Pemisahan Orang Kafir daripada Orang Mukmin pada Hari Kiamat dan Balasan terhadap Mereka
Surah 36: Yasin (59 – 68)
Ayat 59
وَٱمْتَـٰزُوا۟ ٱلْيَوْمَ أَيُّهَا ٱلْمُجْرِمُونَ
Dan (dikatakan kepada orang-orang kafir), “Berpisahlah kamu (daripada orang-orang mukmin) pada hari ini, wahai orang-orang yang berdosa!
Allah Swt menyebutkan pula balasan kepada orang-orang kafir. Mereka diarahkan agar menyisihkan diri atau menjauhi orang-orang mukmin sebagai satu bentuk penghinaan sekali gus sebagai persiapan bagi mereka untuk memasuki Neraka Jahannam. Manakala orang-orang mukmin akan diiringi ke syurga.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan (Ingatlah) pada hari (ketika) itu Kami kumpulkan mereka semuanya, kemudian Kami katakan kepada orang-orang yang menyekutukan (Allah), ‘Tetaplah di tempatmu, kamu dan para sekutumu.’ Lalu Kami pisahkan mereka dan berkatalah sekutu-sekutu mereka, ‘Kamu sekali-kali tidak pernah menyembah kami.’”
Yunus 10:28
“Dan pada hari (ketika) terjadi kiamat, pada hari itu manusia berpecah-pecah (dalam kelompok).”
Ar-Rum 30:14
“………..pada hari itu mereka terpisah-pisah.”
Ar-Rum 30:43
“(Diperintahkan kepada malaikat), ‘Kumpulkanlah orang-orang yang zalim beserta teman sejawat mereka dan apa yang dahulu mereka sembah. Tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka.’”
As-Saffat 37:22-23
Ayat 60
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا۟ ٱلشَّيْطَـٰنَ ۖ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu, wahai Bani Adam, supaya kamu tidak menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.
Ayat 61
وَأَنِ ٱعْبُدُونِى ۚ هَـٰذَا صِرَٰطٌ مُّسْتَقِيمٌ
Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.
Ayat 62
وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنكُمْ جِبِلًّا كَثِيرًا ۖ أَفَلَمْ تَكُونُوا۟ تَعْقِلُونَ
Sesungguhnya ia (syaitan itu) telah menyesatkan sebahagian besar di antara kamu. Maka apakah kamu tidak memikirkan?
Seterusnya, Allah Swt menyatakan penyebab mereka dipisahkan seraya mengecam dan mencerca kekafiran mereka. Ini kerana Dia telah pun menegaskan peringatan-Nya terhadap hamba-hamba-Nya tentang bahayanya syaitan.
Syaitan merupakan musuh manusia yang tujuan utamanya adalah untuk menyesatkan ramai umat manusia dengan pujuk rayunya, memperindahkan segala perbuatan keji mereka serta menghalang mereka beribadah hanya kepada Allah Swt. Apakah mereka masih tidak menggunakan akal yang diberikan-Nya untuk mengambil pengajaran daripada peringatan-Nya serta memahami permusuhan syaitan terhadap mereka. Apakah mereka tidak menyedari bahawa mereka diperintahkan untuk taat dan beribadah hanya kepada Allah Swt, bukan kepada syaitan.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya (syaitan) itu hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan, perkara yang keji, dan mengatakan apa yang tidak kamu ketahui (tentang Allah).”
Al-Baqarah 2:169
“(Syaitan itu) memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain tipuan belaka.”
An-Nisa’ 4:120
“(Tentang syaitan), telah ditetapkan bahawa sesiapa yang berkawan dengannya, tentu ia akan menyesatkannya, dan membawanya ke azab neraka.”
Al-Hajj 22:4
Ayat 63
هَـٰذِهِۦ جَهَنَّمُ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ
Inilah Neraka Jahannam yang dahulu kamu diancam dengannya.
Ayat 64
ٱصْلَوْهَا ٱلْيَوْمَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ
Masuklah ke dalamnya pada hari ini kerana dahulu kamu mengingkarinya.”
Ayat-ayat ini juga merupakan kecaman dan celaan daripada Allah Swt kepada orang-orang kafir. Mereka ditunjukkan Neraka Jahannam yang dahulunya telah diperingatkan kepada mereka oleh para Rasul, tetapi telah didustakan. Kemudian mereka diarahkan agar masuk ke dalamnya.
Ayat 65
ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan dan kaki mereka memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.
Anggota tubuh manusia yang ketika di dunia dahulu menjadi penolong mereka, pada hari itu semuanya menjadi saksi kepada Rabb mereka. Ini kerana Allah Swt akan mengunci mulut mereka dan hanya anggota tubuh mereka yang lain sahaja yang diizinkan-Nya berkata-kata. Maka tangan dan kaki akan menjadi saksi atas segala perlakuan mereka di dunia dahulu.
Daripada Anas bin Malik ra berkata, suatu hari mereka bersama dengan Rasulullah saw, baginda ketawa sehingga kelihatan gerahamnya, kemudian baginda bersabda:
“Tahukah kalian mengapa aku ketawa? Aku ketawa kerana ada perdebatan di antara seorang hamba dengan Rabbnya. Hamba ini bertanya, ‘Wahai Rabbku! Bukankah Engkau telah memberikan rasa aman bahawa Engkau tidak akan menzalimi aku?’ Allah menjawab, ‘Benar.’ Hamba itu berkata lagi, ‘Aku tidak akan menerima kesaksian atas diriku, kecuali daripada diriku sendiri.’ Allah berfirman, ‘Cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghisab atas amal perbuatanmu. Cukuplah malaikat Kiram Al-Katibin (malaikat yang mulia pencatat amal-amal manusia) yang menjadi saksi atas dirimu.’ Maka dikuncilah mulutnya dan dikatakan kepada anggota tubuhnya, ‘Berbicaralah kamu!’ Maka satu persatu anggota tubuhnya berbicara tentang amal perbuatannya (yang memberatkan dirinya). Kemudian Allah tidak mengacuhkan perkataan anggota-anggota tubuhnya. Allah berfirman, ‘Jauh sekali amalan kalian ini (anggota tubuh yang sedang berbicara) daripada keredhaan-Ku. Tadinya Aku ingin membela (dosa-dosa) kalian.’”
(HR. Muslim)
Ayat 66
وَلَوْ نَشَآءُ لَطَمَسْنَا عَلَىٰٓ أَعْيُنِهِمْ فَٱسْتَبَقُوا۟ ٱلصِّرَٰطَ فَأَنَّىٰ يُبْصِرُونَ
Dan jika Kami mahu, pastilah Kami hapuskan penglihatan mata mereka, sehingga mereka berlumba-lumba (mencari) jalan. Maka betapakah mereka dapat melihat(nya)?
Seterusnya, Allah Swt menyatakan kekuasaan-Nya kepada hamba-hamba-Nya iaitu sekiranya Dia menghendaki, Dia boleh menghapuskan penglihatan orang-orang kafir sehingga mereka tidak dapat melihat padahal mereka dikehendaki berbuat amal kebaikan. Akan tetapi, Dia tidak melakukan hal tersebut kerana kasih sayang-Nya. Maka orang-orang kafir tetap dapat melihat dan berbuat baik di dunia sesuai dengan petunjuk agama jika mereka mahu.
Namun mereka tidak melakukannya, bahkan mereka berbuat dosa. Oleh itu, mereka tidak memiliki pahala daripada amal kebaikan, sebaliknya mereka memiliki dosa atas perbuatan mereka sehingga mereka akan diseksa.
Ayat 67
وَلَوْ نَشَآءُ لَمَسَخْنَـٰهُمْ عَلَىٰ مَكَانَتِهِمْ فَمَا ٱسْتَطَـٰعُوا۟ مُضِيًّا وَلَا يَرْجِعُونَ
Dan jika Kami mahu pastilah Kami ubah mereka dari tempat mereka berada, maka mereka tidak sanggup berjalan lagi dan tidak (juga) sanggup kembali.
Allah Swt juga menyatakan sekiranya Dia menghendaki, Dia akan mengubah bentuk orang-orang kafir di tempat mereka berada, sehingga mereka tidak boleh berjalan dan kembali.
Namun, Allah Swt tidak melakukannya kerana kasih sayang dan rahmat-Nya. Dia masih memberi manusia kesempatan dan peluang untuk bertaubat dan beramal soleh meskipun mereka telah menyekutukan-Nya.
Walaupun orang-orang kafir memiliki kesempatan untuk beramal soleh sesuai petunjuk agama, mereka tetap tidak melakukannya. Bahkan mereka bertambah ingkar sehingga mereka mendapat seksaan yang berat dan menghinakan di akhirat.
Ayat 68
وَمَن نُّعَمِّرْهُ نُنَكِّسْهُ فِى ٱلْخَلْقِ ۖ أَفَلَا يَعْقِلُونَ
Dan sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, nescaya Kami kembalikan dia kepada awal (kejadiannya). Maka apakah mereka tidak memikirkan?
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa sesiapa yang Dia panjangkan usianya sehingga menjadi tua, maka dia akan dikembalikan kepada keadaannya seperti asal ketika akal dan jasadnya masih lemah. Oleh itu, mengapa mereka tidak berfikir bahawa Dia-lah yang berkuasa melakukan semua ini dan juga berkuasa membangkitkan mereka kelak.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Allah, Dia-lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dia-lah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.”
Ar-Rum 30:54
“……….dan ada pula di antara kamu yang dikembalilan sehingga usia yang sangat tua, sehingga dia tidak mengetahui lagi sesuatu yang telah diketahuinya……….”
Al-Hajj 22:5
“……………Dan di antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (lanjut dan nyanyuk) supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang pernah diketahuinya………..”
An-Nahl 16:70