Surah 34: Saba’ (43 – 46)

Tuduhan Orang Kafir terhadap Para Nabi

Surah 34: Saba’ (43 – 46)


Ayat 43

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتُنَا بَيِّنَـٰتٍ قَالُوا۟ مَا هَـٰذَآ إِلَّا رَجُلٌ يُرِيدُ أَن يَصُدَّكُمْ عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ ءَابَآؤُكُمْ وَقَالُوا۟ مَا هَـٰذَآ إِلَّآ إِفْكٌ مُّفْتَرًى ۚ وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِلْحَقِّ لَمَّا جَآءَهُمْ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang terang, mereka berkata, “Orang ini tiada lain hanyalah seorang lelaki yang ingin menghalang kamu daripada apa yang disembah oleh nenek moyangmu,” dan mereka berkata, “(Al-Quran) ini tidak lain hanyalah kebohongan yang diada-adakan sahaja.” Dan orang-orang kafir berkata terhadap kebenaran tatkala kebenaran itu datang kepada mereka, “Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata.”

Allah Swt menyatakan sebab-sebab orang-orang kafir itu berhak atau layak mendapat hukuman dan azab yang mengerikan serta memilukan, antaranya:

▪️   Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Al-Quran yang jelas menegaskan kepada mereka agar mentauhidkan Allah Swt dan melarang mensyirikkan-Nya, mereka mengatakan bahawa Rasulullah saw hanyalah ingin memalingkan mereka daripada agama nenek moyang mereka iaitu penyembahan berhala dan apa yang baginda bawa itu adalah batil.

▪️   Mereka mengatakan bahawa Al-Quran tidak lain hanyalah kebohongan yang direka-reka sendiri oleh Rasulullah saw lalu baginda mendakwa itu adalah wahyu daripada Allah Swt dengan tujuan untuk menyesatkan dan mengaburi para pengikutnya.

▪️   Ajaran Al-Quran dan agama Islam ini yang mengandungi pelbagai bentuk mukjizat, syariat, undang-undang dan hukum hakam untuk mengatur kehidupan sosial, tidak lain hanyalah sihir yang nyata sehingga menyesatkan fikiran mereka.

Ayat 44

وَمَآ ءَاتَيْنَـٰهُم مِّن كُتُبٍ يَدْرُسُونَهَا ۖ وَمَآ أَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمْ قَبْلَكَ مِن نَّذِيرٍ

Dan Kami tidak pernah memberikan kepada mereka kitab-kitab yang mereka baca dan sekali-kali tidak pernah (pula) mengutus kepada mereka sebelum kamu (Muhammad) seorang pemberi peringatan pun.

Kemudian Allah Swt membantah segala dakwaan orang-orang musyrik itu dengan mengatakan bahawa Dia sama sekali tidak pernah menurunkan sebuah kitab sebelum Al-Quran kepada bangsa Arab dan tidak juga mengutuskan kepada mereka seorang Nabi sebelum Nabi Muhammad saw.

Dahulu mereka sangat menginginkan hal ini sehingga mereka mengatakan, seandainya datang kepada mereka seorang Rasul pemberi peringatan dan diturunkan kepada mereka sebuah kitab, nescaya mereka akan menjadi orang-orang yang lebih mendapat petunjuk dibandingkan dengan umat selain mereka.

Namun setelah Allah Swt menganugerahkan nikmat kehadiran seorang Rasul dan diturunkan-Nya Al-Quran, mereka mendustakan dan mengingkarinya.

Ayat 45

وَكَذَّبَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَمَا بَلَغُوا۟ مِعْشَارَ مَآ ءَاتَيْنَـٰهُمْ فَكَذَّبُوا۟ رُسُلِى ۖ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ

Dan orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan sedang orang-orang (kafir Mekah) itu belum sampai menerima sepersepuluh apa yang telah Kami berikan kepada orang-orang (dahulu itu) lalu mereka mendustakan Rasul-rasul-Ku. Maka alangkah hebatnya akibat kemurkaan-Ku.

Kemudian Allah Swt mengancam mereka dengan mengatakan bahawa sesungguhnya umat-umat terdahulu seperti kaum Nabi Nuh as, kaum ‘Aad dan kaum Thamud juga mendustakan para Rasul mereka, padahal mereka lebih maju, lebih kuat, lebih kaya dan lebih perkasa dibandingkan bangsa Arab.

Bahkan kekuatan dan jumlah kekayaan orang-orang musyrik Quraisy dan orang-orang Arab yang lainnya tidak mencapai sepersepuluh pun kekuatan dan kekayaan yang pernah Dia berikan kepada umat-umat terdahulu.

Namun begitu, sekalipun kekuatan dan kekayaan melimpah yang dimiliki oleh umat-umat terdahulu, itu sama sekali tidak mampu menghindari atau menghalang azab Allah Swt daripada menimpa mereka. Dia telah menghancurkan mereka dengan sehancur-hancurnya kerana kesombongan dan kekufuran mereka.

Allah Swt menyatakan keadaan orang-orang sebelum mereka yang telah mendustakan para Rasul dalam firman-firman-Nya yang lain:

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar telah mengukuhkan kedudukan mereka (dengan kemakmuran dan kekuatan) yang belum pernah Kami berikan kepada kamu, dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati, tetapi semua itu tidak berguna sedikit pun bagi mereka, kerana mereka mengingkari ayat-ayat Allah lalu (ancaman) azab yang dahulu mereka permain-mainkan telah mengepung mereka.”

Al-Ahqaf 46:26

“Apakah mereka tidak berjalan di atas bumi dan memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Mereka itu lebih banyak dan lebih hebat kekuatannya serta (lebih banyak) peninggalan-peninggalan peradabannya di bumi, maka apa yang mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka.”

Ghafir 40:82

Ayat 46

قُلْ إِنَّمَآ أَعِظُكُم بِوَٰحِدَةٍ ۖ أَن تَقُومُوا۟ لِلَّهِ مَثْنَىٰ وَفُرَٰدَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا۟ ۚ مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا نَذِيرٌ لَّكُم بَيْنَ يَدَىْ عَذَابٍ شَدِيدٍ

Katakanlah (wahai Muhammad), “Sesungguhnya aku hendak memperingatkan kepadamu suatu perkara sahaja, iaitu supaya kamu menghadap Allah (dengan ikhlas) secara berdua atau sendiri-sendiri, kemudian kamu fikirkan (tentang Muhammad), tidak ada penyakit gila sedikitpun pada kawanmu itu. Dia tidak lain hanyalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum (menghadapi) azab yang keras.”

Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menjelaskan kepada orang-orang kafir itu bahawa baginda hanyalah memberi pengajaran dan peringatan agar mereka mencari kebenaran kerana Allah Swt (dengan ikhlas) tanpa disertai hawa nafsu iaitu fanatik terhadap agama yang mereka anuti.

Ini boleh mereka lakukan sama ada dengan cara saling bertukar fikiran, atau berfikir sedalam-dalamnya secara sendirian tentang keperibadian Rasulullah saw sehingga mendapat jawapan bahawa baginda bukanlah seorang yang gila.

Sekiranya mereka memikirkan dengan sehalus-halusnya untuk mengetahui benar atau salah ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah saw, pasti mereka akan mengakui kebenarannya.

Berkaitan dengan ayat, “Dia tidak lain hanyalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum (menghadapi) azab yang keras,” Imam Bukhari meriwayatkan hadis daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata pada suatu hari, Rasulullah saw naik ke Bukit Safa dan bersabda:

“Wahai sekalian manusia, berkumpullah pada pagi hari ini!” Tidak lama kemudian, berkumpullah orang-orang Quraisy dan bertanya kepada baginda, “Apakah keperluanmu (mengumpulkan kami?)” Rasulullah saw bertanya, “Bagaimana sikap kalian jika aku khabarkan bahawa musuh akan menyerang kalian pada pagi ini atau petang ini? Apakah kalian mempercayai ucapanku?” Mereka menjawab, “Tentu.” Baginda bersabda, “Sungguh, aku memberi peringatan kepada kalian sebelum menghadapi azab yang keras.” Ketika itu Abu Lahab berkata, “Binasalah kamu! Apakah hanya ucapan ini, engkau mengumpulkan kami di sini?” Lalu turunlah firman Allah Ta’ala, “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dengan sebenar-benar kebinasaan.” (Al-Masad 111:1)

(HR. Al-Bukhari)