Seluruh Sifat Terpuji Milik Allah Swt
Surah 34: Saba’ (1 – 2)
Ayat 1
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَلَهُ ٱلْحَمْدُ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ وَهُوَ ٱلْحَكِيمُ ٱلْخَبِيرُ
Segala puji bagi Allah yang memiliki apa yang di langit dan apa yang di bumi dan bagi-Nya (juga) segala puji di akhirat. Dan Dia-lah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Teliti.
Allah Swt menceritakan tentang diri-Nya Yang Maha Mulia bahawa Dia-lah Pemilik Pujian secara mutlak baik di dunia mahupun di akhirat. Ini kerana hanya Dia-lah yang menganugerahkan segala kenikmatan kepada makhluk-Nya. Dia Maha Memiliki, Maha Menguasai dan Maha Mengatur segala urusan makhluk-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Dia-lah Allah, tidak ada Ilah (yang berhak disembah) selain Dia, segala puji bagi-Nya di dunia dan di akhirat, dan bagi-Nya segala penentuan dan kepada-Nya kamu dikembalikan.”
Al-Qasas 28:70
Sesungguhnya hanya Allah Swt sahaja yang berhak atas pujian, sanjungan, syukur dan terima kasih kerana segala yang ada di langit dan bumi ini adalah milik-Nya. Semuanya berada di bawah pengurusan-Nya sebagaimana firman-Nya:
“Dan sesungguhnya milik Kami-lah akhirat dan dunia itu.”
Al-Lail 92:13
Ayat 2
يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِى ٱلْأَرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنزِلُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا ۚ وَهُوَ ٱلرَّحِيمُ ٱلْغَفُورُ
Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang keluar darinya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia-lah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.
Imam Malik meriwayatkan daripada Az-Zuhri mengatakan maksud ayat, “Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi, apa yang keluar darinya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya,” ialah Dia Maha Mengetahui jumlah hujan yang turun ke seluruh pelosok bumi dan biji-biji yang ditanam di dalamnya. Dia Maha Mengetahui apa yang keluar darinya, baik dari segi jumlah mahupun sifat-sifatnya. Dia juga Maha Mengetahui apa yang naik ke langit berupa amal-amal soleh dan lain-lain.
Allah Swt Maha Bijaksana dalam mentadbirkan seluruh urusan makhluk-Nya baik dalam firman-Nya, tindakan dan juga syariat-Nya. Dia Maha Mengetahui, tidak ada satu perkara pun yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya.
Allah Swt Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya, dengan tidak menyegerakan azab kepada pelaku maksiat. Dia Maha Pengampun terhadap dosa-dosa orang-orang yang bertaubat dan bertawakkal kepada-Nya.