Surah 35: Fatir (38)

Allah Swt Maha Mengetahui Segala Perkara Ghaib

Surah 35: Fatir (38)


Ayat 38

إِنَّ ٱللَّهَ عَـٰلِمُ غَيْبِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ إِنَّهُۥ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

Sesungguhnya Allah mengetahui yang ghaib (tersembunyi) di langit dan di bumi. Dia Maha Mengetahui segala isi hati.

Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya pengetahuan-Nya meliputi segala sesuatu termasuk segala urusan hamba-hamba-Nya, tidak ada sesuatu pun yang berada di luar pengetahuan-Nya. Dia Maha Mengetahui setiap yang tersembunyi di langit dan di bumi. Dia Maha mengetahui bahawa sekiranya orang-orang kafir ini dikembalikan ke dunia, nescaya mereka tetap juga tidak akan mengerjakan amal yang soleh.

Firman Allah Swt dalam surah-surah yang lain:

“Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan yang kamu zahirkan. Dan Allah sentiasa Mengetahui segala isi hati.”

At-Taghabun 64:4

“Katakanlah (Muhammad), ‘Tidak ada sesuatu pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah……….’”

An-Naml 27:65

“Dia mengetahui yang ghaib, tetapi Dia tidak memperlihatkan kepada sesiapa pun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya……….”

Al-Jin 72:26-27