Peringatan Hanya Berguna bagi Orang yang Takut kepada Allah Swt
Surah 36: Yasin (11 – 12)
Ayat 11
إِنَّمَا تُنذِرُ مَنِ ٱتَّبَعَ ٱلذِّكْرَ وَخَشِىَ ٱلرَّحْمَـٰنَ بِٱلْغَيْبِ ۖ فَبَشِّرْهُ بِمَغْفِرَةٍ وَأَجْرٍ كَرِيمٍ
Sesungguhnya engkau hanya memberi peringatan kepada orang-orang yang mahu menerima peringatan dan yang takut kepada (Allah) Yang Maha Pemurah walaupun dia tidak melihatnya. Maka berilah mereka berita gembira dengan keampunan dan pahala yang mulia.
Allah Swt menyatakan bahawa peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah saw hanya berguna kepada orang-orang yang beriman kepada Al-Quran, mengikuti hukum-hukum dan syariat yang terkandung di dalamnya.
Peringatan itu juga berguna kepada orang-orang beriman yang takut kepada hukuman Allah Swt walaupun mereka belum pernah menyaksikan azab dan kengerian-kengerian azab-Nya.
Oleh itu, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menyampaikan berita gembira kepada mereka iaitu mereka akan mendapat keampunan terhadap dosa-dosa dan juga akan diberikan balasan pahala yang mulia berupa nikmat yang kekal iaitu syurga. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Rabb mereka sewaktu mereka belum melihat azab neraka, mereka akan peroleh keampunan dan pahala yang besar.”
Al-Mulk 67:12
Ayat 12
إِنَّا نَحْنُ نُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا۟ وَءَاثَـٰرَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَىْءٍ أَحْصَيْنَـٰهُ فِىٓ إِمَامٍ مُّبِينٍ
Sesungguhnya Kami-lah yang menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami-lah yang mencatat apa yang telah mereka kerjakan dan kesan-kesan yang mereka (tinggalkan). Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam kitab yang jelas (Lauh Mahfuzh).
Maksud ayat, “Kami-lah yang mencatat apa yang telah mereka kerjakan dan kesan-kesan yang mereka (tinggalkan).” ialah Allah Swt menuliskan amalan-amalan yang mereka lakukan dan amalan-amalan yang mereka tinggalkan untuk orang-orang sesudah mereka, kemudian Dia akan memberi balasan kepada mereka. Jika amalan itu baik, maka akan dibalas dengan kebaikan dan jika buruk, maka akan dibalas dengan keburukan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw:
“Sesiapa yang membuat satu perbuatan yang baik di dalam Islam, maka baginya pahala dirinya dan pahala orang yang sesudahnya yang mengamalkannya, tanpa dikurangi sedikitpun daripada pahala mereka. Dan sesiapa yang membuat perbuatan yang buruk di dalam Islam, maka baginya dosa dirinya dan dosa orang sesudahnya yang mengamalkannya, tanpa dikurangi sedikitpun daripada dosa mereka.”
(HR. Muslim)
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Apabila anak Adam meninggal terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya atau sedekah yang terus mengalir pahalanya (sesudah kematiannya).”
(HR. Muslim)