Perintah Memakai Jilbab
Surah 33: Al-Ahzab (59)
Ayat 59
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَـٰبِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menyuruh seluruh para wanita mukmin, khususnya para isteri dan anak-anak baginda kerana kemuliaan mereka, untuk menjulurkan atau menutupkan jilbab (hijab) ke seluruh tubuh mereka.
Menurut sebahagian mufassir, jilbab adalah sejenis selendang yang diletakkan melapisi tudung. Jilbab pada masa sekarang sama seperti izar (kain). Al-Jauhari berkata jilbab adalah kain yang menutupi seluruh badan manakala ‘Ali bin Abi Talhah pula mengatakan Ibnu ‘Abbas ra berkata jilbab ini menutupi wajah mereka dari atas kepala dan yang nampak hanyalah sebiji mata sahaja. Dengan demikian agar wanita-wanita mukmin ini dapat dibezakan dengan wanita-wanita jahiliyjah dan hamba sahaya wanita.