Surah 37: As-Saffat (6 – 10)

Alam Langit Dipelihara daripada Gangguan Syaitan

Surah 37: As-Saffat (6 – 10)


Ayat 6

إِنَّا زَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنْيَا بِزِينَةٍ ٱلْكَوَاكِبِ

Sesungguhnya Kami telah menghias langit dunia (yang terdekat), dengan hiasan bintang-bintang.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia menghias langit yang terdekat dengan bumi iaitu yang dapat dilihat oleh manusia dengan hiasan yang sangat indah berupa bintang-bintang. Bintang-bintang ini baik yang kelihatan bergerak mahupun yang kelihatan tetap pada tempatnya, semuanya menerangi penduduk bumi. Pada pandangan mata manusia, bintang-bintang itu laksana permata yang berkilauan di dada langit. Ini sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:

“Dan sungguh, telah Kami hiasi langit yang dekat, dengan bintang-bintang …………..”

Al-Mulk 67:5

Ayat 7

وَحِفْظًا مِّن كُلِّ شَيْطَـٰنٍ مَّارِدٍ

Dan (Kami) telah memeliharanya (sebenar-benarnya) daripada setiap syaitan yang derhaka.

Ayat 8

لَّا يَسَّمَّعُونَ إِلَى ٱلْمَلَإِ ٱلْأَعْلَىٰ وَيُقْذَفُونَ مِن كُلِّ جَانِبٍ

Mereka (syaitan-syaitan itu) tidak dapat mencuri dengar (pembicaraan) para malaikat, dan mereka direjam pada segala penjuru.

Sesungguhnya, Allah Swt melindungi langit daripada syaitan yang derhaka lagi direjam. Sekiranya para syaitan ini cuba mencuri dengar perkataan malaikat yang menghuni langit yang terdekat dan langit-langit yang ada di atasnya, mereka akan dilempar dengan bintang yang bernyala, lalu terbakar. Hal ini berlaku ketika para malaikat membicarakan wahyu Allah Swt berupa syariat dan takdir-Nya.

Ayat 9

دُحُورًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ وَاصِبٌ

Untuk mengusir mereka dan mereka akan mendapat azab yang kekal.

Para syaitan ini dihalang dan diusir daripada mencuri berita di langit. Sedangkan di akhirat kelak, mereka memperoleh azab yang kekal, tidak putus-putus lagi sangat menyeksakan.

Ayat 10

إِلَّا مَنْ خَطِفَ ٱلْخَطْفَةَ فَأَتْبَعَهُۥ شِهَابٌ ثَاقِبٌ

Kecuali sesiapa di antara syaitan-syaitan itu yang mencuri dengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi.

Dahulu syaitan-syaitan tidak terhalang daripada menembusi langit untuk mendengar perbualan malaikat tentang wahyu. Setelah mendengar wahyu, mereka membawa berita tersebut ke bumi. Mereka menokok tambah wahyu tersebut dengan perkataan-perkataan yang dusta dan menyampaikannya kepada orang-orang yang menjadi dukun dan tukang tilik.

Oleh sebab itulah apa yang para bomoh dan tukang tilik sampaikan adalah daripada campur tangan syaitan, sedikit sahaja yang benar dan kebanyakannya adalah dusta.

Setelah Rasulullah saw diutus, syaitan-syaitan ini tidak lagi dapat menembusi langit kerana bintang-bintang yang menyala ini akan dilemparkan ke arah mereka sehingga terbakar sekiranya mereka masih mencuba untuk naik ke langit untuk mencuri dengar wahyu.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan sesungguhnya, Kami telah menciptakan gugusan bintang di langit dan menjadikannya kelihatan indah bagi orang yang memandang(nya), dan Kami menjaganya daripada setiap (gangguan) syaitan yang terkutuk, kecuali (syaitan) yang mencuri-curi (berita) tetapi dapat didengar (oleh malaikat) lalu dikejar oleh semburan api yang terang-benderang.”

Al-Hijr 15:16-18

“…………….dan Kami menjadikannya (bintang-bintang itu) sebagai alat-alat pelempar syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menyala-nyala.”

Al-Mulk 67:5