Surah 37: As-Saffat (108 – 113)

Kesejahteraan kepada Nabi Ibrahim as dan Khabar Gembira tentang Kelahiran Nabi Ishak as

Surah 37: As-Saffat (108 – 113)


Ayat 108

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِى ٱلْـَٔاخِرِينَ

Dan Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.

Kemudian Allah Swt menyebutkan kurniaan-Nya kepada Nabi Ibrahim as berupa nama baik yang selalu dikenali dan disebut oleh generasi seterusnya.

Ayat 109

سَلَـٰمٌ عَلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ

(iaitu) “Kesejahteraan dilimpahkan kepada Ibrahim.”

Kesejahteraan daripada Allah Swt kepada Nabi Ibrahim as kerana keimanan, keikhlasan, kesabaran dan ketaatan baginda kepada-Nya.

Ayat 110

كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ

Demikianlah Kami berikan balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Ayat 111

إِنَّهُۥ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ

Sesungguhnya baginda termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.

Allah Swt menyatakan bahawa demikianlah balasan bagi orang-orang yang ikhlas beribadah kepada-Nya, diberikan-Nya kelapangan setelah kesempitan.

Ayat 112

وَبَشَّرْنَـٰهُ بِإِسْحَـٰقَ نَبِيًّا مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Dan Kami berikan baginda khabar gembira dengan (kelahiran) Ishak seorang nabi yang termasuk di kalangan orang-orang yang soleh.

Kemudian Allah Swt memberi khabar gembira kepada Nabi Ibrahim as bahawa baginda akan dikurniakan seorang anak lagi iaitu Nabi Ishak as yang telah ditetapkan kenabian kepadanya dan termasuk dalam golongan orang-orang yang soleh.

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“Dan isterinya berdiri (dibalik tirai) lalu dia tersenyum, maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira tentang (kelahiran) Ishak dan dari Ishak (akan lahir puteranya) Yaakub.”

Hud 11:71

Ayat 113

وَبَـٰرَكْنَا عَلَيْهِ وَعَلَىٰٓ إِسْحَـٰقَ ۚ وَمِن ذُرِّيَّتِهِمَا مُحْسِنٌ وَظَالِمٌ لِّنَفْسِهِۦ مُبِينٌ

Kami limpahkan keberkatan kepadanya dan Ishak. Dan di antara anak cucunya ada yang berbuat baik dan ada (juga) yang zalim terhadap diri sendiri dengan nyata.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa Nabi Ibrahim as dan juga Nabi Ishak as telah mendapat keberkatan iaitu mereka diangkat sebagai Nabi dan mendapat hidayah taufik daripada Allah Swt. Ini adalah keberkatan yang amat besar daripada-Nya.

Sebahagian daripada keturunan Nabi Ibrahim as ada yang sentiasa mengerjakan kebaikan dan ada juga sebahagiannya yang menganiaya diri sendiri dengan kekafiran dan kederhakaan.

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku pada hari tua(ku) Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Rabbku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.”

Ibrahim 14:39