Surah 36: Yasin (69 – 70)

Nabi Muhammad saw Bukanlah Seorang Penyair dan Al-Quran adalah Sebuah Kitab Pemberi Peringatan

Surah 36: Yasin (69 – 70)


Ayat 69

وَمَا عَلَّمْنَـٰهُ ٱلشِّعْرَ وَمَا يَنۢبَغِى لَهُۥٓ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ وَقُرْءَانٌ مُّبِينٌ

Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al-Quran itu tidak lain hanyalah pengajaran dan kitab yang jelas.

Allah Swt dengan tegas menafikan bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang penyair dan baginda tidak memiliki kemampuan untuk bersyair. Dia menjadikan baginda seorang yang ummi iaitu tidak pandai membaca dan menulis. Namun, Dia mengajarkan Al-Quran yang sangat tinggi nilainya dan sangat jauh bezanya dengan syair.

Sesungguhnya Al-Quran itu bukanlah syair, khayalan, ramalan ataupun cerita yang direka-reka, tetapi ia adalah kitab yang diturunkan oleh Allah Swt yang mengandungi nasihat, bimbingan dan penerangan yang jelas.

Al-Quran bermanfaat kepada orang-orang yang membacanya sambil merenungkan isi kandungannya untuk dijadikan sebagai rujukan dalam mencari petunjuk dan panduan untuk beramal dalam segenap urusan kehidupan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan ia (Al-Quran) itu bukanlah perkataan seorang penyair. Tetapi sedikit sekali kamu beriman kepadanya. Dan bukan pula perkataan tukang tilik. Namun sedikit sekali kamu mengambil pengajaran daripadanya.”

Al-Haqqah 69:41-42

“(Al-Quran) yang tidak akan didatangi oleh kebatilan, baik dari depan mahupun dari belakang, (pada masa lalu dan pada masa akan datang), yang diturunkan oleh Rabb Yang Maha Bijaksana lagi MahaTerpuji.”

Fussilat 41:42

Ayat 70

لِّيُنذِرَ مَن كَانَ حَيًّا وَيَحِقَّ ٱلْقَوْلُ عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ

Supaya dia (Muhammad) memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup (hatinya) dan supaya pastilah ketetapan (azab) terhadap orang-orang kafir.

Oleh itu dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan tugas Rasulullah saw ialah menyampaikan isi kandungan Al-Quran yang jelas ini untuk memberi peringatan kepada umat manusia.

Namun orang yang mampu mengambil manfaat daripada peringatan Al-Quran adalah orang yang hidup hatinya. Begitu juga dengan adanya Al-Quran ini, ketetapan azab kepada orang-orang kafir yang menolak untuk beriman pasti berlaku disebabkan kekafiran mereka. Ini juga menunjukkan bahawa Al-Quran adalah rahmat kepada orang-orang beriman dan hujjah kepada orang-orang kafir.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu benar-benar suatu pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa.”

Al-Haqqah 69:48

“Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran, sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, dan engkau tidak akan diminta (pertanggungjawaban) tentang penghuni-penghuni neraka.”

Al-Baqarah 2:119