Surah 36: Yasin (81 – 83)

Kekuasaan Allah Swt Yang Maha Mencipta

Surah 36: Yasin (81 – 83)


Ayat 81

أَوَلَيْسَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ بِقَـٰدِرٍ عَلَىٰٓ أَن يَخْلُقَ مِثْلَهُم ۚ بَلَىٰ وَهُوَ ٱلْخَلَّـٰقُ ٱلْعَلِيمُ

Dan tidakkah (Rabb) yang menciptakan langit dan bumi itu berkuasa menciptakan kembali jasad mereka yang sudah hancur itu? Benar, Dia berkuasa dan Dia-lah Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui.

Allah Swt menyatakan Dia Yang Berkuasa mencipta langit dan bumi serta apa yang ada di antara kedua-duanya, sudah tentu Dia juga berkuasa menghidupkan jasad-jasad yang telah mati.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi itu lebih besar daripada penciptaan manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Ghafir 40:57

“Dan tidakkah mereka perhatikan sesungguhnya Allah yang menciptakan langit dan bumi dan Dia tidak berasa payah untuk menciptanya kerana Dia Maha Berkuasa dalam menghidupkan yang mati? Begitulah sesungguhnya, Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Al-Ahqaf 46:33

Ayat 82

إِنَّمَآ أَمْرُهُۥٓ إِذَآ أَرَادَ شَيْـًٔا أَن يَقُولَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ

Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka terjadilah ia.

Allah Swt menyatakan sesungguhnya urusan-Nya menciptakan segala sesuatu sangatlah mudah bagi-Nya. Apabila Dia menghendaki untuk menciptakan sesuatu, Dia hanya berkata kepada sesuatu itu, “Jadilah!” maka dengan serta merta menjadilah sesuatu yang dikehendaki-Nya itu.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dia (Maryam) berkata, “Wahai Rabbku, bagaimana aku akan mempunyai anak, padahal tidak ada seorang lelaki pun yang menyentuhku?” Dia (Allah) berfirman, “Demikianlah Allah menciptakan apa yang Dia kehendaki. Apabila Dia hendak menetapkan sesuatu, Dia hanya cukup berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka jadilah sesuatu itu.”

Ali ‘Imran 3:47

“Sesungguhnya perumpamaan (penciptaan) ‘Isa di sisi Allah, adalah seperti (penciptaan) Adam. Dia menciptakan Adam daripada tanah, kemudian Dia berkata kepadanya, “Jadilah!” (seorang manusia), maka jadilah dia.”

Ali ‘Imran 3:59

Daripada Abu Dzarr ra, Rasulullah saw bersabda:

“Allah Swt berfirman, ‘Wahai hamba-hamba-Ku, setiap daripada kalian adalah berdosa kecuali yang Aku maafkan, maka mintalah ampun kepada-Ku nescaya Aku akan mengampuni kalian. Dan setiap kalian adalah fakir kecuali yang Aku cukupkan. Sesungguhnya Aku Maha Pemurah, Maha Mulia lagi Maha Kaya, Aku melakukan apa yang Aku kehendaki. Anugerah-Ku (cukup dengan) ucapan dan seksaan-Ku (cukup dengan) ucapan, jika Aku menghendaki sesuatu, Aku hanya berkata kepadanya, ‘Jadilah.’ Maka jadilah ia.’”

(HR. Ahmad)

Ayat 83

فَسُبْحَـٰنَ ٱلَّذِى بِيَدِهِۦ مَلَكُوتُ كُلِّ شَىْءٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nya kamu dikembalikan.

Maha Suci dan Maha Tinggi Allah Ta’ala daripada kesyirikan dan kelemahan, Dia adalah Rabb yang menguasai segala sesuatu yang bertindak terhadap segala urusan makhluk-Nya tanpa ada yang mampu menentang atau menghalang-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maha Suci (Allah) yang (berada) di tangan-Nya semua kerajaan, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

Al-Mulk 67:1

Hadis berkaitan kekuasaan dan keagungan Allah Swt:

Huzaifah bin Yaman ra berkata, “Pada suatu malam, saya solat bersama dengan Rasulullah saw. Baginda membaca As-Sab’uth thiwaal (tujuh surah yang panjang) dalam tujuh rakaat. Apabila baginda mengangkat kepala dari rukuk, baginda membaca, سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَه  ‘Allah Maha Mendengar siapa yang memuji-Nya.’ Kemudian membaca, سُبْحَانَ ذِيْ المَلَكُوْتِ والجَبَرُوْتِ والْكِبْرِيَاءِ والعَظَمَة  ‘Segala puji hanya milik Allah yang memiliki kerajaan (Malakut), kekuasaan (Jabarut), kesombongan dan keagungan.’

Rukuk baginda sama dengan lamanya baginda berdiri, sujudnya sama dengan lama rukuknya. Lalu baginda beredar (selesai solat), dan hampir kedua-dua kakiku akan pecah.”

(HR. Ahmad)