Allah Swt mengancam dan mencela orang-orang musyrik yang mengatakan bahawa malaikat adalah perempuan sedangkan mereka tidak menyaksikan penciptaan malaikat tersebut.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan mereka menganggap malaikat-malaikat yang juga hamba-hamba (Allah) itu sebagai perempuan. Apakah mereka menyaksikan penciptaan (malaikat-malaikat itu)? Kelak akan dituliskan kesaksian mereka dan akan diminta bertanggungjawab.”

Az-Zukhruf 43:19

Ayat 151

أَلَآ إِنَّهُم مِّنْ إِفْكِهِمْ لَيَقُولُونَ

Ketahuilah bahawa sesungguhnya dengan kebohongan, mereka benar-benar mengatakan,

Ayat 152

وَلَدَ ٱللَّهُ وَإِنَّهُمْ لَكَـٰذِبُونَ

“Allah mempunyai anak,” dan sesungguhnya mereka benar-benar orang yang berdusta.

Ayat 153

أَصْطَفَى ٱلْبَنَاتِ عَلَى ٱلْبَنِينَ

Apakah Rabb memilih (mengutamakan) anak-anak perempuan daripada anak lelaki?

Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa sungguh besar kebohongan, perkataan dan dakwaan orang-orang kafir musyrik ini yang mengatakan Dia mempunyai anak. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka ucapkan, tiada sekutu bagi-Nya. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.

Sesungguhnya mereka benar-benar pendusta kerana tuduhan mereka tidak ada hujjah atau dalil sama sekali. Apakah Allah Swt lebih memilih anak-anak perempuan daripada anak-anak lelaki dan mereka menuduh para malaikat sebagai anak-anak perempuan Allah Swt?

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maka apakah selayaknya Rabb memilihkan untuk kamu anak lelaki dan Dia mengambil anak perempuan daripada malaikat? Sesungguhnya, kamu benar-benar mengucapkan dusta yang besar (dosanya).”

Al-Isra’ 17:40

Ayat 154

مَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ

Apakah yang terjadi kepada kamu semua? Bagaimana (caranya) kamu menetapkan?

Ayat 155

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Maka apakah kamu tidak memikirkan?

Adakah mereka yang mengatakan Allah Swt memiliki anak perempuan tidak menggunakan akal untuk memikirkan apa yang mereka ucapkan?

Ayat 156

أَمْ لَكُمْ سُلْطَـٰنٌ مُّبِينٌ

Atau apakah kamu mempunyai bukti yang jelas?

Ayat 157

فَأْتُوا۟ بِكِتَـٰبِكُمْ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Maka bawalah kitabmu jika kamu memang orang-orang yang benar.

Mereka dicabar untuk membawa bukti yang bersandarkan kepada kitab yang diturunkan dari langit bahawa Allah Swt mempunyai anak seperti yang mereka dakwakan. Sesungguhnya apa yang mereka ucapkan tidak dapat diterima oleh akal yang waras.

Ayat 158

وَجَعَلُوا۟ بَيْنَهُۥ وَبَيْنَ ٱلْجِنَّةِ نَسَبًا ۚ وَلَقَدْ عَلِمَتِ ٱلْجِنَّةُ إِنَّهُمْ لَمُحْضَرُونَ

Dan mereka mengadakan (hubungan) nasab (keluarga) antara Allah dan jin. Sesungguhnya, jin telah mengetahui bahawa mereka benar-benar akan diseret (ke neraka).

Mujahid mengatakan orang-orang musyrik menganggap malaikat-malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah Swt. Maka Abu Bakar ra bertanya kepada mereka, “Lalu siapakah ibunya?” Mereka (orang-orang musyrik) menjawab, “Anak-anak perempuan jin yang memiliki darjat kehormatan.” Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Qatadah dan Ibnu Zaid.

Oleh itu orang-orang yang mengatakan demikian, kelak mereka akan diseret ke dalam azab pada Hari Perhitungan disebabkan kebohongan mereka dan ucapan mereka yang batil tanpa pengetahuan.

Ayat 159

سُبْحَـٰنَ ٱللَّهِ عَمَّا يَصِفُونَ

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan.

Allah Swt mensucikan Zat-Nya daripada sebarang ucapan dusta orang-orang musyrik. Maha Tinggi Allah, Maha Suci Dia daripada apa yang mereka sifatkan dan penyucian ini adalah pasti tanpa diragukan lagi kerana Dia Maha Mulia serta berhak mendapatkan segala pujian.

Ayat 160

إِلَّا عِبَادَ ٱللَّهِ ٱلْمُخْلَصِينَ

Kecuali hamba-hamba Allah yang disucikan (daripada dosa).

Orang-orang yang mensucikan Allah Swt dan tidak menyifatkan-Nya dengan sifat-sifat kekurangan sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang musyrik akan selamat daripada azab-Nya.