Kisah Nabi Lut as dan Penduduk Sodom
Surah 37: As-Saffat (133 – 138)
Ayat 133
وَإِنَّ لُوطًا لَّمِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ
Sesungguhnya Lut benar-benar salah seorang Rasul.
Allah Swt menyatakan bahawa Nabi Lut as diutuskan-Nya kepada penduduk Sodom. Penduduk Sodom ini suka melakukan pelbagai perbuatan keji. Baginda telah menasihati kaumnya agar mengesakan Allah Swt dan menjauhi perbuatan keji tersebut, namun kaumnya menolak dan mendustakannya.
Ayat 134
إِذْ نَجَّيْنَـٰهُ وَأَهْلَهُۥٓ أَجْمَعِينَ
(Ingatlah) ketika Kami selamatkan dia (Lut) dan keluarganya (pengikut-pengikutnya) semua.
Ayat 135
إِلَّا عَجُوزًا فِى ٱلْغَـٰبِرِينَ
Kecuali seorang perempuan tua (isterinya yang berada) bersama-sama orang yang tertinggal.
Allah Swt menyelamatkan Nabi Lut as dan keluarganya yang beriman kepada ajarannya kecuali isterinya ikut dibinasakan-Nya. Ini kerana isteri baginda meredhai perbuatan keji tersebut dan bekerjasama dengan kaum yang kufur itu.
Ayat 136
ثُمَّ دَمَّرْنَا ٱلْـَٔاخَرِينَ
Kemudian Kami binasakan orang-orang yang lain.
Manakala Allah Swt membinasakan kaum Nabi Lut as yang mendustakan risalah baginda dengan gempa yang hebat atau pekikan suara yang kuat dan dilimpari batu yang terbakar. Kemudian Dia menterbalikkan negeri tersebut dengan bahagian atasnya ke bawah.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan (ingatlah) ketika Lut berkata kepada kaumnya, ‘Sesungguhnya kamu benar-benar melakukan perbuatan yang sangat keji (homoseksual), yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun daripada umat-umat sebelum kamu. Apakah sesungguhnya kamu patut mendatangi laki-laki, menyamun dan melakukan kemungkaran di tempat-tempat pertemuanmu?’ Maka jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan, ‘Datangkanlah kepada kami azab Allah jika kamu termasuk orang-orang yang benar.’”
Al-‘Ankabut 29:28-29
“Kaum Lut (juga) telah mendustakan peringatan itu. Sesungguhnya Kami kirimkan kepada mereka angin ribut yang membawa batu-batu (yang menimpa mereka), kecuali keluarga Lut. Kami selamatkan mereka sebelum fajar menyingsing. Sebagai nikmat daripada Kami. Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. Dan sesungguhnya dia (Lut) telah memperingatkan mereka akan hukuman Kami, tetapi mereka mendustakan peringatan-Ku.”
Al-Qamar 54:33-36
Ayat 137
وَإِنَّكُمْ لَتَمُرُّونَ عَلَيْهِم مُّصْبِحِينَ
Dan sesungguhnya kamu (wahai penduduk Mekah) benar-benar akan melalui (bekas-bekas peninggalan) mereka pada waktu pagi.
Ayat 138
وَبِٱلَّيْلِ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Dan pada waktu malam. Maka apakah kamu tidak memikirkan?
Selanjutnya, Allah Swt mengingatkan kaum musyrik Mekah mengambil iktibar daripada azab yang menimpa kaum Nabi Lut as agar tidak menimpa diri mereka. Ini kerana mereka sememangnya melalui tempat peninggalan kaum Nabi Lut as yang telah dibinasakan ketika mereka bermusafir.