Surah 35: Fatir (29 – 30)

Khabar Gembira buat Kaum Mukminin

Surah 35: Fatir (29 – 30)


Ayat 29

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَـٰرَةً لَّن تَبُورَ

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi.

Ayat 30

لِيُوَفِّيَهُمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدَهُم مِّن فَضْلِهِۦٓ ۚ إِنَّهُۥ غَفُورٌ شَكُورٌ

Agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambah kepada mereka daripada kurniaan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.

Allah Swt menyatakan orang-orang yang sentiasa membaca Al-Quran dengan tekun dan rajin, mengamalkan suruhan-Nya seperti menunaikan solat dan menginfakkan sebahagian daripada apa yang telah Dia rezekikan kepada mereka sama ada secara tersembunyi atau terang-terangan untuk mencari keredhaan-Nya dan mengharapkan balasan dari sisi-Nya atas ketaatan mereka, Dia akan memberikan tambahan kurniaan-Nya dan mereka akan mendapat pertolongan-Nya pada Hari Kiamat nanti.

Sesungguhnya Allah Swt Maha Pengampun terhadap dosa-dosa para hamba-hamba-Nya dan Dia Maha Mensyukuri hamba-hamba-Nya dengan memberikan tambahan kurniaan-Nya berupa nikmat dan rahmat-Nya.

Allah Swt berfirman dalam ayat-ayat yang lain:

“Wahai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kamu berjuang dan membela agama Allah dengan harta benda dan dirimu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya. (Dengan itu) nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Itulah kemenangan yang besar. Dan (ada lagi) limpah kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.”

As-Saff 61:10-13

“Sesiapa meminjamkan Allah (menginfakkan harta pada jalan Allah) dengan pinjaman yang baik, maka Allah akan melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”

Al-Baqarah 2:245