Peringatan tentang Kelemahan Ilah-Ilah yang Disekutukan dengan Allah Swt
Surah 35: Fatir (40 – 41)
Ayat 40
قُلْ أَرَءَيْتُمْ شُرَكَآءَكُمُ ٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَرُونِى مَاذَا خَلَقُوا۟ مِنَ ٱلْأَرْضِ أَمْ لَهُمْ شِرْكٌ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ أَمْ ءَاتَيْنَـٰهُمْ كِتَـٰبًا فَهُمْ عَلَىٰ بَيِّنَتٍ مِّنْهُ ۚ بَلْ إِن يَعِدُ ٱلظَّـٰلِمُونَ بَعْضُهُم بَعْضًا إِلَّا غُرُورًا
Katakanlah, “Terangkanlah kepadaku tentang sekutu-sekutumu yang kamu seru selain Allah. Perlihatkanlah kepadaku (bahagian) manakah dari bumi ini yang telah mereka ciptakan atau adakah mereka mempunyai peranan dalam (penciptaan) langit atau adakah Kami memberi kepada mereka sebuah kitab sehingga mereka mendapat keterangan-keterangan yang jelas daripadanya? Sebenarnya orang-orang yang zalim itu sebahagian daripada mereka tidak menjanjikan kepada sebahagian yang lain, kecuali tipuan belaka.”
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw bertanya kepada orang-orang musyrik tentang kebergantungan mereka kepada berhala-berhala, iaitu adakah berhala-berhala tersebut mengambil bahagian atau mempunyai sebarang peranan dalam penciptaan langit dan bumi sehingga berhala-berhala itu disembah. Begitu juga adakah mereka telah menerima kitab daripada-Nya yang memerintahkan mereka menyembah berhala.
Jawapannya ialah sudah tentu tidak tetapi sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak lain hanyalah mengikut hawa nafsu, pendapat dan angan-angan mereka sahaja yang batil lagi menipu.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan mereka menyembah selain Allah, tanpa ada dasar yang jelas tentangnya, dan mereka juga tidak mempunyai pengetahuan tentang itu. Dan bagi orang-orang yang zalim tidak akan ada seorang pun penolong bagi mereka.”
Al-Hajj 22:71
“Dan mereka menyembah selain Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan bencana kepada mereka dan tidak (pula) memberikan manfaat……….”
Yunus 10:18
“Sesungguhnya mereka akan dihancurkan (oleh kepercayaan) yang dianuti mereka dan tetap sia-sia apa yang telah mereka lakukan.”
Al-A’raf 7:139
Ayat 41
إِنَّ ٱللَّهَ يُمْسِكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ أَن تَزُولَا ۚ وَلَئِن زَالَتَآ إِنْ أَمْسَكَهُمَا مِنْ أَحَدٍ مِّنۢ بَعْدِهِۦٓ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا
Sesungguhnya Allah menahan langit dan bumi supaya tidak lenyap, dan sungguh jika kedua-duanya akan lenyap, tidak ada seorang pun yang dapat menahan kedua-duanya selain Allah. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.
Allah Swt menjelaskan kekuasaan-Nya yang agung bahawa langit dan bumi tegak berdiri atas perintah-Nya. Tidak ada yang berkuasa mengatur dan mengekalkannya selain Dia.
Sesungguhnya Allah Swt Maha Penyantun, Dia tidak terburu-buru dalam menghukum hamba-hamba-Nya yang mensyirikkan-Nya, malah menangguhkan hukuman. Dia juga Maha Pengampun, Dia mengampuni sesiapa sahaja yang mahu bertaubat atas segala kesalahan pada masa dahulu.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Tidakkah engkau perhatikan bahawa Allah menundukkan bagimu (manusia) apa yang ada di bumi dan kapal yang belayar di lautan dengan perintah-Nya. Dan Dia menahan benda-benda di langit agar tidak jatuh ke bumi melainkan dengan izin-Nya?………………”
Al-Hajj 22:65
“Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah berdirinya langit dan bumi dengan kehendak-Nya…………….”
Ar-Rum 30:25