Kebanyakan Manusia Mengingkari Adanya Kehidupan selepas Kematian
Surah 36: Yasin (77 – 80)
Ayat 77
أَوَلَمْ يَرَ ٱلْإِنسَـٰنُ أَنَّا خَلَقْنَـٰهُ مِن نُّطْفَةٍ فَإِذَا هُوَ خَصِيمٌ مُّبِينٌ
Dan apakah manusia tidak memperhatikan bahawa Kami menciptakannya daripada setitis air (mani), maka tiba-tiba dia menjadi penentang yang nyata?
Allah Swt menggambarkan kebodohan sesetengah manusia yang bersikap penentang kerana tidak mempercayai perkara-perkara yang benar. Pertanyaan kepada mereka mengandungi celaan iaitu tidakkah memikirkan bahawa sesungguhnya Dia menciptakan mereka daripada air mani, kemudian melalui beberapa tahap pertumbuhan dalam rahim ibu mereka sehingga akhirnya lahir dan membesar. Namun kemudian mereka menjadi orang yang banyak berdebat dan membantah serta berani mencabar Allah Swt Yang Maha Berkuasa mengadakan Hari Kebangkitan. Mengapa mereka tidak melihat hal itu untuk dijadikan sebagai bukti adanya Hari Kebangkitan?
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Bukankah Kami menciptakan kamu daripada air yang hina (mani). Kemudian Kami letakkan ia di dalam tempat yang kukuh (rahim), sampai waktu yang ditentukan.”
Al-Mursalat 77:20-22
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur………..”
Al-Insan 76:2
Ayat 78
وَضَرَبَ لَنَا مَثَلًا وَنَسِىَ خَلْقَهُۥ ۖ قَالَ مَن يُحْىِ ٱلْعِظَـٰمَ وَهِىَ رَمِيمٌ
Dan dia membuat perumpamaan bagi Kami, dan dia lupa kepada kejadiannya, dia berkata, “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang, yang telah hancur luluh?”
Kemudian manusia yang menjadi penentang tersebut memperkecilkan kekuasaan Allah Swt dengan menganggap mustahil tulang-belulang yang telah hancur itu dapat dihidupkan semula. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang bodoh kerana melupakan asal penciptaan mereka.
Ayat 79
قُلْ يُحْيِيهَا ٱلَّذِىٓ أَنشَأَهَآ أَوَّلَ مَرَّةٍ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ خَلْقٍ عَلِيمٌ
Katakanlah (Muhammad), “Yang akan menghidupkannya ialah (Rabb) yang menciptakannya kali yang pertama. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk.
Lalu Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menjawab pertanyaan mereka dengan mengatakan bahawa yang menghidupkan mereka adalah yang menciptakan mereka pada kali pertama dan Dia Maha Mengetahui seluruh makhluk-Nya. Sesungguhnya tidak ada sesuatu pun yang samar bagi-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Bagaimana kamu ingkar kepada Allah, padahal kamu (tadinya) mati, lalu Dia menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu lalu Dia menghidupkan kamu kembali, kemudian kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”
Al-Baqarah 2:28
“Demikian itu sesungguhnya, Allah, Dia-lah yang hak dan sesungguhnya Dia-lah yang menghidupkan segala yang mati dan sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”
Al-Hajj 22:6
Ayat 80
ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُم مِّنَ ٱلشَّجَرِ ٱلْأَخْضَرِ نَارًا فَإِذَآ أَنتُم مِّنْهُ تُوقِدُونَ
Iaitu (Rabb) yang menjadikan untukmu api daripada kayu yang hijau, maka tiba-tiba kamu nyalakan (api) daripada kayu itu.”
Allah Swt memulakan penciptaan pokok itu daripada air hingga ia menjadi pokok yang hijau lagi subur, berbunga dan berbuah. Kemudian Dia kembalikannya menjadikan kayu yang kering, dan dengannya api dapat dinyalakan.
Demikianlah, Allah Swt mampu melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Dia Maha Berkuasa atas segala yang Dia kehendaki dan tidak ada sesuatu pun yang menghalang-Nya.