Surah 33: Al-Ahzab (60 – 62)

Ancaman dan Peringatan kepada Orang Munafik

Surah 33: Al-Ahzab (60 – 62)


Ayat 60

لَّئِن لَّمْ يَنتَهِ ٱلْمُنَـٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَٱلْمُرْجِفُونَ فِى ٱلْمَدِينَةِ لَنُغْرِيَنَّكَ بِهِمْ ثُمَّ لَا يُجَاوِرُونَكَ فِيهَآ إِلَّا قَلِيلًا

Jika orang-orang munafik, orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya dan orang-orang yang menyebarkan berita bohong di Madinah tidak berhenti (menyakitimu), nescaya Kami perintahkan engkau (untuk memerangi) mereka, kemudian mereka tidak lagi menjadi tetanggamu (di Madinah) kecuali sebentar.

Allah Swt mengancam dan memberikan peringatan keras kepada orang-orang munafik iaitu orang-orang yang berpura-pura menampakkan keimanan tetapi yang sebenarnya mereka menyembunyikan kekafiran.

Sungguh sekiranya orang-orang munafik tidak berhenti daripada kemunafikan mereka, begitu juga dengan orang-orang yang di dalam hati mereka terdapat penyakit lemah iman, syak dan ragu-ragu terhadap perkara agama serta orang-orang yang mencetuskan pergaduhan dan kekacauan di Madinah dengan menyebarkan berita-berita palsu, maka Allah Swt akan menjadikan Rasulullah saw menguasai dan mengalahkan mereka serta mengusir mereka dari Madinah. Oleh itu, mereka tidak lagi dapat hidup bersama-sama dengan baginda di Madinah melainkan sekejap sahaja.

Ayat 61

مَّلْعُونِينَ ۖ أَيْنَمَا ثُقِفُوٓا۟ أُخِذُوا۟ وَقُتِّلُوا۟ تَقْتِيلًا

Dalam keadaan terlaknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka akan ditangkap dan dibunuh tanpa keampunan.

Dalam waktu yang sekejap itu, orang-orang munafik terusir daripada rahmat Allah Swt, disisihkan dan terbuang. Di mana sahaja mereka dijumpai, mereka akan ditangkap. Mereka adalah golongan yang hina, lemah dan minoriti dan terpaksa dibunuh sekirannya mereka masih tetap berada dalam kemunafikan.

Hal ini berlaku pada masa saat-saat akhir daripada kehidupan Rasulullah saw.

Ayat 62

سُنَّةَ ٱللَّهِ فِى ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلُ ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ ٱللَّهِ تَبْدِيلًا

Sebagai sunnah Allah (yang turut berlaku) kepada orang-orang yang telah berlalu sebelummu, dan engkau tidak akan mendapati perubahan pada sunnah Allah itu.

Sesungguhnya peraturan Allah Swt (sunnatullah) yang ditetapkan-Nya kepada orang-orang munafik pada setiap zaman, apabila mereka berterusan keras kepala dan membangkang serta tidak mahu kembali ke jalan yang benar, nescaya mereka akan dikuasai dan dijajah oleh kaum muslimin serta dihinakan.

Inilah satu peraturan daripada Allah Swt yang tidak akan berubah kerana peraturan-Nya itu adalah mengandungi hikmah atau maslahat yang ditentukan-Nya.