Allah Swt Menjadikan Manusia sebagai Khalifah di Muka Bumi
Surah 35: Fatir (39)
Ayat 39
هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَكُمْ خَلَـٰٓئِفَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ فَمَن كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُۥ ۖ وَلَا يَزِيدُ ٱلْكَـٰفِرِينَ كُفْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ إِلَّا مَقْتًا ۖ وَلَا يَزِيدُ ٱلْكَـٰفِرِينَ كُفْرُهُمْ إِلَّا خَسَارًا
Dia-lah yang menjadikan kamu sebagai khalifah-khalifah di bumi. Sesiapa kafir, maka (akibat) kekafirannya akan menimpa dirinya sendiri. Dan kekafiran orang-orang kafir itu hanya akan menambah kemurkaan di sisi Rabb mereka. Dan kekafiran orang-orang kafir itu tidak lain hanyalah akan menambah kerugian mereka belaka.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia-lah yang menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi yang datang dan pergi secara silih berganti dari satu generasi ke satu generasi yang lain supaya mereka memanfaatkan sumber kekayaan alam dan bersyukur kepada-Nya dengan mengesakan-Nya dan taat kepada-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya dalam surah yang lain:
“Ingatlah ketika Rabbmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ (Allah) berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’”
Al-Baqarah 2:30
Kemudian Allah Swt menyebutkan pula bahawa sesiapa yang kufur terhadap nikmat-Nya, dia sendirilah yang akan menanggung dan menerima balasan terhadap kekafirannya iaitu hukuman dan azab.
Apabila orang-orang kafir itu tetap berada dalam kekafiran, maka mereka tidak akan mendapatkan apa-apa kecuali kemurkaan Allah Swt dan kerugian di dunia dan akhirat.
Berbeza keadaannya dengan orang-orang mukmin, kerana sesungguhnya apabila seseorang mukmin itu diberi usia yang panjang dan dia beramal soleh, maka darjatnya makin tinggi. Begitu juga kedudukannya di dalam syurga. Pahala yang diterimanya bertambah dan Allah Swt yang menciptakannya makin mencintainya.