Surah 33: Al-Ahzab (64 – 68)

Laknat Allah Swt kepada Orang Kafir

Surah 33: Al-Ahzab (64 – 68)


Ayat 64

إِنَّ ٱللَّهَ لَعَنَ ٱلْكَـٰفِرِينَ وَأَعَدَّ لَهُمْ سَعِيرًا

Sesungguhnya Allah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api yang menyala-nyala (neraka).

Maksud ayat, “Allah melaknat orang-orang kafir,” ialah Allah Swt menjauhkan mereka daripada rahmat-Nya dengan menyediakan tempat tinggal mereka di Neraka Jahannam.

Ayat 65

خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۖ لَّا يَجِدُونَ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, mereka tidak akan mendapat seorang pelindung pun dan tidak (juga) seorang penolong.

Sesungguhnya orang-orang yang mensyirikkan Allah Swt dan mempermain-mainkan Rasul-Nya akan menetap dalam azab tersebut iaitu dalam Neraka Jahannam selama-lamanya, tiada jalan keluar bagi mereka untuk melepaskan diri daripadanya. Begitu juga tiada seorang pun yang dapat menolong dan menyelamatkan mereka daripada azab yang menimpa mereka.

Ayat 66

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِى ٱلنَّارِ يَقُولُونَ يَـٰلَيْتَنَآ أَطَعْنَا ٱللَّهَ وَأَطَعْنَا ٱلرَّسُولَا۠

Pada hari ketika muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata, “Alangkah baiknya, sekiranya kami taat kepada Allah dan taat (juga) kepada Rasul.”

Seterusnya, Allah Swt memberi gambaran tentang azab yang akan mereka rasai di akhirat kelak. Mereka akan diheret ke neraka di atas muka-muka mereka iaitu dalam keadaan bertelungkup, kemudian dibenamkan dalam nereka dan dipanggang atas api sambil dibalik-balikkan muka mereka.

Pada saat merasakan azab yang sangat pedih itulah mereka mengeluh dengan penuh penyesalan dan mengharapkan sekiranya mereka dahulu di dunia termasuk dalam golongan orang-orang yang taat kepada Allah Swt dan Rasul-Nya. Jika demikian pastilah mereka akan terselamat daripada azab tersebut sebagaimana yang berlaku kepada orang-orang mukmin. Penyesalan mereka itu dinyatakan dalam firman-firman-Nya yang lain:

“Orang-orang kafir itu seringkali (nanti di akhirat) menginginkan, sekiranya mereka dahulu (di dunia) menjadi orang-orang Islam.”

Al-Hijr 15:2

“Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata, ‘Aduhai kiranya (dahulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul.’”

Al-Furqan 25:27

Ayat 67

وَقَالُوا۟ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلَا۠

Dan mereka berkata, “Wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).

Kemudian orang-orang musyrik yang berada dalam neraka itu memohon keampunan kepada Allah Swt dengan memberikan alasan bahawa mereka telah tersesat dalam kesyirikan adalah disebabkan mereka mentaati pemimpin-pemimpin mereka. Mereka mengatakan pemimpin-pemimpin mereka itulah yang membawa mereka kepada syirik, bukan kepada mentaati Allah Swt, sehingga mereka pun turut menentang para Rasul kerana disangkakan pemimpin-pemimpin mereka itu berada di jalan kebenaran.

Ayat 68

رَبَّنَآ ءَاتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ ٱلْعَذَابِ وَٱلْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا

Wahai Rabb kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali ganda dan laknatlah mereka dengan laknat yang besar.”

Selanjutnya, Allah Swt menggambarkan kebencian dan kemarahan yang amat sangat dalam diri mereka sehingga mereka meminta agar para pemimpin tersebut diberikan balasan azab sebanyak dua kali ganda dan dijauhkan daripada rahmat-Nya sejauh-jauhnya.