Orang Kafir Menentang Adanya Kehidupan Setelah Mati
Surah 34: Saba’ (7 – 9)
Ayat 7
وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ هَلْ نَدُلُّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍ يُنَبِّئُكُمْ إِذَا مُزِّقْتُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ إِنَّكُمْ لَفِى خَلْقٍ جَدِيدٍ
Dan orang-orang kafir berkata (kepada teman-temannya), “Mahukah kamu kami tunjukkan seorang lelaki yang memberitahu bahawa apabila badanmu telah hancur sehancur-hancurnya, sesungguhnya kamu benar-benar (akan dibangkitkan kembali) dalam ciptaan yang baru?
Seorang lelaki yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah Nabi Muhammad saw.
Orang-orang musyrik bukan sahaja tidak mempercayai bahawa apabila manusia telah hancur dalam tanah akan dapat dihidupkan semula, malah mereka mengucapkan kata-kata yang menghina, memperlecehkan, mengejek dan mengolok-olokkan Rasulullah saw.
Ayat 8
أَفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَم بِهِۦ جِنَّةٌۢ ۗ بَلِ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْـَٔاخِرَةِ فِى ٱلْعَذَابِ وَٱلضَّلَـٰلِ ٱلْبَعِيدِ
Adakah dia mengada-adakan pembohongan terhadap Allah atau adakah padanya ada penyakit gila?” (Tidak), tetapi orang-orang yang tidak beriman kepada Negeri Akhirat itu berada dalam seksaan dan kesesatan yang jauh.
Allah Swt menyebutkan orang-orang kafir mendakwa bahawa Rasulullah saw memberitahu mereka tentang Hari Kiamat itu adalah disebabkan dua kemungkinan iaitu menurut mereka:
▪️ Rasulullah saw mungkin sengaja berdusta atas nama Allah Swt bahawa baginda telah diberi wahyu.
▪️ Rasulullah saw mungkin tidak sengaja berdusta, tetapi kerana baginda adalah seorang yang gila.
Allah Swt menjawab tuduhan mereka itu dengan mengatakan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada Negeri Akhirat itu akan mendapat azab di akhirat kelak sedangkan di dunia mereka berada dalam kesesatan.
Sesungguhnya apa yang disangkakan oleh orang-orang kafir tentang diri Rasulullah saw itu tidak benar. Sebaliknya bagindalah yang benar dan telah mendapat petunjuk. Bagindalah yang membawa kebenaran, sedangkan mereka adalah pendusta dan bodoh.
Ayat 9
أَفَلَمْ يَرَوْا۟ إِلَىٰ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ ۚ إِن نَّشَأْ نَخْسِفْ بِهِمُ ٱلْأَرْضَ أَوْ نُسْقِطْ عَلَيْهِمْ كِسَفًا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَةً لِّكُلِّ عَبْدٍ مُّنِيبٍ
Maka adakah mereka tidak perhatikan langit dan bumi yang ada di hadapan dan di belakang mereka? Jika Kami menghendaki, nescaya Kami benamkan mereka di bumi atau Kami jatuhkan kepada mereka kepingan dari langit. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap hamba yang kembali (kepada-Nya).
Allah Swt mengingatkan orang-orang kafir tentang kekuasaan-Nya dalam menciptakan langit dan bumi. Ke mana sahaja mereka menghadapkan muka dan berjalan, nescaya langit menaungi mereka dan bumi berada di bawah mereka sebagai tempat berpijak.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan Kami benar-benar meluaskannya. Dan bumi telah Kami hamparkan untuk kegunaan kamu dengan sebaik-baik hamparan.”
Az-Zariyat 51:47-48
Seterusnya, Allah Swt menyatakan jika Dia berkehendak, nescaya Dia benamkan mereka ke bumi atau jatuhkan kepada mereka kepingan dari langit disebabkan kezaliman mereka dan sesungguhnya Dia mampu untuk mengazab mereka, namun Dia menangguhkannya atas sifat kesabaran dan kelembutan-Nya.
Sesungguhnya Allah Swt berkuasa menciptakan langit yang tinggi dan bumi yang terhampar luas, maka Dia berkuasa pula mengembalikan tubuh-tubuh serta menyambung kembali tulang-tulang yang hancur berserakan, sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan tidakkah (Allah) yang menciptakan langit dan bumi itu berkuasa menciptakan yang serupa dengan itu? Benar, Dia berkuasa. Dan Dia-lah Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui.”
Yasin 36:81
Kemudian pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kekuasaan-Nya bagi setiap hamba yang memerhati dan mengambil pelajaran daripada penciptaan langit dan bumi yang mengandungi petunjuk-Nya, serta kembali kepada-Nya.