Surah 33: Al-Ahzab (45 – 48)

Tugas Rasulullah saw

Surah 33: Al-Ahzab (45 – 48)


Ayat 45

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ إِنَّآ أَرْسَلْنَـٰكَ شَـٰهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا

Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan.

Dalam ayat 45-48 ini, Allah Swt menyebutkan beberapa tugas Nabi Muhammad saw, antaranya:

▪️   Menjadi saksi di akhirat kelak kepada umatnya yang telah diserunya sehingga mereka tidak dapat mengatakan bahawa baginda tidak menyeru mereka kepada risalah yang dibawanya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“……….dan Kami datangkan engkau (Muhammad) sebagai saksi ke atas mereka.”

An-Nisa’ 4:41

“……….agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu……….”

Al-Baqarah 2:143

▪️   Menyampaikan berita gembira tentang syurga bagi orang-orang mukmin yang taat kepada Allah Swt.

▪️   Memberi peringatan dan ancaman tentang neraka yang disediakan untuk orang-orang yang kufur.

Ayat 46

وَدَاعِيًا إِلَى ٱللَّهِ بِإِذْنِهِۦ وَسِرَاجًا مُّنِيرًا

Dan untuk menjadi penyeru kepada (agama) Allah dengan izin-Nya dan sebagai cahaya yang menerangi.

▪️   Menyeru manusia kepada agama Allah Swt dan mengesakan-Nya serta mentaati-Nya kerana itulah yang diizikan dan diperintahkan-Nya.

▪️   Baginda diumpamakan sebagai lampu yang terang benderang membawa cahaya yang menyinari manusia dan membawa mereka keluar daripada kegelapan kebatilan kepada cahaya petunjuk dan keimanan.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“(Dengan mengutuskan) seorang Rasul (Muhammad) yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang beriman kepada Allah dan beramal soleh daripada kegelapan (kesesatan) kepada cahaya (petunjuk)……….”

At-Talaq 65:11

Ayat 47

وَبَشِّرِ ٱلْمُؤْمِنِينَ بِأَنَّ لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَضْلًا كَبِيرًا

Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang beriman bahawa sesungguhnya bagi mereka kurniaan yang besar daripada Allah.

▪️   Menyampaikan berita gembira kepada orang-orang beriman bahawa mereka pasti akan mendapat kurniaan yang besar daripada Allah Swt berupa syurga dan segala kenikmatan yang ada di dalamnya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.”

Al-Anbiya’ 21:107

Ayat 48

وَلَا تُطِعِ ٱلْكَـٰفِرِينَ وَٱلْمُنَـٰفِقِينَ وَدَعْ أَذَىٰهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا

Dan janganlah kamu (Muhammad) menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik itu, janganlah kamu hiraukan gangguan mereka. Dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pelindung.

▪️   Tetap dan tegas atas syariat yang dibawa serta tidak menuruti kemahuan orang-orang kafir yang ingkar terhadap risalah baginda atau orang-orang munafik yang berpura-pura menampakkan keislaman mereka.

▪️   Meneruskan dakwah, tidak membalas gangguan terhadap sikap mereka yang menyakitkan hati tetapi memaafkan dan mengabaikan sahaja perilaku buruk mereka terhadap baginda.

▪️   Menyerahkan segala urusan kepada Allah Swt dengan bersandarkan kepada-Nya kerana sesungguhnya Dia pasti akan menolong dan memenangkan agama-Nya serta menjaga serta melindungi baginda.