Surah 37: As-Saffat (75 – 82)

Kisah Nabi Nuh as dan Kaumnya

Surah 37: As-Saffat (75 – 82)


Ayat 75

وَلَقَدْ نَادَىٰنَا نُوحٌ فَلَنِعْمَ ٱلْمُجِيبُونَ

Dan sesungguhnya Nuh benar-benar telah berdoa kepada Kami, maka sesungguhnya Kami-lah sebaik-baik yang memperkenankan doa.

Setelah Allah Swt menyebutkan bahawa kebanyakan umat terdahulu telah tersesat, maka dalam ayat ini Dia menjelaskan hal itu dengan mula menyebutkan kisah Nabi Nuh as serta pendustaan yang baginda terima daripada kaumnya.

Nabi Nuh as memohon pertolongan kepada Allah Swt agar kaumnya ditimpa kebinasaan. Ini kerana baginda telah berdakwah kepada umatnya dalam tempoh yang lama iaitu selama 950 tahun, namun mereka mendustakannya dan menentangnya. Hanya sedikit sahaja daripada kaumnya yang beriman dengannya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Maka dia (Nuh) mengadu kepada Rabbnya, ‘Sesungguhnya aku ini telah dikalahkan, maka tolonglah (aku).’”

Al-Qamar 54:10

“Nuh berkata, ‘Wahai Rabbku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang. Tetapi seruanku itu tidak menambah (iman) kepada mereka, malah mereka lari (daripada kebenaran).’”

Nuh 71:5-6

Ayat 76

وَنَجَّيْنَـٰهُ وَأَهْلَهُۥ مِنَ ٱلْكَرْبِ ٱلْعَظِيمِ

Dan Kami telah menyelamatkannya dan pengikutnya daripada bencana yang besar.

Kemudian Allah Swt memperkenankan permohonan Nabi Nuh as, lalu binasalah kaum baginda dengan banjir yang besar lagi dahsyat.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan (ingatlah kisah) Nuh, sebelum itu ketika dia berdoa, dan Kami perkenankan doanya, lalu Kami selamatkan dia bersama pengikutnya daripada bencana yang besar.”

Al-Anbiya’ 21:76

“Kemudian Kami selamatkan Nuh dan orang-orang yang bersamanya di dalam kapal yang penuh dengan muatan.”

Asy-Syu’ara’ 26:119

Ayat 77

وَجَعَلْنَا ذُرِّيَّتَهُۥ هُمُ ٱلْبَاقِينَ

Dan Kami jadikan anak cucunya orang-orang yang meneruskan keturunan.

Allah Swt menyebutkan bahawa setelah Dia menyelamatkan Nabi Nuh as bersama-sama keluarganya daripada banjir besar tersebut, Dia jadikan keturunan baginda yang terselamat itu mendiami muka bumi ini.

Dalam kitab Sahih Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan, ‘Ali bin Abi Talhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan tidak ada yang terselamat melainkan anak keturunan Nabi Nuh as. Manakala Sa’id bin Abi ‘Arubah mengatakan umat manusia berasal daripada keturunan Nabi Nuh as.

Ayat 78

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِى ٱلْـَٔاخِرِينَ

Dan Kami abadikan untuk Nuh itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.

Allah Swt menjadikan nama Nabi Nuh as sebutan yang baik oleh umat manusia yang hidup kemudian.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Sesungguhnya ketika air telah naik (sampai ke gunung) Kami bawa (nenek moyang) kamu ke dalam bahtera (Nuh), agar (peristiwa itu) Kami jadikan peringatan bagi kamu dan agar diperhatikan oleh telinga yang mahu mendengar.”

Al-Haqqah 69:11-12

“Maka kami selamatkan Nuh dan orang-orang yang berada di atas kapal itu dan Kami jadikan peristiwa itu pengajaran buat semua manusia.”

Al-‘Ankabut 29:15

Ayat 79

سَلَـٰمٌ عَلَىٰ نُوحٍ فِى ٱلْعَـٰلَمِينَ

“Kesejahteraan dilimpahkan atas Nuh di seluruh alam.”

Ayat ini merupakan sebutan yang baik bagi Nabi Nuh as dan baginda diberikan salam oleh setiap kelompok manusia daripada setiap umat.

Ayat 80

إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ

Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Begitulah balasan daripada Allah Swt kepada hamba-hamba-Nya yang berbuat baik dalam mentaati-Nya.

Ayat 81

إِنَّهُۥ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ

Sesungguhnya, dia (Nuh) termasuk daripada hamba-hamba Kami yang beriman.

Allah Swt menyatakan Nabi Nuh as adalah termasuk hamba-hamba-Nya yang beriman, meyakini, mengesakan-Nya dan mentaati-Nya dengan sebenar-benarnya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Sesungguhnya dia (Nuh) adalah hamba (Allah) yang banyak bersyukur.”

Al-Isra’ 17:3

Ayat 82

ثُمَّ أَغْرَقْنَا ٱلْـَٔاخَرِينَ

Kemudian Kami tenggelamkan orang-orang yang lain.

Orang-orang lain iaitu yang kufur kepada Allah Swt semuanya dibinasakan-Nya dengan mati tenggelam. Mereka hanya dikenali dengan sifat buruk mereka sahaja.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya, maka dia tinggal bersama mereka seribu tahun kurang lima puluh tahun. Kemudian mereka dilanda banjir yang besar, sedangkan mereka adalah orang-orang yang zalim.”

Al-‘Ankabut 29:14

“Kemudian setelah itu Kami tenggelamkan orang-orang yang tinggal.”

Asy-Syu’ara’ 26:120