Surah 35: Fatir (5 – 8)

Syaitan adalah Musuh yang Nyata

Surah 35: Fatir (5 – 8)


Ayat 5

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِٱللَّهِ ٱلْغَرُورُ

Wahai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu dan janganlah sekali-kali (syaitan) yang pandai menipu memperdayakan kamu tentang Allah.

Allah Swt mengingatkan manusia semuanya bahawa sesungguhnya janji-Nya tentang Hari Kiamat adalah benar dan tidak diragukan lagi.

Oleh itu, manusia diingatkan agar tidak dilalaikan atau terpedaya dengan kenikmatan dan kesenangan dunia sehingga menjadikan hidup mereka penuh dengan harapan dan angan-angan kosong serta menyebabkan mereka lupa menunaikan kewajipan terhadap Allah Swt dan melanggar larangan-Nya

Allah Swt juga mengingatkan manusia agar tidak terpedaya dengan tipu daya dan bisikan syaitan.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud ayat ini ialah janganlah sekali-kali manusia membiarkan syaitan menipu dan memalingkan mereka daripada mengikuti utusan-utusan Allah Swt dan membenarkan kalimah-kalimah-Nya. Sesungguhnya syaitan itu pada hakikatnya adalah penipu dan pembuat tipu daya.

Allah Swt berfirman dalam ayat yang lain:

“…………………Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.”

Luqman 31: 33

Ayat 6

إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُوا۟ حِزْبَهُۥ لِيَكُونُوا۟ مِنْ أَصْحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ

Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka layanlah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya ia (syaitan itu) hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.

Allah Swt mengingatkan manusia tentang permusuhan dan kebencian Iblis terhadap anak cucu Nabi Adam as. Oleh itu, mereka juga diingatkan agar melawan dan menyelamatkan diri daripada bisikan dan pujuk rayu syaitan dengan istiqamah mentaati-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Sesungguhnya tujuan dan keinginan jahat syaitan hanyalah untuk menyesatkan manusia agar dapat bersama-sama dengannya masuk ke dalam neraka yang azabnya keras lagi kekal.

Firman Allah Swt yang memperingatkan manusia tentang permusuhan Iblis dalam ayat yang lain:

“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam!” Maka mereka pun sujud kecuali Iblis. Dia adalah daripada golongan jin, maka ia menderhakai perintah Rabbnya. Layakkah kamu menjadikan dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain Aku, padahal mereka adalah musuhmu? Sangat buruklah (iblis itu) sebagai pengganti (Allah) bagi orang yang zalim.”

Al-Kahfi 18:50

Ayat 7

ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ ۖ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ

Orang-orang yang kafir bagi mereka azab yang keras. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang mengingkari-Nya dan Rasul-Nya serta adanya Hari Pembalasan kerana mengikut bisikan syaitan, mereka akan dihukum dengan azab Neraka Jahannam yang tersangat pedih.

Sedangkan orang-orang yang membenarkan iaitu beriman kepada Allah Swt, Rasul-Nya dan Hari Kiamat dengan menjalankan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya, mereka akan mendapat pengampunan daripada-Nya atas dosa-dosa yang telah mereka lakukan dan diberikan penghargaan dengan syurga disebabkan oleh keimanan dan amal soleh mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain tentang balasan bagi orang-orang yang kufur dan orang-orang beriman:

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, agar mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

An-Nisa’ 4:56

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan untuk mereka syurga Firdaus sebagai tempat tinggal.”

Al-Kahfi 18:107

Ayat 8

أَفَمَن زُيِّنَ لَهُۥ سُوٓءُ عَمَلِهِۦ فَرَءَاهُ حَسَنًا ۖ فَإِنَّ ٱللَّهَ يُضِلُّ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۖ فَلَا تَذْهَبْ نَفْسُكَ عَلَيْهِمْ حَسَرَٰتٍ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ

Maka apakah orang yang dijadikan (syaitan) menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu Dia meyakini pekerjaan itu baik, (sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan)? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya. Maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.

Seterusnya, Allah Swt menerangkan jauhnya perbezaan antara dua golongan tersebut iaitu golongan yang beriman dan golongan yang kufur dengan mengemukakan pertanyaan adakah sama orang-orang yang suka berbuat keburukan atau kejahatan kerana diperindahkan oleh syaitan hingga mereka meyakini perbuatan mereka itu baik dengan orang-orang mukmin yang tidak diperdayakan oleh syaitan.

Orang-orang demikian telah disesatkan oleh Allah Swt kerana sesiapa yang Dia menghendaki kesesatannya, maka Dia akan menyesatkannya dan sesiapa yang Dia menghendaki mendapat petunjuk, maka Dia akan memberinya petunjuk dan hidayah. Hal ini sesuai dengan pengetahuan-Nya Yang Maha Agung dan Sempurna tentang kecenderungan dan pilihan yang dimiliki oleh setiap jiwa kepada kebaikan atau keburukan.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak mempunyai kekuasaan untuk memberikan petunjuk kepada kaumnya. Oleh itu, baginda dinasihatkan agar tidak menyeksa dirinya lantaran berasa sedih dan bersalah atas kekufuran kaumnya. Ini kerana Dia Maha Mengetahui segala perbuatan mereka dalam mengerjakan keburukan-keburukan dan Dia pasti akan membalas mereka atas segala amal perbuatan mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Maka (apakah) boleh jadi engkau (Muhammad) akan membunuh dirimu kerana bersedih hati setelah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al-Quran).”

Al-Kahfi 18:6