Lemahnya Ilah-ilah Palsu Kaum Musyrikin dan Syafaat Hanya Berguna Bagi Orang yang Telah Diizinkan-Nya
Surah 34: Saba’ (22 – 23)
Ayat 22
قُلِ ٱدْعُوا۟ ٱلَّذِينَ زَعَمْتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ ۖ لَا يَمْلِكُونَ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَلَا فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا لَهُمْ فِيهِمَا مِن شِرْكٍ وَمَا لَهُۥ مِنْهُم مِّن ظَهِيرٍ
Katakanlah (Muhammad), “Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan) selain Allah, mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit dan di bumi, dan mereka tidak mempunyai suatu peranan pun dalam (penciptaan) langit dan bumi dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya.
Allah Swt menjelaskan bahawa Dia-lah Rabb yang Maha Esa yang menjadi tempat bergantungnya seluruh makhluk-Nya dan tidak ada sekutu bagi-Nya yang dapat membantu-Nya dalam mengadakan seluruh ciptaan-Nya.
Oleh itu, Allah Swt menyuruh Rasulullah saw mencela orang-orang yang mensyirikkan-Nya dengan bertanya apakah berhala-berhala, patung-patung atau sembahan-sembahan mereka yang lain itu dapat memberikan manfaat kepada mereka. Sudah pasti apa yang mereka dakwa sebagai tuhan itu sedikitpun tidak dapat memberikan manfaat mahupun mudharat, apatah lagi untuk menjadi sekutu-Nya dalam pemilikan langit dan bumi.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“…………Dan orang-orang yang kamu seru (sembah) selain Allah tidak mempunyai apa-apa walaupun senipis kulit ari.”
Surah Fatir 35:13
Ayat 23
وَلَا تَنفَعُ ٱلشَّفَـٰعَةُ عِندَهُۥٓ إِلَّا لِمَنْ أَذِنَ لَهُۥ ۚ حَتَّىٰٓ إِذَا فُزِّعَ عَن قُلُوبِهِمْ قَالُوا۟ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ ۖ قَالُوا۟ ٱلْحَقَّ ۖ وَهُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْكَبِيرُ
Dan syafaat (pertolongan) di sisi-Nya hanya berguna bagi orang yang telah diizinkan-Nya. Sehingga bila dihilangkan ketakutan daripada hati mereka, mereka berkata, “Apakah yang telah difirmankan oleh Rabbmu.” Mereka menjawab, “(Perkataan) yang benar,” dan Dia-lah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.
Dalam ayat yang lepas, Allah Swt menyatakan bahawa apa yang orang-orang musyrik dakwa sebagai tuhan itu sedikitpun tidak dapat memberikan manfaat mahupun mudharat.
Lalu dalam ayat ini, Allah Swt menafikan pula dakwaan mereka bahawa syafaat atau pertolongan dari sisi-Nya diberikan kepada berhala-berhala atau sembahan-sembahan mereka sehingga berhala-berhala itu dapat memberikan syafaat kepada mereka di akhirat kelak. Ini kerana tidak berguna memohon syafaat daripada Allah Swt kecuali bagi orang yang telah diizinkan-Nya untuk memberi dan memperoleh syafaat itu. Dia juga sekali-kali tidak akan mengizinkan sesiapa pun untuk meminta syafaat bagi orang-orang kafir.
Pada Hari Akhirat kelak seluruh manusia akan berdiri lama menunggu untuk mendapatkan syafaat. Perkataan حَتّىٰ dalam ayat ini yang bermaksud ‘sehingga’ boleh difahami bahawa orang-orang yang mengharapkan syafaat dan pemberi syafaat menunggu-nunggu dengan penuh harap dan cemas sama ada mereka akan diizinkan untuk memberi syafaat ataupun tidak.
Kemudian apabila keizinan daripada Allah Swt telah diberikan kepada pemberi syafaat maka hilanglah ketakutan dalam hati mereka.
Lalu sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain, “Apakah yang difirmankan oleh Allah kalian tentang syafaat,” maka sebahagian yang lain menjawab, “Allah Ta’ala telah mengatakan yang benar, iaitu Dia memberikan keizinan untuk meminta syafaat kepada sesiapa yang diredhai-Nya.”
Keizinan syafaat sekali-kali bukanlah untuk sembahan-sembahan palsu seperti berhala. Ini kerana syafaat tidak akan diberikan melainkan kepada orang-orang mukmin yang diredhai dan diperkenankan oleh Allah Swt, bukan kepada orang-orang kafir.
Firman-firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“………..Dan tidak ada yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya……..”
Al-Baqarah 2:255
“(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diredhai-Nya.”
An-Najm 53:26
“Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azab-Nya.”
Al-Anbiya’ 21:28
Berkaitan dengan syafaat ini, terdapat riwayat dalam As-Sahihain, daripada Rasulullah saw bahawa baginda adalah pemimpin anak cucu Adam dan pemberi syafaat terbesar di sisi Allah Swt. Ketika dia menempati tempat terpuji untuk memberikan syafaat kepada seluruh makhluk dengan datang menghadap Allah Swt, baginda memohon agar seluruh manusia segera diberikan hukuman. Baginda bersabda:
“Maka aku pun bersujud kepada Rabbku, lalu Allah membiarkan aku (dalam keadaan bersujud) sebagaimana yang Dia kehendaki. Dan Dia mengilhamkan kepadaku (untuk mengucapkan) pelbagai pujian, yang pada saat ini aku tidak dapat menyebutkannya. Kemudian Allah berfirman, ‘Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu, katakanlah (permohonanmu), nescaya ucapanmu akan didengar. Mintalah sesuatu, nescaya akan diberikan dan mohonlah syafaat, nescaya akan dikabulkan syafaatmu.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya Allah Swt, Dia-lah yang Maha Tinggi zat dan kedudukan-Nya, Maha Besar keagungan dan kekuasaan-Nya.