Surah 34: Saba’ (28)

Nabi Muhammad saw Diutuskan kepada Seluruh Manusia

Surah 34: Saba’ (28)


Ayat 28

وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا كَآفَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad), melainkan kepada seluruh umat manusia sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Allah Swt menerangkan pula dalam ayat ini tentang risalah dan kerasulan Nabi Muhammad saw bukanlah hanya untuk kaum Arab sahaja malah untuk seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa atau warna kulit.

Baginda diutuskan untuk menyampaikan berita gembira kepada sesiapa sahaja yang taat kepada Allah Swt dan Rasul-Nya iaitu mereka berhak meraih syurga yang penuh dengan kenikmatan. Baginda juga menyampaikan peringatan tentang neraka bagi sesiapa yang derhaka terhadap-Nya dan Rasul-Nya.

Namun, Allah Swt mengatakan bahawa kebanyakan manusia tidak mengetahui dan tidak menyedari akan kebenaran risalah dan kerasulan Nabi Muhammad saw serta tugas-tugas baginda. Mereka tidak mengetahui betapa teruknya kesesatan dan kebodohan mereka yang tidak mengetahui tentang manfaat di sebalik pengutusan baginda sebagai Rasul-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai manusia, sesungguhnya aku ini utusan Allah bagi kamu semua………..’”

Al-A’raf 7:158

“Maha Suci Allah yang telah menurunkan Al-Furqan (Al-Quran) kepada hamba-Nya (Muhammad), agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam (jin dan manusia).”

Al-Furqan 25:1

Daripada Jabir ra, Rasulullah saw bersabda:

“Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku. (1) Aku ditolong dengan perasaan takut menghinggapi hati musuh pada jarak perjalanan sebulan (sebelum perang dimulai), (2) bumi dijadikan untukku sebagai masjid dan alat untuk bersuci, maka sesiapa pun daripada umatku yang memasuki waktu solat, hendaklah dia solat di tempat itu, (3) dihalalkan bagiku ghanimah (harta rampasan perang) padahal tidak dihalalkan kepada seorang Nabi pun selain aku. (4) Aku diberikan hak syafaat, dan (5) Nabi sebelumku diutuskan khusus kepada kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan kepada seluruh umat manusia.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan oleh Muslim daripada potongan hadis di atas, Rasulullah saw bersabda:

“Aku diutus kepada makhluk yang berkulit hitam dan berkulit merah.”

(HR. Muslim)

Mujahid mengatakan maksud “Aku diutus kepada makhluk yang berkulit hitam dan berkulit merah.” adalah jin dan manusia, manakala ulama’ lain mengatakan maksudnya orang Arab dan bukan Arab. Kesemua pendapat ini adalah benar.