Apa yang Diwahyukan Allah Ta’ala adalah Kebenaran
Surah 34: Saba’ (48 – 50)
Ayat 48
قُلْ إِنَّ رَبِّى يَقْذِفُ بِٱلْحَقِّ عَلَّـٰمُ ٱلْغُيُوبِ
Katakanlah, “Sesungguhnya Rabbku mewahyukan kebenaran. Dia Maha Mengetahui segala yang ghaib.”
Seterusnya, Allah Swt menyatakan secara tegas bahawa apa yang dibawa oleh Rasulullah saw tidak lain adalah wahyu dari sisi-Nya.
Sesungguhnya Allah Swt Maha Mengetahui segala yang ghaib. Oleh itu, tiada suatu pun yang tersembunyi daripada-Nya atau berada di luar pengetahuan-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“(Dia-lah) Yang Maha Tinggi darjat-Nya, Yang memiliki ‘Arasy, Yang mengutus Jibril dengan (membawa) perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, supaya dia memperingatkan (manusia) tentang hari pertemuan (Hari Kiamat).”
Ghaafir 40:15
Ayat 49
قُلْ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ ٱلْبَـٰطِلُ وَمَا يُعِيدُ
Katakanlah, “Kebenaran telah datang dan yang batil itu tidak akan bermula lagi dan tidak (juga) akan berulang.”
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw mengatakan kepada orang-orang musyrik, bahawa kebenaran telah datang iaitu agama Islam yang hak. Itulah agama yang menang dan berjaya atas agama-agama palsu yang lain. Apabila kebenaran telah datang, maka lenyaplah kebatilan iaitu kesyirikan dan kekafiran sehingga tiada lagi tersisa.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sebenarnya Kami melemparkan yang hak (kebenaran) kepada yang batil (tidak benar) lalu yang hak itu menghancurkannya, maka dengan serta merta (yang batil itu) lenyap………..”
Al-Anbiya’ 21:18
Berkaitan dengan ayat ini, Imam Al-Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan An-Nasa’i meriwayatkan bahawa ketika Rasulullah saw memasuki Masjidil Haram pada hari penaklukan kota Mekah, didapatinya banyak berhala yang dipasang di sekeliling Kaabah, lalu baginda mencucuk-cucuk berhala-berhala itu dengan busur panahnya sambil membaca ayat, “Dan katakanlah, ‘Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.’” (Al-Isra’ 21:81) dan ayat Saba’ 34:49 ini.
Ayat 50
قُلْ إِن ضَلَلْتُ فَإِنَّمَآ أَضِلُّ عَلَىٰ نَفْسِى ۖ وَإِنِ ٱهْتَدَيْتُ فَبِمَا يُوحِىٓ إِلَىَّ رَبِّىٓ ۚ إِنَّهُۥ سَمِيعٌ قَرِيبٌ
Katakanlah, “Jika aku sesat, maka sesungguhnya bahaya kesesatanku akan menimpa diriku sendiri, dan jika aku mendapat petunjuk maka itu adalah disebabkan apa yang diwahyukan Rabbku kepadaku. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat.”
Kemudian Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menyanggah dan membantah pernyataan orang-orang kafir musyrik dengan mengatakan kepada mereka bahawa sekiranya baginda sesat seperti anggapan mereka, maka baginda sendiri yang akan menanggung dosa dan kemudharatannya.
Namun jika baginda beroleh petunjuk untuk melalui jalan yang benar, maka sesungguhnya jalan itu adalah yang diwahyukan oleh Allah Swt untuk baginda mengikutinya. Ini kerana Dia Maha Mendengar apa yang baginda katakan begitu juga apa yang orang-orang musyrik katakan. Kemudian Dia akan memberikan pembalasan dengan balasan yang sesuai, lagi pula Dia amat dekat kepada orang yang berdoa untuk memperkenankan doanya.
Dalam hal ini Abu Musa ra, mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh, kalian bukanlah berdoa kepada Rabb yang tuli dan Rabb yang ghaib. Kalian berdoa kepada Rabb Yang Maha Mendengar, Maha Dekat lagi Maha Memperkenankan (doa).”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)