Surah 36: Yasin (1 – 7)

Rasulullah saw Diutus sebagai Pemberi Peringatan

Surah 36: Yasin (1 – 7)


Ayat 1

يسٓ

Ya Sin.

Ayat 2

وَٱلْقُرْءَانِ ٱلْحَكِيمِ

Demi Al-Quran yang penuh hikmah.

Ayat 3

إِنَّكَ لَمِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ

Sesungguhnya engkau (Muhammad) adalah salah seorang daripada Rasul-rasul.

Ayat 4

عَلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

(Yang berada) di atas jalan yang lurus.

Ayat 5

تَنزِيلَ ٱلْعَزِيزِ ٱلرَّحِيمِ

(Sebagai wahyu) yang diturunkan oleh (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.

Pada permulaan surah ini, Allah Ta’ala bersumpah dengan Al-Quran yang agung, yang sempurna tata bahasa dan maknanya, sesesungguhnya Nabi Muhammad saw benar-benar seorang Rasul dari sisi-Nya yang berada di atas manhaj, agama dan syariat yang lurus, tanpa ada penyimpangan dan penyelewengan sedikitpun.

Allah Swt juga menjelaskan bahawa jalan, agama dan manhaj yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw diturunkan oleh Rabb Pemilik kekuasaan dan keperkasaan dan Yang Mengasihi hamba-hamba-Nya yang beriman.

Ayat 6

لِتُنذِرَ قَوْمًا مَّآ أُنذِرَ ءَابَآؤُهُمْ فَهُمْ غَـٰفِلُونَ

Agar engkau memberi peringatan kepada suatu kaum yang nenek moyang mereka belum pernah diberi peringatan, kerana itu mereka lalai.

Allah Swt mengutuskan Rasulullah saw untuk menyampaikan isi kandungan Al-Quran yang penuh dengan hikmah kepada bangsa Arab yang belum pernah sampai peringatan kepada mereka, juga menjadi pedoman kepada seluruh umat manusia hingga ke akhir zaman.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“……….Dan sesungguhnya engkau benar-benar membimbing (manusia) ke jalan yang lurus. Iaitu jalan Allah yang milik-Nya-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Ingatlah, segala urusan hanya kembali kepada Allah.”

Asy-Syura 42:52-53

“Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua………….’”

Al-A’raf 7:158

Ayat 7

لَقَدْ حَقَّ ٱلْقَوْلُ عَلَىٰٓ أَكْثَرِهِمْ فَهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ

Sesungguhnya telah pasti berlaku perkataan (ketentuan Allah) terhadap kebanyakan mereka, kerana mereka tidak beriman.

Sesungguhnya orang-orang musyrik layak untuk kekal berada dalam Neraka Jahannam dan menerima azab yang pedih di dalamnya selama-lamanya. Ini kerana mereka tetap memilih kekafiran, enggan memerhatikan ayat-ayat Al-Quran, tanda-tanda dan bukti-bukti yang jelas tentang kekuasaan dan keagungan Allah Swt.

Ibnu Jarir mengatakan, azab pasti berlaku kepada kebanyakan mereka kerana Allah Ta’ala telah menetapkan dalam Ummul Kitab (Lauhul Mahfuzh) bahawa mereka tidak beriman kepada Allah Ta’ala dan tidak membenarkan para Rasul-Nya.