Surah 37: As-Saffat (99 – 107)

Mimpi Nabi Ibrahim as dan Ujian Penyembelihan Nabi Ismail as

Surah 37: As-Saffat (99 – 107)


Ayat 99

وَقَالَ إِنِّى ذَاهِبٌ إِلَىٰ رَبِّى سَيَهْدِينِ

Dan dia (Ibrahim) berkata, “Sesungguhnya aku akan pergi (menghadap) kepada Rabbku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku.

Setelah Allah Swt menolong Nabi Ibrahim as daripada perbuatan kaumnya, baginda kemudiannya berpindah ke negeri lain supaya dapat mengamalkan agamanya tanpa gangguan kaumnya yang musyrik. Baginda mengharapkan petunjuk daripada Allah Swt untuk berdakwah demi kebaikan agamanya.

Ayat 100

رَبِّ هَبْ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ

Wahai Rabbku, anugerahkanlah kepadaku (anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.”

Nabi Ibrahim as berdoa agar baginda dikurniakan anak yang taat sebagai pengganti kepada kaumnya dan juga keluarganya yang telah baginda tinggalkan.

Ayat 101

فَبَشَّرْنَـٰهُ بِغُلَـٰمٍ حَلِيمٍ

Maka Kami berikan khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang sangat sabar (Ismail).

Maka Allah Swt memperkenankan permohonan Nabi Ibrahim as dengan mengurniakan seorang anak iaitu Nabi Ismail as.

Ayat 102

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur mampu) bekerja bersama-samanya, (Ibrahim) berkata, “Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Dia (Ismail) menjawab, “Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.”

Ibnu ‘Abbas, Mujahid, ‘Ikrimah, Sa’id bin Jubair, ‘Ata’ Al-Khurasani, Zaid bin Aslam dan lain-lain lagi mengatakan maksud ayat, “Maka, tatkala anak itu sampai (pada umur mampu) berkerja bersama-sama Ibrahim.” ialah ketika telah menjadi pemuda dan menginjak dewasa, dewasa yang mampu melakukan pekerjaan Nabi Ibrahim as.

Nabi Ibrahim as meminta pendapat daripada anaknya Nabi Ismail as tentang mimpinya agar menyembelih anaknya itu.

Nabi Ismail as adalah seorang yang penyantun dan penyabar. Setelah mendengar mimpi ayahnya, baginda menyuruh ayahnya melakukan seperti dalam mimpinya iaitu melaksanakan perintah Allah Swt dengan menyembelihnya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan ceritakanlah (Muhammad) kisah Ismail di dalam kitab (Al-Quran). Dia benar-benar seorang yang menepati janjinya sebagai seorang Rasul dan Nabi.”

Maryam 19:54

Ayat 103

فَلَمَّآ أَسْلَمَا وَتَلَّهُۥ لِلْجَبِينِ

Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran kedua-duanya).

Ibnu ‘Abbas, Mujahid, Sa’id bin Jubair, Ad-Dahhak, dan Qatadah mengatakan maksud, “Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya (وَتَلَّهُۥ لِلْجَبِينِ)” ialah Nabi Ibrahim as membaringkan Nabi Ismail as pada bahagian wajahnya (menelungkupkan wajah anaknya di atas tanah).

Ketika Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as redha dengan ketentuan Allah Swt agar menyembelih Nabi Ismail as, Nabi Ibrahim as membaringkan Nabi Ismail as untuk disembelih.

Ayat 104

وَنَـٰدَيْنَـٰهُ أَن يَـٰٓإِبْرَٰهِيمُ

Dan Kami panggillah dia, “Wahai Ibrahim.

Ayat 105

قَدْ صَدَّقْتَ ٱلرُّءْيَآ ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ

Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu.” Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Nabi Ibrahim as mempercayai bahawa mimpi itu benar-benar merupakan perintah daripada Allah Swt dan wajib dilaksanakan.

Tatkala Nabi Ibrahim as sedang hendak melaksanakan penyembelihan itu, baginda terdengar seruan yang mengatakan bahawa baginda telahpun melaksanakan perintah Allah Swt seperti yang dilihatnya dalam mimpi.

Sesungguhnya pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as adalah kerana baginda telah memilih keredhaan Allah Swt daripada kasihkan anak. Oleh itu, baginda termasuk orang-orang yang berbuat kebaikan dan sebagai balasan Allah Swt melepaskan baginda daripada kesusahan dan kedukaan.

Ayat 106

إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْبَلَـٰٓؤُا۟ ٱلْمُبِينُ

Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata.

Sesungguhnya perintah Allah Swt kepada Nabi Ibrahim as untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail as itu merupakan ujian yang sangat besar dan amat berat untuk dilaksanakan. Namun begitu, baginda bersegera melakukannya dengan patuh dan berserah diri kepada-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (juga) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang musyrik.”

Ali ‘Imran 3:67

Allah Swt menyebutkan bahawa Dia akan memberikan jalan keluar kepada orang-orang yang mentaati-Nya dan bertawakkal kepada-Nya ketika berada dalam kesusahan sebagaimana firman-Nya:

“………….dan sesiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

At-Talaq 65: 2-3

Ayat 107

وَفَدَيْنَـٰهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ

Dan Kami tebus anak itu dengan seekor haiwan sembelihan yang besar.

Setelah jelas kesabaran dan ketaatan Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as, Allah Swt memerintahkan Nabi Ibrahim as menggantikan Nabi Ismail as dengan seekor haiwan sembelihan yang besar.

Dalam Tafsir Al-Munir mengatakan Allah Swt telah menggantikan Nabi Ismail as dengan seekor kambing biri-biri yang besar lagi gemuk atau yang besar dan berkualiti.

Lalu Nabi Ibrahim as menyembelih kambing biri-biri tersebut sebagai tebusan menggantikan puteranya. Ini adalah pendapat ‘Ali bin Abi Talib ra.

Peristiwa ini merupakan sejarah kepada ibadah korban yang dilakukan oleh umat Islam setiap tahun. Hal ini mengingatkan kepada ketaatan Nabi Ibrahim as yang tidak berbelah bagi terhadap arahan Allah Swt untuk menyembelih puteranya, Nabi Ismail as. Kesabaran dan kepatuhan baginda dalam menjalankan perintah-Nya membuktikan keimanan dan tawakkal baginda begitu tinggi terhadap-Nya.