Keadaan Orang Kafir di dalam Neraka Jahannam
Surah 35: Fatir (36 – 37)
Ayat 36
وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَىٰ عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا۟ وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُم مِّنْ عَذَابِهَا ۚ كَذَٰلِكَ نَجْزِى كُلَّ كَفُورٍ
Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka Neraka Jahannam. Mereka tidak dibinasakan sehingga mereka mati, dan tidak diringankan daripada mereka azabnya. Demikianlah Kami membalas setiap orang yang sangat kafir.
Setelah Allah Swt menjelaskan keadaan orang-orang yang berbahagia, Dia menjelaskan pula apa yang akan menimpa orang-orang yang celaka dan sengsara di akhirat.
Mereka itu adalah orang-orang yang ingkar terhadap Allah Swt dan Al-Quran. Mereka dimasukkan ke dalam Neraka Jahannam dan bagi mereka azab yang sedikitpun tidak pernah diringankan walaupun hanya sekejap.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya sesiapa datang kepada Rabbnya dalam keadaan berdosa, maka sesungguhnya, baginya adalah Neraka Jahannam. Dia tidak mati tetapi terus merasakan azab di dalamnya dan tidak juga hidup.”
Taha 20:74
“Sesungguhnya, orang-orang yang berdosa itu kekal di dalam azab Neraka Jahannam. Tidak diringankan (azab) itu ke atas mereka, dan mereka berputus asa di dalamnya.”
Az-Zukhruf 43:74-75
“……….Setiap kali nyala api Jahannam itu padam, Kami akan tambah lagi nyalaannya bagi mereka.”
Al-Isra’ 17:97
“Maka rasalah kamu (azab yang disediakan), kerana Kami tidak akan melakukan apa-apa melainkan menambahkan lagi pelbagai azab kepada kamu.”
An-Naba’ 78:30
Kesengsaraan dan dahsyatnya keadaan penduduk neraka disebutkan dalam Sahih Muslim bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Adapun penduduk neraka, mereka tidak mati di dalamnya dan tidak juga hidup.”
(HR. Muslim)
Ayat 37
وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَـٰلِحًا غَيْرَ ٱلَّذِى كُنَّا نَعْمَلُ ۚ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُم مَّا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَن تَذَكَّرَ وَجَآءَكُمُ ٱلنَّذِيرُ ۖ فَذُوقُوا۟ فَمَا لِلظَّـٰلِمِينَ مِن نَّصِيرٍ
Dan mereka berteriak di dalam neraka itu, “Wahai Rabb kami, keluarkanlah kami (dari neraka), nescaya kami akan mengerjakan kebajikan, yang berlainan dengan yang telah kami kerjakan dahulu.” (Dikatakan kepada mereka), “Bukankah Kami telah memanjangkan umurmu untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, padahal telah datang kepadamu seorang pemberi peringatan? Maka rasakanlah (azab Kami), dan bagi orang-orang yang zalim tidak akan ada seorang penolong pun.”
Seterusnya, Allah Swt menggambarkan keadaan orang-orang kafir yang diazab di dalam neraka. Mereka terpekik terlolong dan terjerit-jerit meminta keampunan dan pertolongan. Selain itu, mereka meminta agar dikeluarkan daripada neraka dan dikembalikan semula ke dunia agar mereka dapat menggantikan kekafiran dengan ketaatan dan beramal soleh yang diredhai-Nya.
Lalu Allah Swt menjawab permintaan mereka dengan kecaman dan cercaan iaitu bukankah mereka telah diberikan kesempatan hidup sehingga sampai waktu tertentu yang cukup untuk mereka berfikir sekiranya mereka benar-benar mahu mengambil manfaat daripada kebenaran yang dibawa oleh para Rasul sepanjang umur mereka itu.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……….mereka melihat azab dan berkata, ‘Apakah ada jalan untuk kembali (ke dunia)?’”
Asy-Syura 42:44
“Yang demikian itu adalah kerana kamu mengingkari apabila diseru untuk menyembah Allah. Dan kamu percaya jika Allah disekutukan. Maka keputusan (sekarang ini) adalah pada Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.”
Ghafir 40:12
“Dan mereka berseru, “Wahai (malaikat) Malik, biarlah Rabbmu mematikan sahaja kami.’” Dia menjawab, “Sesungguhnya kamu akan tetap tinggal (di neraka ini).” Kami telah datang membawa kebenaran itu kepada kamu, tetapi kebanyakan kamu bencikannya.”
Az-Zukhruf 43:77-78
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah Swt telah memberikan kesempatan kepada seorang hamba yang Dia telah berikan kehidupan sehingga usianya mencapai enam puluh atau tujuh puluh tahun. Sungguh, Allah telah sangat cukup memberi kesempatan kepada orang itu, Allah telah sangat cukup memberi kesempatan kepada orang itu.”
(HR. Ahmad)
Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab sahihnya, daripada Abu Hurairah ra, dia berkata, Rasulullah saw pernah bersabda:
“Allah Swt memberikan kesempatan kepada seorang hamba yang Dia akhirkan usianya hingga mencapai enam puluh tahun.”
(HR. Al-Bukhari)
Oleh itu, semua balasan yang mereka terima sekarang adalah atas sikap mereka yang menentang, melawan, menolak seruan para Nabi dan Rasul ketika di dunia dahulu. Jelaslah sudah bahawa pada hari itu tiada seorang penolong pun yang mampu menyelamatkan mereka daripada azab dan hukuman tersebut.