Berpalingnya Orang Musyrik daripada Peringatan
Surah 36: Yasin (45 – 47)
Ayat 45
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّقُوا۟ مَا بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَمَا خَلْفَكُمْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Takutlah kamu akan azab yang di hadapanmu (dunia) dan azab yang akan datang (akhirat) supaya kamu mendapat rahmat,” (nescaya mereka berpaling).
Ayat 46
وَمَا تَأْتِيهِم مِّنْ ءَايَةٍ مِّنْ ءَايَـٰتِ رَبِّهِمْ إِلَّا كَانُوا۟ عَنْهَا مُعْرِضِينَ
Dan setiap kali suatu tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Rabb datang kepada mereka, mereka selalu berpaling daripadanya.
Dalam ayat-ayat ini, Allah Swt menyatakan sikap orang-orang musyrik yang berterusan dalam kezaliman, kegelapan dan kesesatan mereka. Apabila diberikan peringatan dengan ayat-ayat-Nya, mereka mendustakan, enggan mengambil pengajaran daripada pelbagai peristiwa yang menimpa kaum yang terdahulu, nasib umat-umat yang dibinasakan oleh-Nya disebabkan pendustaan dan keingkaran mereka terhadap para utusan-Nya dan memandang ringan perkara yang akan mereka hadapi pada Hari Kiamat kelak.
Ayat 47
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ أَنفِقُوا۟ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ قَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَنُطْعِمُ مَن لَّوْ يَشَآءُ ٱللَّهُ أَطْعَمَهُۥٓ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Nafkahkanlah sebahagian daripada rezeki yang diberikan oleh Allah kepadamu,” orang-orang yang kafir itu berkata kepada orang-orang yang beriman, “Apakah patut kami memberi makan kepada orang-orang yang jika Allah kehendaki tentulah Dia akan memberinya makan, kamu benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Sebagaimana orang-orang musyrik ini tidak mengendahkan peringatan agama yang diberikan kepada mereka, mereka juga tidak mempunyai sifat bersimpati dan berbelas kasihan kepada sesama manusia, bahkan mereka mencemuh lagi bersikap bakhil apabila diminta berinfak. Mereka benar-benar kehilangan perasaan kasih sayang terhadap sesama makhluk. Begitulah keadaan orang-orang yang bakhil pada setiap zaman.