Strategi Nabi Ibrahim as untuk Menghancurkan Berhala-berhala Kaumnya
Surah 37: As-Saffat (88 – 98)
Ayat 88
فَنَظَرَ نَظْرَةً فِى ٱلنُّجُومِ
Lalu dia (Ibrahim) memandang dengan sekali pandang ke arah bintang-bintang.
Ayat 89
فَقَالَ إِنِّى سَقِيمٌ
Kemudian dia (Ibrahim) berkata, “Sesungguhnya aku sakit.”
Qatadah mengatakan bahawa orang-orang Arab menyebut orang yang sedang berfikir dengan sebutan نَظَرَ فِى ٱلنُّجُومِ (dia memandang ke arah bintang-bintang). Beliau juga mengatakan Nabi Ibrahim as memandang ke langit untuk memikirkan apa yang perlu dibuat bagi mengalihkan perhatian mereka terhadap dirinya. Kemudian baginda berkata, “Sesungguhnya aku sakit.”
Nabi Ibrahim as mengatakan demikian supaya baginda dapat tinggal di bandar itu, ketika kaumnya keluar menuju ke tempat perayaan mereka dan dengan itu dapatlah baginda menyendiri untuk menghancurkan berhala-berhala mereka.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Ibrahim as tidak berbohong kecuali pada tiga hal, dua di antaranya tentang Zat Allah Swt iaitu (1) dia mengatakan, ‘Sesungguhnya aku sakit.’ (2) Ucapannya, ‘Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya.’ Dan (3) ucapannya tentang Sarah, ‘Dia adalah saudara perempuanku.’ (Padahal dia isterinya.)”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Walau bagaimanapun, hal ini bukan termasuk berbohong yang dicela oleh syariat. Pada hakikatnya dusta yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim as ini adalah dengan ungkapan kiasan yang dibenarkan dalam agama.
Sesungguhnya di dalam ungkapan-ungkapan sindiran benar-benar terdapat jalan untuk mengelak daripada berkata dusta.
Ayat 90
فَتَوَلَّوْا۟ عَنْهُ مُدْبِرِينَ
Lalu mereka berpaling daripadanya dan pergi meninggalkannya.
Ayat 91
فَرَاغَ إِلَىٰٓ ءَالِهَتِهِمْ فَقَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ
Kemudian dia (Ibrahim) pergi dengan diam-diam kepada berhala-berhala mereka, lalu dia berkata, “Mengapa kamu tidak makan?
Ayat 92
مَا لَكُمْ لَا تَنطِقُونَ
Mengapa kamu tidak menjawab?”
Ayat 93
فَرَاغَ عَلَيْهِمْ ضَرْبًۢا بِٱلْيَمِينِ
Lalu dia menghadap berhala-berhala itu sambil memukulnya dengan tangan kanannya (dengan kuat).
Ada pendapat mengatakan Nabi Ibrahim as menghampiri patung-patung berhala itu dan memukulnya dengan tangan kanan. Ini kerana tangan kanan lebih kuat pukulannya menjadikan berhala-berhala itu rosak dan hancur berkeping-keping.
Ayat 94
فَأَقْبَلُوٓا۟ إِلَيْهِ يَزِفُّونَ
Kemudian mereka (kaumnya) datang bergegas kepadanya.
Ketika mereka kembali, mereka langsung tidak mengetahui siapa yang memecahkan patung-patung tersebut. Namun selepas mereka meneliti dan menyelidik barulah mereka ketahui bahawa orang yang melakukannya ialah Nabi Ibrahim as.
Ayat 95
قَالَ أَتَعْبُدُونَ مَا تَنْحِتُونَ
Dia (Ibrahim) berkata, “Apakah kamu menyembah patung-patung yang kamu pahat itu?
Ayat 96
وَٱللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ
Padahal Allah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu buat itu.”
Nabi Ibrahim as mencela perbuatan kaumnya yang menyembah patung-patung yang mereka sendiri membuatnya. Baginda menjelaskan bahawa yang selayaknya mereka sembah ialah kepada Allah Swt yang menciptakan mereka dan juga patung-patung tersebut.
Ayat 97
قَالُوا۟ ٱبْنُوا۟ لَهُۥ بُنْيَـٰنًا فَأَلْقُوهُ فِى ٱلْجَحِيمِ
Mereka berkata, “Dirikanlah suatu bangunan untuk (membakar) Ibrahim. Lalu lemparkanlah dia (Ibrahim) ke dalam api yang menyala-nyala itu.”
Mereka mengumpulkan dan menyalakan kayu api lalu melemparkan Nabi Ibrahim as ke dalam unggun api tersebut.
Ayat 98
فَأَرَادُوا۟ بِهِۦ كَيْدًا فَجَعَلْنَـٰهُمُ ٱلْأَسْفَلِينَ
Mereka hendak melakukan tipu daya kepadanya, maka Kami jadikan mereka orang-orang yang hina.
Namun Allah Swt menggagalkan usaha mereka untuk membinasakan Nabi Ibrahim as dengan menyelamatkan baginda daripada terbakar. Dia memenangkan, meninggikan dan membenarkan hujjah baginda as.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Kami berfirman, ‘Wahai api, jadilah engkau sejuk dan penyelamat bagi Ibrahim.’”
Al-Anbiya’ 21:69
“Dan mereka (orang-orang kafir) itu melakukan tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.”
Ali ‘Imran 3:54