Surah 33: Al-Ahzab (53 – 54)

Adab-adab Para Sahabat terhadap Rasulullah saw

Surah 33: Al-Ahzab (53 – 54)


Ayat 53

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَدْخُلُوا۟ بُيُوتَ ٱلنَّبِىِّ إِلَّآ أَن يُؤْذَنَ لَكُمْ إِلَىٰ طَعَامٍ غَيْرَ نَـٰظِرِينَ إِنَىٰهُ وَلَـٰكِنْ إِذَا دُعِيتُمْ فَٱدْخُلُوا۟ فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَٱنتَشِرُوا۟ وَلَا مُسْتَـْٔنِسِينَ لِحَدِيثٍ ۚ إِنَّ ذَٰلِكُمْ كَانَ يُؤْذِى ٱلنَّبِىَّ فَيَسْتَحْىِۦ مِنكُمْ ۖ وَٱللَّهُ لَا يَسْتَحْىِۦ مِنَ ٱلْحَقِّ ۚ وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَـٰعًا فَسْـَٔلُوهُنَّ مِن وَرَآءِ حِجَابٍۢ ۚ ذَٰلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ ۚ وَمَا كَانَ لَكُمْ أَن تُؤْذُوا۟ رَسُولَ ٱللَّهِ وَلَآ أَن تَنكِحُوٓا۟ أَزْوَٰجَهُۥ مِنۢ بَعْدِهِۦٓ أَبَدًا ۚ إِنَّ ذَٰلِكُمْ كَانَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمًا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali jika kamu diizinkan untuk makan tanpa menunggu-nunggu waktu masak (makanannya), tetapi jika kamu diundang, maka masuklah dan apabila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa memanjangkan percakapan. Sesungguhnya itu mengganggu Nabi sehingga dia (Nabi) malu kepadamu (untuk menyuruh kamu keluar), dan Allah tidak malu (menerangkan) yang benar. Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. (Cara) yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak boleh (pula) menikahi isteri-isterinya selama-lamanya setelahnya (Nabi wafat). Demikian itu adalah sangat besar (dosanya) di sisi Allah.

Rangkaian ayat-ayat 53-54 ini adalah berkaitan dengan adab-adab para sahabat terhadap Rasulullah saw termasuk adab masuk dan keluar dari rumah baginda, hijab, tidak bercampur, larangan menyakiti dan mengganggu baginda serta larangan menikahi isteri-isteri baginda selepas kewafatan baginda.

Adat-adab tersebut antaranya ialah:

▪️   Larangan memasuki rumah baginda sambil menunggu-nunggu waktu makan tetapi hanya dibenarkan masuk ketika makanan sudah sedia dihidangkan (waktu undangan).

▪️   Memasuki rumah setelah mendapat keizinan daripada baginda.

▪️   Hendaklah segera meninggalkan majlis setelah selesai menikmati hidangan atau setelah keperluan yang ada telah selesai.

Berkenaan dengan memenuhi undangan, daripada Ibnu Umar ra, Rasulullah saw bersabda:

“Apabila salah seorang di antara kalian mengundang saudaranya, baik jemputan pernikahan atau tujuan lain, maka hendaklah dipenuhi undangannya.”

(HR. Muslim)

▪️   Apabila meminta sesuatu keperluan daripada isteri-isteri baginda, hendaklah dilakukan dari balik tabir agar terpelihara aurat mereka.

Berikut adalah hadis-hadis yang menjelaskan tentang kaitan turunnya ayat ini dengan perintah berhijab:

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, Umar bin Al-Khattab ra berkata, “Rabbku bersetuju denganku dalam tiga perkara………(antaranya), “Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah! Sesungguhnya rumah isteri-isterimu itu dapat dimasuki oleh orang-orang baik dan fasik. Elok kiranya dibuat tabir untuk mereka.’ Maka turunlah ayat 53 ini…….”

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, daripada Anas bin Malik ra beliau berkata, “Ketika Rasulullah saw menikahi Zainab binti Jahsy ra, baginda mengundang manusia. Mereka makan dan duduk-duduk sambil bercakap-cakap. Saat itu Rasulullah saw bersiap-siap untuk memasuki ruangannya, namun mereka (para tetamu undangannya) belum juga pulang. Ketika baginda beranjak pergi, pada saat itu para tetamu pun pergi. Tinggallah tiga orang yang masih duduk di sana, maka Nabi pun masuk ke ruangan. Ternyata ketiga-tiga orang itu masih duduk di rumah tersebut. Setelah agak lama baru mereka beredar pulang. Kemudian aku menemui baginda untuk memberitahu kepulangan mereka. Maka baginda masuk ke ruangannya dan aku masuk ke ruangan sebelah. Lalu baginda membuat tirai antara aku dengannya. Saat itu turunlah firman Allah ayat 53 ini.”

▪️   Larangan menikahi Ummahatul Mukminin.

Pada ayat, “Larangan menyakiti Rasulullah saw,” bermaksud pengharaman kepada kaum muslimin menikahi Ummahatul Mukminin setelah kewafatan baginda.

Daripada Ibnu Abi Hatim, daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan bahawa ayat ini turun kerana timbul keinginan salah seorang sahabat untuk menikahi salah seorang daripada Ummahatul Mukminin setelah baginda wafat.

Allah Swt memberikan peringatan dan ancaman yang keras dalam perkara ini kerana keinginan dan perbuatan untuk memperisterikan isteri-isteri Rasulullah saw setelah baginda wafat adalah amat besar dosanya di sisi-Nya.

Ayat 54

إِن تُبْدُوا۟ شَيْـًٔا أَوْ تُخْفُوهُ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمًا

Jika kamu menyatakan sesuatu atau menyembunyikannya, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Sesungguhnya Allah Swt Maha Mengetahui segala sesuatu, baik yang nampak mahupun yang tersembunyi, apa yang telah ataupun yang belum terjadi. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi daripada-Nya dan semuanya berada dalam pengetahuan-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang tersembunyi di dalam dada.”

Ghafir 40:19