Binatang Ternakan Merupakan Nikmat daripada Allah Swt
Surah 36: Yasin (71 – 73)
Ayat 71
أَوَلَمْ يَرَوْا۟ أَنَّا خَلَقْنَا لَهُم مِّمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَآ أَنْعَـٰمًا فَهُمْ لَهَا مَـٰلِكُونَ
Dan apakah mereka tidak melihat bahawa sesungguhnya Kami telah menciptakan binatang ternak untuk mereka iaitu sebahagian daripada apa yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami sendiri, lalu mereka menguasainya?
Ayat 72
وَذَلَّلْنَـٰهَا لَهُمْ فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ
Dan Kami tundukkan binatang-binatang itu untuk mereka, maka sebahagiannya menjadi tunggangan mereka dan sebahagiannya mereka makan.
Ayat 73
وَلَهُمْ فِيهَا مَنَـٰفِعُ وَمَشَارِبُ ۖ أَفَلَا يَشْكُرُونَ
Dan mereka memperoleh daripadanya pelbagai manfaat dan minuman. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?
Dalam rangkaian ayat-ayat di atas, Allah Swt memaparkan beberapa bukti tentang keesaan-Nya dan mempersoalkan mengapa orang-orang musyrik tidak bersyukur dengan mengesakan-Nya. Padahal mereka menyaksikan segala ciptaan-Nya berupa binatang-binatang ternakan lalu Dia tundukkan untuk kepentingan mereka.
Ada di antara binatang-binatang itu dapat mereka jinakkan untuk dijadikan haiwan tunggangan dan pengangkutan. Binatang-binatang ini mereka gunakan untuk mengangkut barang-barang dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Selain itu, ada di antara binatang-binatang ini dapat dimakan dagingnya dan diminum susunya. Manakala manfaat-manfaat yang lain daripada binatang-binatang ini ialah bulu dan kulit dijadikan pakaian dan perhiasan.
Oleh itu, mengapa orang-orang musyrik masih tidak mahu menyembah hanya kepada Allah Swt yang telah menundukkan dan mengadakan pelbagai nikmat untuk mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu, padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan. Dan kamu memperoleh pandangan yang indah padanya, ketika kamu membawanya kembali ke kandang dan ketika kamu melepaskannya ke tempat penggembalaan. Dan ia memikul beban-bebanmu ke suatu negeri yang kamu tidak sanggup sampai kepadanya, melainkan dengan kesukaran-kesukaran (yang memayahkan) diri. Sesungguhnya Rabbmu benar-benar Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”
An-Nahl 16:5-7