Kurniaan Allah Swt kepada Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as serta Wafatnya Nabi Sulaiman as
Surah 34: Saba’ (10 – 14)
Ayat 10
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا دَاوُۥدَ مِنَّا فَضْلًا ۖ يَـٰجِبَالُ أَوِّبِى مَعَهُۥ وَٱلطَّيْرَ ۖ وَأَلَنَّا لَهُ ٱلْحَدِيدَ
Dan demi sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurniaan daripada Kami. (Kami berfirman), “Wahai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud,” dan Kami telah melembutkan besi untuknya.
Allah Swt bersumpah untuk menguatkan kenyataan-Nya bahawa Dia telah memberikan anugerah yang sangat istimewa kepada Nabi Daud as berupa nikmat-nikmat seperti berikut:
▪️ Mempunyai darjat kenabian.
▪️ Diberikan kitab Zabur.
▪️ Menjadi raja yang memerintah.
▪️ Mempunyai tentera yang ramai dan lengkap persenjataannya.
▪️ Memiliki suara yang sangat merdu.
▪️ Boleh melembutkan besi.
Apabila Nabi Daud as bertasbih, gunung-gunung yang tinggi turut bertasbih. Burung-burung yang sedang berterbangan juga tidak ketinggalan berhenti untuk turut bertasbih bersama-sama baginda. Gunung-gunung dan burung-burung diperintahkan untuk berulang-ulang (bertasbih) bersama dengan Nabi Daud as.
Dalam sebuah hadis sahih, disebutkan bahawa Rasulullah saw mendengar suara Abu Musa Al-Asy’ari saat membaca Al-Quran pada waktu malam, lalu baginda berhenti untuk mendengarkan bacaannya. Kemudian baginda bersabda:
“Sungguh orang ini telah dianugerahi suara yang sangat merdu, yang merupakan sebahagian daripada kemerduan suara Daud.”
(HR. Muslim)
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah melembutkan besi di tangan Nabi Daud as sehingga baginda mampu membentuk apa sahaja yang dikehendakinya tanpa memerlukan api dan juga mengetuknya, tetapi cukup dengan hanya melenturkannya atau memintalnya seperti mengait benang untuk membuat pakaian.
Menurut Hasan Al-Basri, Qatadah, Al-A’masy dan ulama yang lain lagi mengatakan bahawa baginda tidak perlu bersusah payah memasukkan besi itu ke dalam api untuk melembutkannya. Baginda juga tidak perlu mengetuknya tetapi sekadar memintal dengan tangannya.
Ayat 11
أَنِ ٱعْمَلْ سَـٰبِغَـٰتٍ وَقَدِّرْ فِى ٱلسَّرْدِ ۖ وَٱعْمَلُوا۟ صَـٰلِحًا ۖ إِنِّى بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
(Iaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyamannya, dan lakukanlah amalan yang soleh. Sesungguhnya, Aku Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
Allah Swt memerintahkan Nabi Daud as membuat baju besi dengan bimbingan-Nya. Qatadah mengatakan baginda adalah manusia pertama yang membuat baju besi.
Seterusnya, Allah Swt memerintahkan baginda melakukan amalan soleh sebagai tanda mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan-Nya kepadanya. Sesungguhnya Allah Swt sentiasa mengawasi dan melihat seluruh amalan hamba-Nya baik daripada pertuturan mahupun perbuatan dan tiada sesuatu pun yang tersembunyi daripada-Nya.
Ayat 12
وَلِسُلَيْمَـٰنَ ٱلرِّيحَ غُدُوُّهَا شَهْرٌ وَرَوَاحُهَا شَهْرٌ ۖ وَأَسَلْنَا لَهُۥ عَيْنَ ٱلْقِطْرِ ۖ وَمِنَ ٱلْجِنِّ مَن يَعْمَلُ بَيْنَ يَدَيْهِ بِإِذْنِ رَبِّهِۦ ۖ وَمَن يَزِغْ مِنْهُمْ عَنْ أَمْرِنَا نُذِقْهُ مِنْ عَذَابِ ٱلسَّعِيرِ
Dan Kami (tundukkan) angin bagi Sulaiman, yang perjalanannya pada waktu pagi dan petang sama dengan perjalanan sebulan dan Kami alirkan cairan tembaga baginya. Dan sebahagian daripada jin ada yang bekerja di hadapannya (di bawah kekuasaannya) dengan izin Rabbnya. Dan siapa yang menyimpang di antara mereka daripada perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala.
Setelah Allah Swt menyebutkan nikmat yang Dia limpahkan kepada Nabi Daud as, dalam ayat ini Dia menyebutkan pula nikmat yang Dia limpahkan kepada Nabi Sulaiman as iaitu:
▪️ Allah Swt menundukkan angin kepada Nabi Sulaiman as untuk membawanya berjalan ke mana-mana.
Jika baginda mengadakan perjalanan bermula pada waktu pagi hingga ke tengah hari, kelajuan angin itu menyamai perjalanan sebulan mengikut perjalanan biasa. Jika baginda mengadakan perjalanan bermula pada waktu tengah hari hingga ke petang, kelajuan angin itu juga menyamai perjalanan sebulan mengikut perjalanan biasa.
▪️ Allah Swt melembutkan logam daripada tembaga kepada Nabi Sulaiman as.
▪️ Allah Swt menundukkan jin untuk berkhidmat kepada Nabi Sulaiman as.
Para jin tersebut bekerja di hadapan Nabi Sulaiman as dengan izin Rabbnya, iaitu dengan melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh baginda seperti membina istana dan bangunan-bangunan yang lain.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan sekiranya ada di antara para jin itu tidak taat kepada perintah-Nya, maka pasti Dia akan menimpakan azab kepada mereka.
Ayat 13
يَعْمَلُونَ لَهُۥ مَا يَشَآءُ مِن مَّحَـٰرِيبَ وَتَمَـٰثِيلَ وَجِفَانٍ كَٱلْجَوَابِ وَقُدُورٍ رَّاسِيَـٰتٍ ۚ ٱعْمَلُوٓا۟ ءَالَ دَاوُۥدَ شُكْرًا ۚ وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِىَ ٱلشَّكُورُ
Mereka (para jin itu) bekerja untuk Sulaiman mengikut apa yang dikehendakinya, antaranya membina bangunan-bangunan yang tinggi, patung-patung, pinggan-pinggan yang (besarnya) seperti kolam, dan periuk-periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah wahai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali daripada hamba-hamba-Ku yang bersyukur.
Para jin bekerja untuk Nabi Sulaiman as sesuai dengan apa yang dikehendakinya, antaranya membina gedung-gedung yang tinggi, patung-patung sebagai hiasan, piring-piring yang besarnya seperti kolam dan periuk-periuk yang tetap berada di atas tungku. Begitu besar dan berat periuk-periuk itu hingga kesemuanya tidak dapat digerakkan.
Kemudian Allah Swt menyuruh Nabi Daud as dan keluarga baginda beramal dengan melakukan ketaatan kepada-Nya sebagai tanda bersyukur kepada-Nya atas pelbagai nikmat yang telah dianugerahkan kepada baginda.
Berkenaan ayat, “Bekerjalah wahai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah),” Ibnu Abu Hatim telah meriwayatkan daripada Al-Fudhail, saat Nabi Daud as memikirkan tentang ayat ini, baginda berkata, “Wahai Rabbku, bagaimana aku bersyukur kepada-Mu, sedangkan bersyukur itu sendiri adalah merupakan nikmat daripada-Mu?” Maka Allah berfirman, “Sekarang engkau telah bersyukur kepada-Ku ketika engkau menyedari bahawa nikmat itu datang daripada-Ku.”
Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya solat yang paling disukai oleh Allah adalah solat Nabi Daud, dia menggunakan separuh malam untuk tidur, kemudian menggunakan sepertiga malam untuk solat malam, kemudian seperenam malam bakinya digunakan untuk tidur lagi. Dan sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah adalah puasa Nabi Daud, dia puasa sehari dan berbuka sehari, dan dia tidak pernah melarikan diri dari medan perang ketika berhadapan dengan musuh.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Pada akhir ayat ini, Allah Swt mengatakan bahawa hanya sedikit sekali daripada hamba-hamba-Nya yang bersyukur baik dengan hati, ucapan mahupun perbuatan.
Ayat 14
فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ ٱلْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِۦٓ إِلَّا دَآبَّةُ ٱلْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُۥ ۖ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ ٱلْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ ٱلْغَيْبَ مَا لَبِثُوا۟ فِى ٱلْعَذَابِ ٱلْمُهِينِ
Maka ketika Kami telah menetapkan kematian ke atasnya (Sulaiman), tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka ketika dia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa jika mereka mengetahui yang ghaib tentu mereka tidak akan kekal dalam azab yang menghinakan.
Meskipun Allah Swt telah menganugerahkan pelbagai nikmat dan keagungan kepada Nabi Sulaiman as, dalam ayat ini Dia menyebutkan bagaimana baginda wafat dan Dia menyembunyikan kewafatannya daripada para jin yang ditundukkan kepada baginda untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan yang berat.
Ketika tiba saat kewafatan Nabi Sulaiman as, Allah Swt telah menentukan baginda wafat dalam keadaan bersandar pada tongkatnya, sedangkan para jin tidak mengetahuinya dan tidak menyedari kewafatan baginda. Oleh itu, mereka tetap terus bekerja.
Para jin itu hanya mengetahui dan menyedari kewafatan Nabi Sulaiman as apabila tongkat baginda telah reput dimakan oleh anai-anai sehingga baginda tersungkur jatuh. Ini menjelaskan bahawa jin tidak mengetahui perkara-perkara ghaib. Sekiranya mereka mengetahui perkara-perkara ghaib, tentulah mereka mengetahui kewafatan baginda yang sememangnya berada di hadapan mereka.
Firman Allah Swt dalam surah-surah yang lain:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Tidak ada sesuatu pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan.’”
An-Naml 27:65
“Dia (Allah) mengetahui yang ghaib, tetapi Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan belakangnya.”
Al-Jin 72:26-27