Surah Al-Fatihah
Klasifikasi Surah: | Makkiyyah |
Surah: | 1 |
Juz: | 1 |
Jumlah Ayat: | 7 |
Maksud Surah: | Pembukaan |
Nama Lain: | Ummul Quran/Ummul Kitab, Alhamdu, As-Solah, Asy-Syifa’, As-Sab’ul Matsani, Ruqyah, Al-Quranul ‘Azhim |
Surah 1: Al-Fatihah (1-7)
Ayat 1
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Surah ini dimulakan dengan menyebut nama Allah swt, mengingatiNya dan mensucikanNya sambil memohon pertolongan kepadaNya sebelum melakukan sesuatu pekerjaan atau urusan. Dia lah Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya, yang luas rahmatNya meliputi segala sesuatu. Dia lah yang memberi segala kenikmatan, baik yang besar mahupun yang kecil.
Allah Ta’ala mengajar kita agar memulakan sesuatu pekerjaan dengan Basmalah. Ini adalah untuk mengingatkan kita bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan itu adalah keranaNya dan semata-mata dengan keizinanNya. Ini juga bermaksud dengan mengucapkan Basmalah kita memohon pertolonganNya supaya pekerjaan itu berjaya dilaksanakan dengan baik.
Allah ialah nama bagi Zat Yang Maha Suci, yang satu-satunya yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya disertai rasa cinta, takut dan berharap kepadaNya, Zat yang tidak memerlukan makhlukNya tetapi makhluklah yang memerlukanNya.
Ar-Rahman (ٱلرَّحْمَٰنِ) dan Ar-Rahim (ٱلرَّحِيمِ) merupakan nama Allah Ta’ala yang menetapkan adanya sifat rahmah (sayang) bagi Allah Ta’ala sesuai dengan kebesaranNya. Ar-Rahman (ٱلرَّحْمَٰنِ – Maha Pemurah), ertinya Allah Ta’ala memiliki rahmat (kasih sayang) yang luas kepada semua makhlukNya, manakala Ar-Rahim (ٱلرَّحِيمِ) ertinya Allah Maha Penyayang kepada orang-orang mukmin.
Ayat 2
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Kalimah ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ bererti segala puji bagi Allah. Memuji Allah Ta’ala bererti menyanjungNya. Dia berhak dipuji kerana perbuatanNya yang baik seperti melimpahkan kurniaanNya dengan adil, dan sifat-sifatNya yang sempurna serta nikmat-nikmatNya yang begitu banyak dilimpahkan kepada kita baik nikmat yang berkaitan dengan agama mahupun yang berkaitan dengan dunia.
Ibnu Jarir mengatakan ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ merupakan pujian yang disampaikan oleh Allah Ta’ala untuk diriNya. Padanya terdapat perintah kepada hamba-hambaNya supaya mereka memujiNya dengan mengucapkan ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ. Ini menunjukkan bahawa Allah Ta’ala berhak mendapatkan pujian yang sempurna dari segala sudut. Dalam sebuah hadis, ketika mendapatkan hal yang menyenangkan, Rasulullah saw mengucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
“Alhamdulillahillazi bini’matihi tatimmus solihaat” (Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatNya amal soleh menjadi sempurna), dan ketika baginda memperoleh selain itu, baginda tetap mengucapkan,
الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
“Alhamdulillah ‘alaa kulli haal” (segala puji bagi Allah dalam semua keadaan).
(HR. Ibnu Majah)
“Rabb” (رَبُّ) bermaksud Pemilik, Penguasa dan Pengatur iaitu Tuhan yang ditaati, yang Mencipta, Memiliki, Mendidik, Mengurus dan Memelihara. Lafaz Rabb (رَبُّ) tidak digunakan selain untuk Allah Ta’ala, kecuali kalau ada sambungan selepasnya, seperti rabbul bait (tuan rumah).
Kalimah ٱلْعَٰلَمِينَ (semesta alam) adalah segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah swt di dunia yang terdiri daripada alam manusia, alam haiwan, alam tumbuh-tumbuhan, alam jin, alam malaikat, benda-benda mati baik yang kita ketahui mahupun yang tidak kita ketahui. Ini termasuk juga ciptaanNya di akhirat seperti alam barzakh, syurga, neraka dan sebagainya.
Allah lah Pencipta seluruh alam dan Dia lah yang mengatur segala urusan makhlukNya dengan pemberian nikmat-nikmatNya serta mengurus segala ciptaanNya.
Ayat 3
ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Ayat ini memberitahu bahawa Allah Ta’ala mengurus alam semesta ini tidak dengan menyeksa dan memaksa, bahkan atas dasar kasih sayangNya sebagaimana firmanNya:
“Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.”
Al-Ahzab 33:43
Ayat 4
مَـٰلِكِ يَوْمِ ٱلدِّينِ
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
Malik (مَٰلِكِ) iaitu Pemilik atau Penguasa atau Raja Hari Pembalasan. Pada hari itu tiada perbezaan antara raja-raja yang pernah memerintah di dunia dengan para rakyat mereka. Semuanya tunduk dengan keagunganNya menunggu pembalasanNya terhadap amalan baik atau buruk mereka.
Hari Pembalasan juga dipanggil Yaumul Qiyamah, Yaumul Hisab, Yaumul Jaza’ dan sebagainya. Memahami tentang hari ini akan mendorong seseorang muslim untuk beramal soleh dan menjauhi maksiat.
Ayat 5
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Kalimah نَعبُدُ diambil daripada kata ibadah iaitu kepatuhan kepada Allah Ta’ala sebagai Tuhan yang wajib disembah dengan berlandaskan cinta, takut dan harap yang ditujukan semata-mata kepadaNya.
Kalimah نَستَعينُ pula diambil daripada kata isti’aanah iaitu meminta pertolongan dan mengharapkan bantuan dalam bentuk pergantungan mutlak semata-mata kepada Allah Ta’ala.
Ayat ini menunjukkan betapa lemahnya manusia dalam mengurus diri sehingga diperintahkan untuk meminta pertolongan hanya kepada Allah swt.
Sesuatu perbuatan itu hanya dikategorikan sebagai ibadah jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah Ta’ala dan mengikuti apa yang dicontohkan oleh Rasulullah saw.
Ayat 6
ٱهْدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Perkataan ٱهْدِنَا (Tunjukkanlah kami) daripada kata hidayah iaitu memohon petunjuk ke jalan yang lurus. Selepas memohon dan mengenalpasti jalan lurus barulah memohon dikurniakan taufiq iaitu mohon diberikan pertolongan menempuh jalan yang lurus. Jalan yang lurus ialah Islam.
Ayat ini juga bermaksud memohon kepada Allah swt agar dapat istiqamah di atas jalan yang lurus hingga ke akhir hayat.
Maksud ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ (jalan yang lurus) itu ialah hidup mengabdikan diri hanya kepada Allah Ta’ala. FirmanNya:
“Dan hendaklah kamu mengabdikan diri kepadaKu. Inilah jalan yang lurus.”
Yasin 36:61
Panduan menuju jalan yang lurus ialah Al-Quran dan As-Sunnah. Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata,
“Rasulullah saw bersabda: ‘Aku tinggalkan dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selama kalian berpegang teguh dengan kedua-duanya iaitu Kitabullah dan Sunnahku, serta kedua-duanya tidak akan berpisah sampai kedua-duanya mendatangiku di telaga (di Syurga).’”
(HR. Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Ayat 7
صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Orang-orang yang diberi nikmat adalah para Nabi, para siddiqin, para syuhada’ dan para solehin. Firman Allah Ta’ala:
“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.”
An-Nisa’ 4:69
Manakala orang-orang yang dimurkai ialah orang-orang yang mengetahui kebenaran tetapi meninggalkannya (kaum Yahudi). Orang-orang yang sesat pula ialah orang-orang yang meninggalkan kebenaran kerana jahil (orang Nasrani). Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya golongan yang dimurkai adalah Yahudi dan golongan yang sesat adalah Nasrani.”
(HR. Ahmad)