Hukum bagi Wanita yang Diceraikan sebelum Disetubuhi
Surah 33: Al-Ahzab (49)
Ayat 49
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا نَكَحْتُمُ ٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا ۖ فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya maka sekali-kali tidak wajib atas mereka iddah bagimu yang kamu minta menyempurnakannya. Maka berilah mereka mut’ah dan lepaskanlah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.
Allah Swt menjelaskan bahawa sekiranya seorang isteri ditalak (diceraikan) oleh suami sebelum disetubuhi, maka tidak ada iddah bagi isteri tersebut dan isteri tersebut dibolehkan untuk terus berkahwin dengan lelaki lain.
Namun setelah dijatuhkan talak, bekas isteri hendaklah diberikan mut’ah (hadiah) oleh bekas suami mengikut kemampuannya, sebagai ganti atas perasaan mereka yang sedih akibat perceraian itu. Bekas suami juga hendaklah melepaskan mereka kembali kepada keluarga mereka dengan baik tanpa disakiti.
Ada dua hukum yang berkaitan dengan mut’ah berdasarkan keadaan berikut:
▪️ Sekiranya jumlah mahar (mas kahwin) telah ditentukan pada masa akad, maka suami wajib memberikan separuh dari mahar itu seperti yang telah ditetapkan dalam ayat berikut:
“Jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu sudah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu……..”
Al-Baqarah 2:237
▪️ Sekiranya tidak ditetapkan jumlah mahar semasa akad, maka berilah mut’ah berdasarkan kedudukan suami itu. Ini telah disebut dalam ayat berikut:
“Tidak ada kewajipan membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya. Dan hendaklah kamu berikan suatu mut’ah (pemberian) kepada mereka. Orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula), iaitu pemberian menurut yang patut. Yang demikian itu merupakan ketentuan bagi orang-orang yang berbuat kebajikan.”
Al-Baqarah 2:237
Dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan melalui Sahl ibnu Sa’d ra dan Abu Usaid ra yang mengatakan bahawa sesungguhnya Rasulullah saw pernah menikahi Umaimah binti Syarahil, tetapi ketika Umaimah masuk ke ruangan Rasulullah, baginda menghulurkan tangannya kepadanya, kelihatan Umaimah tidak menyukainya, lalu baginda menceraikannya. Rasulullah saw pun keluar dan memerintahkan Abu Usaid mengemaskan barang-barang Umaimah dan baginda memberinya sepasang pakaian sebagai mut’ah.