Syurga ‘Adn sebagai Tempat Tinggal bagi Hamba-hamba-Nya yang Terpilih
Surah 35: Fatir (33 – 35)
Ayat 33
جَنَّـٰتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤًا ۖ وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ
(Bagi mereka) Syurga ‘Adn, mereka masuk ke dalamnya, di dalamnya mereka diberi perhiasan gelang-gelang daripada emas dan mutiara, dan pakaian mereka di dalamnya adalah sutera.
Allah Swt memberitahu bahawa orang-orang yang terpilih yang mewarisi kitab yang diturunkan-Nya akan memasuki Syurga ‘Adn pada hari mereka kembali menemui-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Mereka itulah yang memperoleh Syurga ‘Adn, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai (dalam syurga itu), mereka diberi perhiasan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau daripada sutera halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas pelamin-pelamin yang indah. (Itulah) sebaik-baik pahala, dan tempat istirahat yang indah.”
Al-Kahfi 18:31
Antara hadis yang berkaitan dengan nikmat perhiasan di dalam syurga:
“Perhiasan pada tubuh seorang mukmin (pada Hari Akhirat) akan mencapai bahagian air wudhu yang sampai ke bahagian tubuh itu.”
(HR. Muslim)
Ayat 34
وَقَالُوا۟ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِىٓ أَذْهَبَ عَنَّا ٱلْحَزَنَ ۖ إِنَّ رَبَّنَا لَغَفُورٌ شَكُورٌ
Dan mereka berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesedihan kami. Sesungguhnya Rabb kami benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.
Ketika mereka berada dalam syurga ‘Adn, mereka memuji Allah Swt dengan mengucapkan segala puji hanya bagi-Nya yang telah menghilangkan segala perasaan takut, bimbang, cemas dan membebaskan diri mereka daripada bebanan dunia dan akhirat.
Sesungguhnya Allah Swt Maha Pemberi kurnia serta rahmat dan Dia Maha Pengampun terhadap dosa-dosa hamba-hamba-Nya.
Ibnu ‘Abbas ra dan ulama’ lain berkata, “Akan diampuni dosa mereka yang banyak dan akan disyukuri amal perbuatan mereka yang sedikit.”
Allah Swt mensyukuri hamba-hamba-Nya dengan memberikan pahala terhadap amal-amal hamba-Nya, memaafkan kesalahan mereka, menambah dengan melipatgandakan kurniaan-Nya berupa nikmat dan rahmat-Nya.
Ayat 35
ٱلَّذِىٓ أَحَلَّنَا دَارَ ٱلْمُقَامَةِ مِن فَضْلِهِۦ لَا يَمَسُّنَا فِيهَا نَصَبٌ وَلَا يَمَسُّنَا فِيهَا لُغُوبٌ
Dengan kurniaan-Nya menempatkan kami ke dalam tempat yang kekal (syurga), di dalamnya kami tidak berasa lelah dan tidak pula berasa lesu.”
Seterusnya mereka memanjatkan lagi pujian dan syukur kepada Allah Swt atas kurniaan nikmat-Nya berupa tempat istirahat yang kekal di dalam syurga. Mereka tidak sedikitpun berasa susah, penat, sedih atau terbeban ketika berada di dalamnya.
Firman Allah Swt dalam ayat lain:
“Dikatakan kepada mereka, ‘Makan dan minumlah dengan nikmat kerana amalan yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang telah lalu.’”
Al-Haqqah 69:24
Semua penghargaan dan penghormatan yang mereka peroleh di syurga itu jauh lebih besar jika dibandingkan dengan semua amalan mereka ketika di dunia dahulu.
Rasulullah saw bersabda:
“Tidaklah amal perbuatan seseorang di antara kalian dapat memasukkannya ke dalam syurga.” Para sahabat bertanya, “Tidak juga engkau wahai Rasulullah?” Jawab baginda, “Tidak juga aku, melainkan apabila Allah melimpahkan rahmat dan kurniaan-Nya kepadaku.”
(HR. Al-Bukhari)