Kerabat Lelaki yang Boleh Melihat Wanita Tanpa Hijab
Surah 33: Al-Ahzab (55)
Ayat 55
لَّا جُنَاحَ عَلَيْهِنَّ فِىٓ ءَابَآئِهِنَّ وَلَآ أَبْنَآئِهِنَّ وَلَآ إِخْوَٰنِهِنَّ وَلَآ أَبْنَآءِ إِخْوَٰنِهِنَّ وَلَآ أَبْنَآءِ أَخَوَٰتِهِنَّ وَلَا نِسَآئِهِنَّ وَلَا مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُنَّ ۗ وَٱتَّقِينَ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدًا
Tidak ada salahnya bagi mereka (wanita-wanita yang tidak bertabir itu) menemui bapa-bapa mereka, dan anak-anak lelaki mereka, dan saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki saudara-saudara perempuan mereka, dan perempuan-perempuan Islam mereka, serta hamba-hamba yang dimiliki oleh mereka. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
Dalam ayat sebelumnya, Allah Swt memerintahkan isteri-isteri Rasulullah saw dan kaum wanita untuk menutupi dirinya daripada pandangan lelaki lain yang bukan mahram. Maka dalam ayat ini, Allah Swt menjelaskan pula beberapa golongan kaum kerabat yang boleh melihat wanita tanpa tabir atau tidak berhijab.
Mereka adalah terdiri daripada bapa, anak lelaki, adik beradik lelaki, anak saudara lelaki daripada adik beradik lelaki, anak saudara lelaki daripada adik beradik perempuan, perempuan-perempuan beriman dan hamba sahaya yang mereka miliki.
Perkara ini telah dijelaskan dengan lebih lengkap dalam surah An-Nur, iaitu firman Allah Swt:
“……….dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau para perempuan (sesama Islam) mereka, atau hamba sahaya yang mereka miliki, atau para pelayan lelaki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung.”
An-Nur 24:31
Oleh itu pada akhir ayat ini, Allah Swt mengingatkan agar kaum perempuan yang beriman supaya tidak melanggar batasan yang telah Dia tetapkan dengan menampakkan perhiasan mereka yang tidak sepatutnya mereka pamerkan atau mereka menanggalkan hijab di hadapan orang yang sepatutnya mereka mengenakan hijab.
Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala sesuatu, menyaksikan amal para hamba-Nya baik zahir ataupun batin dan akan memberi balasan terhadap segala amalan mereka.