Surah 35: Fatir (1 – 3)

Hanya Allah Swt yang Berhak Dipuji dan Disyukuri

Surah 35: Fatir (1 – 3)


Ayat 1

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ فَاطِرِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ جَاعِلِ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ رُسُلًا أُو۟لِىٓ أَجْنِحَةٍ مَّثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۚ يَزِيدُ فِى ٱلْخَلْقِ مَا يَشَآءُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus pelbagai urusan) yang masing-masing mempunyai sayap, (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya, Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Allah Swt memuji diri-Nya untuk menyatakan kepada hamba-hamba-Nya tentang keagungan kekuasaan-Nya bahawa Dia-lah sahaja yang wajib disyukuri dan dipuji. Ini kerana Dia-lah Rabb yang telah mencipta langit dan bumi serta segala isinya tanpa ada contoh sebelumnya. Dia-lah juga yang mentadbirkan seluruh alam ini dengan cukup rapi dan teratur.

Selain itu, Allah Swt jugalah yang menjadikan malaikat yang ditugaskan sebagai utusan atau perantara untuk menyampaikan wahyu atau risalah-Nya kepada para Nabi-Nya.

Para malaikat ini memiliki sayap yang berbeza-beza. Ada yang memiliki dua sayap, tiga, empat dan ada yang memiliki lebih banyak lagi sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan Al-Bukhari, bahawa pada malam Isra’ Mi’raj, Rasulullah saw melihat Jibril as dalam bentuk aslinya mempunyai enam ratus sayap dan jarak antara dua sayap seperti jarak antara ufuk timur dan ufuk barat.

Ayat 2

مَّا يَفْتَحِ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ مِن رَّحْمَةٍ فَلَا مُمْسِكَ لَهَا ۖ وَمَا يُمْسِكْ فَلَا مُرْسِلَ لَهُۥ مِنۢ بَعْدِهِۦ ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

Apa juga rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatu pun yang dapat menahannya, dan apa juga yang ditahan oleh-Nya maka tidak ada sesuatu pun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia-lah sahaja yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Setelah Allah Swt menerangkan tentang kesempurnaan kekuasaan-Nya dalam penciptaan makhluk-Nya, dalam ayat ini Dia menerangkan pula tentang kekuasaan-Nya dalam memberikan rahmat-Nya ataupun menahannya.

Allah Swt menyatakan apa sahaja yang Dia anugerahkan kepada makhluk-Nya berupa rezeki, kesihatan, keamanan, kesejahteraan, ilmu pengetahuan, kenabian dan hikmah sebagai rahmat, maka tiada sesiapa pun yang dapat menghalang daripada sampai kepada yang diberikan-Nya. Begitulah juga sebaliknya, sekiranya Dia menahan dan tidak berkehendak memberikannya, maka tiada siapa pun yang mampu membuka pintu rahmat-Nya selepas itu.

Allah Swt Maha Perkasa menahan rahmat-Nya lagi Maha Bijaksana dalam membukakan dan melimpahkan rahmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki.

Imam Ahmad menceritakan daripada Warrad bekas hamba Al-Mughirah ibnu Syu’bah yang mengatakan, “Mu’awiyah menulis surat kepada Al-Mughirah ibnu Syu’bah, ‘Tuliskanlah untukku apa yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah saw.’” Maka Al-Mughirah memanggilku, lalu akupun menulis surat untuk Mu’awiyah, “Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah saw apabila telah selesai solat mengucapkan zikir berikut:

لا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الجَدّ مِنْكَ الجَدّ

‘Tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar melainkan Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala puji, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Ya Allah, tiada seorang pun yang dapat mencegah apa yang Engkau berikan, dan tiada seorang pun yang dapat memberi apa yang Engkau cegah, dan tidak bermanfaat kekayaan (kemuliaan) bagi orang yang memilikinya (kecuali iman dan amal solehnya), hanya daripada-Mu kekayaan (kemuliaan) itu.’”

(HR. Ahmad)

Disebutkan juga dalam kitab Sahih Muslim melalui Abu Sa’id Al-Khudri ra yang mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah saw apabila mengangkat kepalanya daripada rukuk baginda mengucapkan doa berikut:

سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمْدُهُ، اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مَلْءَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَمَلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ. اللَّهُمَّ، أهلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ. أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ، وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ. اللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الجَدّ مِنْكَ الْجَدُّ

“Allah Maha Mendengar terhadap orang yang memuji-Nya, Ya Allah, Rabb kami, bagi-Mulah segala puji sepenuh langit dan bumi dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki daripada sesuatu sesudahnya. Ya Allah, Pemilik segala pujian dan keagungan, sebagai perkataan yang paling berhak diucapkan oleh seorang hamba, dan kami semua adalah hamba-Mu. Ya Allah, tiada seorang pun yang dapat mencegah apa yang Engkau berikan, dan tiada seorang pun yang dapat memberi apa yang Engkau cegah, dan tidak bermanfaat kekayaan (kemuliaan) bagi orang yang memilikinya (kecuali iman dan amal solehnya), hanya daripada-Mu kekayaan (kemuliaan) itu.”

(HR. Muslim)

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“Dan jika Allah menimpakan suatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya……………”

Yunus 10:107

Ayat 3

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ ۚ هَلْ مِنْ خَـٰلِقٍ غَيْرُ ٱللَّهِ يَرْزُقُكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ ۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah Pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada Ilah selain Dia. Maka mengapakah kamu berpaling?”

Allah Swt mengingatkan dan membimbing hamba-hamba-Nya untuk merenungkan salah satu bukti tauhid iaitu Dia-lah satu-satunya Ilah yang mencipta dan memberi rezeki, agar mereka mengesakan-Nya dan beribadah hanya kepada-Nya.

Setelah menyaksikan bukti yang dijelaskan ini, maka Allah Swt menanyakan kepada hamba-hamba-Nya, mengapa mereka berpaling daripada mentauhidkan-Nya.