Surah 34: Saba’ (3 – 6)

Kiamat Pasti Datang untuk Menghitung Balasan Segala Amalan Manusia

Surah 34: Saba’ (3 – 6)


Ayat 3

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَا تَأْتِينَا ٱلسَّاعَةُ ۖ قُلْ بَلَىٰ وَرَبِّى لَتَأْتِيَنَّكُمْ عَـٰلِمِ ٱلْغَيْبِ ۖ لَا يَعْزُبُ عَنْهُ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَلَا فِى ٱلْأَرْضِ وَلَآ أَصْغَرُ مِن ذَٰلِكَ وَلَآ أَكْبَرُ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ مُّبِينٍ

Dan orang-orang yang kafir berkata, “Hari Kiamat itu tidak akan datang kepada kami.” Katakanlah, “Pasti datang, demi Rabbku Yang Mengetahui yang ghaib, kiamat itu pasti akan datang kepadamu. Tidak ada tersembunyi bagi-Nya sebesar zarah pun baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi, tidak (juga) yang lebih kecil dari itu dan yang lebih besar, melainkan semuanya (tertulis) dalam kitab yang jelas (Lauh Mahfuzh).”

Ayat ini mengandungi perintah Allah Swt kepada Rasulullah saw agar bersumpah atas nama-Nya yang Maha Agung bahawa hari kiamat itu pasti terjadi. Ini adalah disebabkan kuatnya penentangan daripada orang-orang kafir tentang kedatangan Hari Kiamat, hari untuk diperhitungkan semua amalan manusia.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Dia mengetahui semua yang ada serta yang terjadi di langit dan di bumi, tidak ada suatu pun yang tersembunyi bagi-Nya walaupun sebesar zarah dan semuanya itu telah tertulis dalam Lauh Mahfuzh.

Allah Swt berfirman dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan mereka bertanyakan kepadamu (Muhammad), ‘Benarkah (azab yang dijanjikan) itu?’ Katakanlah, ‘Ya, demi Rabbku, sesungguhnya (azab) itu pasti benar dan kamu sekali-kali tidak dapat menghindarinya.’”

Yunus 10: 53

“(Di antara sebab-sebab kufur) orang-orang yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan bahawa mereka tidak sekali-kali akan dibangkitkan (sesudah mati). Katakanlah, ‘Bahkan, demi Rabbku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang kamu telah kerjakan. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.’”

At-Taghabun 64:7

Ayat 4

لِّيَجْزِىَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Agar Dia (Allah) memberi balasan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh. Mereka itu adalah orang-orang yang akan memperoleh keampunan dan rezeki yang mulia (syurga).

Selanjutnya, Allah Swt menjelaskan hikmah di sebalik dihidupkan-Nya kembali semua makhluk-Nya adalah untuk memberi pahala dan penghargaan berupa syurga kepada orang-orang yang beriman kepada-Nya dan mengerjakan amalan-amalan soleh.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Tidaklah sama bagi ahli neraka dan ahli syurga, kerana ahli syurga adalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).”

Al-Hasyr 59:20

“Patutkah Kami memperlakukan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di bumi? Atau patutkah Kami menganggap orang-orang yang bertakwa sama dengan orang-orang yang berbuat jahat?”

Sad 38:28

Ayat 5

وَٱلَّذِينَ سَعَوْ فِىٓ ءَايَـٰتِنَا مُعَـٰجِزِينَ أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مِّن رِّجْزٍ أَلِيمٌ

Dan orang-orang yang berusaha untuk (menentang) ayat-ayat Kami dengan anggapan mereka dapat melemahkan (menggagalkan azab Kami), mereka itu memperoleh azab, iaitu azab yang sangat pedih.

Manakala orang-orang yang menentang Allah Swt dan Rasul-Nya, dengan berusaha menghalang bukti-bukti dan hujjah-hujjah-Nya akan dihukum dengan azab yang sangat berat dan pedih.

Ayat 6

وَيَرَى ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ هُوَ ٱلْحَقَّ وَيَهْدِىٓ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ

Dan orang-orang yang diberi ilmu (ahli kitab) berpendapat bahawa (wahyu) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) daripada Rabbmu itulah yang benar dan menunjukkan (manusia) kepada jalan (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.

Allah Swt menyatakan bahawa sebahagian ahli kitab seperti ‘Abdullah bin Salam, Ka’ab dan lainnya mengakui bahawa wahyu yang diturunkan-Nya kepada Rasulullah saw adalah benar, tidak ada keraguan padanya. Al-Quran membimbing ke jalan-Nya yang lurus. Dia yang Maha Perkasa yang tidak dikalahkan oleh siapa pun. Sesungguhnya Allah Swt Maha Terpuji di dunia dan di akhirat.

Maksud العَزيزِ ialah Allah Maha Perkasa, tidak dapat dikalahkan dan tidak dapat pula dihalang kehendak-Nya bahkan Dia mengalahkan segala sesuatu dan menguasainya.