Surah 37: As-Saffat (139 – 148)

Kisah Nabi Yunus as dan Kaumnya

Surah 37: As-Saffat (139 – 148)


Ayat 139

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ

Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang Rasul.

Allah Swt menyatakan bahawa Nabi Yunus as yang juga dikenali sebagai Zun Nun adalah salah seorang Nabi yang diutuskan kepada kaumnya.

Ayat 140

إِذْ أَبَقَ إِلَى ٱلْفُلْكِ ٱلْمَشْحُونِ

(Ingatlah) ketika dia (Yunus) lari ke kapal yang penuh dengan muatan.

Nabi Yunus as meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah kerana kaumnya tidak mahu beriman dan mendustakannya. Lalu baginda menaiki kapal yang penuh muatan tanpa izin Allah Swt.

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika dia pergi dalam keadaan marah, lalu dia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersulitkannya (menyusahkannya)………..”

Al-Anbiya’ 21:87

Ayat 141

فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ ٱلْمُدْحَضِينَ

Kemudian dia (Yunus) ikut mengundi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah (dalam undian).

Ketika di tengah laut, kapal itu terumbang-ambing dilambung ombak dan nyaris tenggelam kerana bilangan penumpang dan barang-barang yang dimuatkan dalam kapal itu berlebihan. Maka mereka mengadakan undian untuk mengurangkan bebanan kapal. Siapa yang kalah dalam undian, dialah yang bakal dilemparkan ke dalam laut agar kapal menjadi lebih ringan. Lalu undian jatuh ke tangan Nabi Yunus as, tetapi mereka tidak mahu melemparkan baginda ke laut. Lalu dilakukan undian sekali lagi tetapi undian itu tetap jatuh kepada baginda. Hal ini berlaku sebanyak tiga kali. Akhirnya baginda terjun ke dalam laut.

Ayat 142

فَٱلْتَقَمَهُ ٱلْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ

Maka dia (Yunus) ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela.

Kemudian Nabi Yunus as ditelan oleh seekor ikan besar dalam keadaan menyalahkan dirinya kerana meninggalkan kaumnya tanpa izin Allah Swt. Baginda sepatutnya bersabar ketika menghadapi pendustaan, pengingkaran dan gangguan kaumnya.

Ayat 143

فَلَوْلَآ أَنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلْمُسَبِّحِينَ

Maka sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak bertasbih (mengingati) Allah.

Ayat 144

لَلَبِثَ فِى بَطْنِهِۦٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Nescaya dia akan tetap tinggal di dalam perut (ikan itu) sampai Hari Kebangkitan.

Seterusnya Allah Swt menyatakan sekiranya Nabi Yunus as tidak termasuk orang-orang yang sentiasa banyak berzikir dengan bertasbih serta memuji-Nya, pasti baginda akan mati terkubur dalam perut ikan tersebut sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“…………..maka dia (Yunus) menyeru dalam keadaan yang sangat gelap (dalam perut ikan), “Tidak ada Ilah selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku termasuk golongan orang-orang yang zalim.” Maka Kami kabulkan doanya dan Kami selamatkan dia daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman.”

Al-Anbiya’ 21:87-88

Ayat 145

فَنَبَذْنَـٰهُ بِٱلْعَرَآءِ وَهُوَ سَقِيمٌ

Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang dia dalam keadaan sakit.

Setelah itu, Allah Swt mentakdirkan ikan besar itu terdampar di pantai yang tandus dan tidak ada tumbuh-tumbuhan mahupun bangunan sama sekali. Nabi Yunus as dimuntahkan keluar oleh ikan besar tersebut dalam keadaan badannya sakit dan lemah.

Ayat 146

وَأَنۢبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِّن يَقْطِينٍ

Kemudian untuknya, Kami tumbuhkan sebatang pohon labu.

Allah Swt telah menumbuhkan pokok daripada jenis labu di kawasan tersebut untuk Nabi Yunus as mengubati kesakitan kulit baginda dan dimakan buahnya untuk mendapatkan tenaga.

Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas, Mujahid, ‘Ikrimah, Sa’id bin Jubair, Wahb bin Munabbih, Hilal bin Yasaf, ‘Abdullah bin Tawus, As-Suddi, Qatadah, Ad-Dahhak, ‘Atha’ Al-Khurasani dan lain-lain mengatakan bahawa “يَقْطِينٍ” bererti pokok labu. Sebahagian daripada mereka menyebutkan bahawa pokok labu mempunyai banyak kelebihan, antaranya pertumbuhannya cepat, daunnya lebar menjadi tempat teduhan lagi lembut, tidak dikerumuni lalat, rasa buahnya lazat, boleh dimakan mentah mahupun dimasak, juga isi dan kulitnya. Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah saw sangat menyukai labu.

Ayat 147

وَأَرْسَلْنَـٰهُ إِلَىٰ مِا۟ئَةِ أَلْفٍ أَوْ يَزِيدُونَ

Dan Kami utuskannya kepada seratus ribu (orang) atau lebih.

Ayat 148

فَـَٔامَنُوا۟ فَمَتَّعْنَـٰهُمْ إِلَىٰ حِينٍ

Maka mereka beriman, lalu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.

Kemudian Allah Swt mengutus Nabi Yunus as kembali kepada kaumnya yang jumlahnya mencapai 100,000 orang atau lebih. Baginda kembali mengajak mereka kepada agama Allah Swt dan mengesakan-Nya, lalu mereka pun beriman.

Allah Swt memberi mereka kesempatan menikmati kehidupan di dunia sehingga ajal mereka tiba seperti dalam firman-Nya:

“Dan mengapa tidak ada (penduduk) suatu kota yang beriman, lalu imannya itu bermanfaat kepadanya selain kaum Yunus? Tatkala mereka (kaum Yunus itu), beriman, Kami hilangkan daripada mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan kepada mereka sampai kepada waktu yang tertentu.”

Yunus 10:98