Surah 35: Fatir (4)

Para Rasul Terdahulu Didustakan oleh Kaumnya

Surah 35: Fatir (4)


Ayat 4

وَإِن يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ ۚ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرْجَعُ ٱلْأُمُورُ

Dan jika mereka mendustakan engkau (sesudah engkau beri peringatan), maka sungguh Rasul-rasul sebelum engkau juga telah didustakan. Dan hanya kepada Allah-lah dikembalikan segala urusan.

Allah Swt menghiburkan dan mententeramkan hati Rasulullah saw agar tidak berasa sedih, resah dan gelisah atas sikap kaum baginda yang berterusan mendustakan, menolak dan mengingkari dakwah tauhid yang dibawa oleh baginda walaupun telah jelas dan nyata bukti-bukti yang ditunjukkan kepada mereka.

Allah Swt juga menyatakan bahawa para Rasul sebelum baginda juga mengalami perkara yang sama. Dakwah mereka juga didustakan, ditentang dan ditolak oleh kaum mereka. Namun mereka tetap bersabar menghadapi penderitaan dan penganiayaan daripada kaum mereka sehingga mendapat pertolongan-Nya. Ini kerana semua urusan hamba-hamba-Nya akan dikembalikan kepada-Nya. Dia-lah yang akan membalas kesabaran baginda dan juga pendustaan umatnya.