Surah 35: Fatir (27 – 28)

Kekuasaan Allah Swt dan Keutamaan Ulama’

Surah 35: Fatir (27 – 28)


Ayat 27

أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَأَخْرَجْنَا بِهِۦ ثَمَرَٰتٍ مُّخْتَلِفًا أَلْوَٰنُهَا ۚ وَمِنَ ٱلْجِبَالِ جُدَدٌۢ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَٰنُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ

Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan air (hujan) dari langit lalu dengannya Kami hasilkan buah-buahan yang beraneka jenisnya. Dan di antara gunung-ganang itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka warnanya, dan ada (juga) yang hitam pekat.

Allah Swt menyatakan kesempurnaan penciptaan-Nya iaitu Dia menurunkan hujan dari langit, lalu dengan air itu Dia mengeluarkan pelbagai jenis buah-buahan dan tanam-tanaman yang pelbagai jenis, bentuk dan warna.

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“Dan di bumi terdapat bahagian-bahagian yang berhampiran, dan kebun-kebun anggur, tanam-tanaman, pohon kurma yang bercabang, dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama, tetapi Kami melebihkan sesuatu tanaman daripada yang lain tentang rasanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”

Ar-Ra’d 13:4

Allah Swt juga menciptakan gunung-ganang dalam pelbagai warna, ada yang berwarna putih dan ada juga berwarna merah. Pada sebahagian gunung-ganang itu terdapat garisan-garisan ataupun jalan-jalan di lereng-lerengnya.

Ayat 28

وَمِنَ ٱلنَّاسِ وَٱلدَّوَآبِّ وَٱلْأَنْعَـٰمِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَٰنُهُۥ كَذَٰلِكَ ۗ إِنَّمَا يَخْشَى ٱللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ ٱلْعُلَمَـٰٓؤُا۟ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

Dan demikian juga di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Allah Swt juga menciptakan manusia daripada pelbagai bangsa dan warna kulit yang berbeza, binatang-binatang yang melata dan binatang ternakan seperti unta, lembu dan kambing dengan pelbagai bentuk dan warnanya walaupun daripada jenis dan golongan haiwan yang sama.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu, dan warna kulitmu. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”

Ar-Rum 30:22

Allah Swt menyebutkan keragaman warna, corak dan bentuk penciptaan tanam-tanaman, buah-buahan, gunung-ganang dan binatang, adalah sebagai salah satu bukti kehebatan, keagungan dan kekuasaan-Nya.

Seterusnya, Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang takut kepada-Nya dengan sebenar-benarnya takut hanyalah orang-orang yang memiliki pengetahuan tentang-Nya. Ini kerana setiap kali bertambah pengetahuan seseorang itu tentang Dia Yang Maha Agung, Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui, semakin bertambah pula rasa takutnya. Setiap kali pengetahuan dan pemahamannya lebih sempurna tentang Allah Swt yang memiliki sifat-sifat yang sempurna dan diiringi dengan nama-nama-Nya yang baik, maka rasa takut kepada-Nya pun lebih agung dan lebih sempurna.

Menurut Ibnu ‘Abbas ra, berkaitan dengan ayat, “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’,” bermaksud orang yang mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Ibnu ‘Abbas ra, juga berkata, “Syarat untuk dikatakan seseorang itu alim tentang Allah Yang Maha Pengasih di antara hamba-hamba-Nya ialah, (1) tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, (2) menghalalkan apa yang Dia halalkan, (3) mengharamkan apa yang Dia haramkan, (4) menjaga dan memelihara tuntunan dan wasiat-Nya dan (5) menyakini bahawa Dia akan menemuinya dan menghisab amal perbuatannya.”

Allah Swt berfirman dalam ayat yang lain:

“(Apakah kamu orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadah pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, kerana takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Rabbnya? Katakanlah, “Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sebenarnya hanya orang-orang yang berakal sihat yang dapat menerima pengajaran.”

Az-Zumar 39:9