Surah 35: Fatir (12 – 14)

Semua Ciptaan Allah Swt merupakan Tanda Kekuasaan-Nya manakala Sembahan Kaum Musyrik Tidak Memiliki Sesuatu Pun

Surah 35: Fatir (12 – 14)


Ayat 12

وَمَا يَسْتَوِى ٱلْبَحْرَانِ هَـٰذَا عَذْبٌ فُرَاتٌ سَآئِغٌ شَرَابُهُۥ وَهَـٰذَا مِلْحٌ أُجَاجٌ ۖ وَمِن كُلٍّۢ تَأْكُلُونَ لَحْمًا طَرِيًّا وَتَسْتَخْرِجُونَ حِلْيَةً تَلْبَسُونَهَا ۖ وَتَرَى ٱلْفُلْكَ فِيهِ مَوَاخِرَ لِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan tidak sama (antara) dua laut, yang ini tawar, segar, sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit. Dan daripada masing-masing laut itu kamu dapat makan daging yang segar dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang dapat kamu memakainya, dan pada masing-masingnya kamu lihat kapal-kapal berlayar membelah laut supaya kamu dapat mencari kurniaan-Nya dan supaya kamu bersyukur.

Allah Swt mengingatkan tentang kekuasaan-Nya yang agung, dalam menciptakan makhluk-Nya yang beraneka jenis. Sebahagian penciptaan-Nya ialah dua jenis ‘laut’, yang satu rasanya tawar dan satu lagi masin lagi pahit.

‘Laut’ yang tawar itu adalah air yang mengalir di sungai-sungai, ada sungai yang kecil dan ada yang besar, sesuai dengan keperluan manusia. Sungai-sungai ini terdapat di pelbagai kawasan dan negeri iaitu di bandar-bandar, di hutan-hutan dan padang pasir. Air sungai itu tawar, segar, lagi sedap untuk diminum.

Manakala laut yang masin lagi pahit, ialah laut yang kebiasaannya menjadi laluan bagi kapal-kapal besar yang berlayar di atas permukaannya dengan mengangkut pelbagai keperluan manusia dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

Meskipun kedua-dua jenis laut itu berbeza namun kedua-duanya memiliki persamaan iaitu kedua-duanya menghasilkan makanan laut seperti ikan yang segar dan juga perhiasan di dalamnya. Zat yang manakah yang mampu mengadakan semua ini kalau bukan Allah Swt Yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak.

Oleh itu pada akhir ayat ini dinyatakan dengan adanya kurniaan Allah Swt seperti disebutkan itu, mudah-mudahan manusia mahu bersyukur kepada-Nya.

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“Dia membiarkan dua lautan mengalir yang (kemudian) kedua-duanya bercantum. Di antara kedua-duanya ada batas yang tidak melampaui sempadannya. Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan? Dari kedua-duanya keluar mutiara dan marjan. Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?”

Ar-Rahman 55:19-23

Ayat 13

يُولِجُ ٱلَّيْلَ فِى ٱلنَّهَارِ وَيُولِجُ ٱلنَّهَارَ فِى ٱلَّيْلِ وَسَخَّرَ ٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِى لِأَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمْ لَهُ ٱلْمُلْكُ ۚ وَٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ مَا يَمْلِكُونَ مِن قِطْمِيرٍ

Dia memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Yang (berbuat) demikian itulah Allah Rabbmu, kepunyaan-Nya-lah kerajaan. Dan mereka (sembahan-sembahan itu) yang kamu seru (sembah) selain Allah tidak mempunyai apa-apa walaupun senipis kulit ari.

Kemudian Allah Swt menyatakan pula bukti lain tentang kekuasaan-Nya yang sempurna, lengkap dan menyeluruh iaitu Dia menciptakan malam yang gelap dan siang yang terang.

Allah Swt memasukkan malam ke dalam siang sehingga waktu malam lebih panjang dari waktu siang. Dia juga memasukkan siang ke dalam malam sehingga waktu siang lebih panjang dari waktu malam. Dia-lah melebihkan dan mengurangkan kedua-dua waktu ini sehingga yang satu menjadi lebih panjang dan yang satu lagi menjadi pendek. Hal ini berganti-ganti antara musim panas dan musim dingin.

Allah Swt juga menggerakkan matahari, bulan, bintang-bintang dan planet-planet yang lain mengikut apa yang telah ditetapkan-Nya sehingga manusia mengetahui perhitungan waktu, hari, bulan dan tahun. Ini sebagaimana firman-Nya:

“Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran Kami), kemudian Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang benderang, agar kamu (dapat) mencari kurniaan daripada Rabbmu, dan agar kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Dan Kami telah terangkan dengan jelas segala sesuatu.”

Al-Isra’ 17:12

Semua ciptaan Allah Swt berupa langit, bumi, malam, siang dan sebagainya adalah merupakan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya. Dia-lah Pemilik segala sesuatu secara mutlak, sedangkan segala sesuatu selain-Nya adalah hamba dan makhluk ciptaan-Nya.

Allah Swt berfirman dalam ayat yang lain:

“Katakanlah (Muhammad), ‘Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan) selain Allah, mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit dan di bumi, dan mereka tidak mempunyai suatu peranan pun dalam (penciptaan) langit dan bumi dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya.’”

Saba’ 34:22

Ayat “(Sembahan-sembahan itu) yang kamu seru (sembah) selain Allah Swt tidak mempunyai apa-apa walaupun senipis kulit ari”, Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, Ikrimah, Qatadah dan lain-lain mengatakan قِطْمِيرٍ ialah selaput nipis yang terdapat pada kulit kurma.

Ayat 14

إِن تَدْعُوهُمْ لَا يَسْمَعُوا۟ دُعَآءَكُمْ وَلَوْ سَمِعُوا۟ مَا ٱسْتَجَابُوا۟ لَكُمْ ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ يَكْفُرُونَ بِشِرْكِكُمْ ۚ وَلَا يُنَبِّئُكَ مِثْلُ خَبِيرٍ

Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu, dan sekiranya mereka mendengar, mereka juga tidak dapat memperkenankan permintaanmu. Dan pada Hari Kiamat mereka akan mengingkari perbuatan syirik kamu dan tidak ada yang dapat memberi keterangan kepadamu seperti yang diberikan oleh (Allah) Yang Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

Allah Swt menjelaskan bahawa sembahan-sembahan kaum musyrikin tidak mendengar seruan mereka kerana mereka adalah benda-benda yang tidak mempunyai roh. Sekiranya ditakdirkan oleh-Nya sembahan-sembahan mereka itu boleh mendengar sekalipun, tidaklah sembahan-sembahan itu dapat memperkenankan doa orang-orang yang berdoa kepadanya dan juga tidak dapat memberikan pertolongan. Oleh itu, tidak ada gunanya orang-orang musyrik itu menyembah sesuatu yang tidak dapat memberikan manfaat atau mudharat, padahal hanya Allah Swt sahaja yang dapat melakukannya.

Pada Hari Kiamat kelak, semua sembahan itu akan mengingkari dan menyangkal bahawa mereka pernah menyuruh orang-orang kafir menyembah mereka. Pada hari itu sembahan-sembahan ini berlepas diri daripada apa yang dilakukan oleh orang-orang kafir.

Firman Allah Swt dalam surah-surah yang lain:

“Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang-orang yang menyembah selain Allah, (sembahan) yang tidak mampu memperkenankan sebarang doa hingga ke Hari Kiamat, dan mereka lalai dalam (memperhatikan) doa mereka? Dan apabila manusia dikumpulkan (Hari Kiamat), sembahan-sembahan itu menjadi musuh mereka, dan mendustakan pemujaan-pemujaan yang mereka telah lakukan.”

Al-Ahqaf 46:5-6

“Dan mereka telah memilih tuhan-tuhan selain Allah, agar tuhan-tuhan itu menjadi pelindung bagi mereka. Sekali-sekali tidak. Kelak sembahan-sembahan itu akan mengingkari penyembahan mereka terhadapnya, dan akan menjadi musuh bagi mereka.”

Maryam 19:81-82