Hukum Berkaitan dengan Anak Angkat Rasulullah saw, Zaid bin Harithah dan Pernikahan Baginda dengan Zainab binti Jahsy
Surah 33: Al-Ahzab (37 – 40)
Ayat 37
وَإِذْ تَقُولُ لِلَّذِىٓ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِ وَأَنْعَمْتَ عَلَيْهِ أَمْسِكْ عَلَيْكَ زَوْجَكَ وَٱتَّقِ ٱللَّهَ وَتُخْفِى فِى نَفْسِكَ مَا ٱللَّهُ مُبْدِيهِ وَتَخْشَى ٱلنَّاسَ وَٱللَّهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَىٰهُ ۖ فَلَمَّا قَضَىٰ زَيْدٌ مِّنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَـٰكَهَا لِكَىْ لَا يَكُونَ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ حَرَجٌ فِىٓ أَزْوَٰجِ أَدْعِيَآئِهِمْ إِذَا قَضَوْا۟ مِنْهُنَّ وَطَرًا ۚ وَكَانَ أَمْرُ ٱللَّهِ مَفْعُولًا
Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada orang yang Allah telah limpahkan nikmat kepadanya dan kamu (juga) telah memberi nikmat kepadanya, “Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah,” sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedangkan Allah-lah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap Isterinya (menceraikannya), Kami nikahkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (menikahi) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya terhadap isterinya. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.
Maksud ayat, “Orang yang Allah telah limpahkan nikmat kepadanya,” ialah Zaid bin Harithah bekas hamba Rasulullah saw yang Dia berikan nikmat Islam dan mengikuti petunjuk Rasulullah saw.
Manakala maksud ayat, “Dan kamu (juga) telah memberi nikmat kepadanya,” ialah Rasulullah saw juga membebaskan Zaid bin Harithah daripada perhambaan dan menjadikannya anak angkat baginda.
Dalam ayat ini, Allah Swt menceritakan bahawa Rasulullah saw telah menasihati Zaid agar mempertahankan perkahwinannya dengan Zainab binti Jahsy dengan tidak menceraikannya tetapi hendaklah bertakwa kepada Allah Swt dan bersabar dalam menjalani hidup berumahtangga meskipun isterinya kurang menghormatinya.
Sedangkan Rasulullah saw menyembunyikan dalam hatinya apa yang Allah Swt telah tetapkan berupa keputusan bahawa Zaid pasti akan menceraikan Zainab bin Jahsy dan baginda akan menikahinya kerana Allah Swt telah pun memberitahu berita tersebut kepada baginda.
Ketika itu baginda berasa bimbang terhadap percakapan dan kritikan masyarakat Arab jahiliyyah kerana mengikut tradisi dan kebiasaan mereka, menikahi bekas isteri kepada anak angkat adalah terlarang disebabkan isteri kepada anak angkat telah dianggap sebagai menantu sendiri yang tidak boleh dinikahi walaupun setelah diceraikan oleh anak angkat mereka. Tradisi dan adat kebiasaan ini mempunyai kesan dan pengaruh besar terhadap masyarakat Arab pada masa itu.
Ibnu Jarir meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra, dia berkata, “Seandainya Nabi Muhammad saw menyembunyikan sesuatu daripada apa yang diwahyukan kepada baginda, tentu baginda akan menyembunyikan ayat ini.”
Kemudian Allah Swt melaksanakan hukum pernikahan Zainab binti Jahsy dengan Rasulullah saw setelah Zainab diceraikan dan apabila berakhir iddahnya. Ini bermakna yang menikahkan mereka adalah Allah Swt secara langsung.
Diriwayatkan daripada Anas ra, ketika iddah Zainab ra telah berakhir, Rasulullah saw bersabda kepada Zaid ra:
“Pergilah ke rumah Zainab dan katakan aku akan meminangnya.”
Maka Zaid pun bertolak ke rumah Zainab yang pada ketika itu dia sedang membuat adunan roti. Zaid berkata, “Ketika aku melihatnya, keadaannya berbeza, sehingga aku tidak kuasa memandangnya. Kemudian aku membelakanginya dan berkata kepadanya, ‘Wahai Zainab, bergembiralah, Rasulullah saw telah mengutusku untuk meminangmu.’ Zainab menjawab, ‘Aku tidak akan melakukan apa-apa tindakan pun sehingga aku memohon petunjuk Rabbku.’ Zainab bangun menuju ke ruangan solat. Saat itu turunlah ayat 37 ini. Kemudian Rasulullah saw terus masuk menemuinya tanpa meminta izin (kerana dalam pandangan Allah, Zainab telah sah menjadi isteri Rasulullah).”
(HR. Ahmad)
Diriwayatkan oleh Imam Muslim setelah pernikahan tersebut turunlah ayat berkaitan dengan hijab:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali jika kamu diizinkan untuk makan tanpa menunggu waktu masak (makanannya), tetapi jika kamu dipanggil maka masuklah dan apabila selesai makan, keluarlah kamu tanpa memanjangkan percakapan. Sesungguhnya itu mengganggu Nabi sehingga dia (Nabi) malu kepadamu (untuk menyuruhmu keluar), dan Allah tidak malu (menerangkan) yang benar. Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. (Cara) yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) menikahi isteri-isterinya selama-lamanya setelahnya (Nabi wafat). Demikian itu sangat besar (dosanya) di sisi Allah.”
Al-Ahzab 33:53
Zainab binti Jahsy pernah membanggakan dirinya kepada para isteri Rasulullah saw kerana dia dinikahkan oleh Allah Swt langsung dari langit.
Hadis riwayat Al-Bukhari daripada Anas bin Malik ra, Zainab binti Jahsy berkata kepada isteri-isteri Rasulullah saw yang lain, “Kalian dinikahkan oleh wali-wali kalian, sedangkan aku dinikahkan secara langsung oleh Allah di atas tujuh lapis langit.”
Ayat ini merupakan dalil yang membenarkan orang-orang mukmin menikahi bekas isteri anak angkat mereka kerana Zaid ibnu Harithah adalah anak angkat baginda sehingga pernah dipanggil Zaid ibnu Muhammad. Lalu Allah memutuskan penyebutan Ibnu Muhammad dengan firman-Nya:
“……….Dan Dia tidak menjadikan anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataan di mulutmu sahaja. Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar). Panggillah mereka (anak angkat itu) dengan (menggunakan) nama bapa-bapa mereka, itulah yang adil di sisi Allah……….”
Al-Ahzab 33:4-5
Pernikahan ini merupakan hikmah kepada manusia kerana Islam menjelaskan hukum syariat dengan perlaksanaan perkahwinan baginda dengan Zainab binti Jahsy dan secara tidak langsung menghapuskan sistem anak angkat dan membatalkan semua hukum keturunannya yang telah diamalkan dan sebati dengan masyarakat jahiliyyah pada masa itu.
Ayat 38
مَّا كَانَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ مِنْ حَرَجٍ فِيمَا فَرَضَ ٱللَّهُ لَهُۥ ۖ سُنَّةَ ٱللَّهِ فِى ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلُ ۚ وَكَانَ أَمْرُ ٱللَّهِ قَدَرًا مَّقْدُورًا
Tidak ada keberatan apa pun pada Nabi tentang apa yang telah ditetapkan Allah baginya. (Allah telah menetapkan yang demikian) sebagai sunnah Allah kepada Nabi-nabi yang terdahulu. Dan ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku.
Maksud ayat ini bahawasanya tidak ada keberatan sedikit pun bagi Nabi Muhammad saw tentang apa yang Allah Swt halalkan dan perintahkan kepadanya iaitu menikahi Zainab binti Jahsy yang diceraikan oleh anak angkatnya. Segala ketetapan-Nya pasti terjadi dan tidak dapat di tolak atau dihindari.
Ayat 39
ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَـٰلَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَخْشَوْنَهُۥ وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَ ۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبًا
Iaitu orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan tidak berasa takut kepada sesiapa pun selain Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.
Allah Swt sangat memuji para Rasul yang menyampaikan syariat-syariat-Nya kepada manusia dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Mereka memiliki sifat-sifat yang sempurna iaitu hanya takut kepada-Nya. Mereka takut untuk meninggalkan tugas menyebarkan agama Islam kerana Dia-lah yang akan melindungi mereka daripada segala bahaya yang akan menimpa.
Cukuplah Allah Swt sahaja yang akan menolong dan memelihara mereka dalam menjalankan urusan pekerjaan hamba-hamba-Nya untuk Dia perhitungkan dan Dia berikan balasannya kepada mereka. Jika amalan mereka baik, maka dibalas dengan kebaikan, jika amalan buruk, maka akan dibalas dengan keburukan.
Ayat 40
مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَآ أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَـٰكِن رَّسُولَ ٱللَّهِ وَخَاتَمَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمًا
Muhammad bukanlah bapa kepada salah seorang di antara kamu, tetapi dia adalah utusan Allah dan penutup para Nabi. Dan adalah Allah itu Maha Mengetahui segala sesuatu.
Ayat ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad saw bukanlah bapa kepada Zaid bin Harithah dan Zaid pula bukanlah anak kandung baginda. Baginda merupakan utusan Allah Swt dan penutup para Nabi dan Rasul.
Ayat ini juga mematahkan percakapan, sindiran dan penilaian yang keliru oleh masyarakat Arab jahiliyyah yang mengatakan Rasulullah saw menikahi janda anaknya sendiri iaitu bekas isteri Zaid bin Harithah, anak angkat baginda.
Allah Swt Maha Mengetahui segala sesuatu dan segala urusan. Sesungguhnya semua perancangan-Nya adalah terbaik dan sempurna.
Setelah turun ayat ini, Allah Swt melarang memanggil Zaid dengan panggilan Zaid bin Muhammad kerana Nabi Muhammad saw bukanlah ayah kepada salah seorang sahabat. Baginda tidak memiliki anak lelaki yang hidup sampai umur baligh dan dewasa.
Rasulullah saw adalah utusan Allah Swt seperti firman-Nya:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua…………….”
Al-A’raf 7:158
Beberapa hadis yang menjelaskan bahawa baginda juga merupakan penutup para Nabi:
Daripada Ubay bin Ka’ab ra, Rasulullah saw bersabda:
“Perumpamaan aku dengan Nabi yang lain seperti seorang lelaki yang membina rumah kemudian rumah itu dia perindahkan dan dia sempurnakan. Namun pada bangunan rumah itu, dia tinggalkan sebuah tempat kosong yang mesti diisi oleh sebuah bata yang tidak diletakkannya. Saat itu manusia mengelilingi bangunan itu sambil berasa kagum dengan keindahannya. Mereka berkata, ‘Seandainya tempat kosong ini dapat diisi dengan sebuah bata nescaya akan sempurna keindahannya.’ Maka perbandingan dengan Nabi lain, akulah bata yang menyempurnakan tempat yang kosong tadi.”
(HR. Ahmad)
Daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah saw bersabda:
“Kerasulan dan kenabian sungguh telah terputus, tidak ada Rasul setelah ini dan tidak pula ada Nabi……….”
(HR. Ahmad)