Peperangan Bani Quraizah
Surah 33: Al-Ahzab (26 – 27)
Ayat 26
وَأَنزَلَ ٱلَّذِينَ ظَـٰهَرُوهُم مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ مِن صَيَاصِيهِمْ وَقَذَفَ فِى قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعْبَ فَرِيقًا تَقْتُلُونَ وَتَأْسِرُونَ فَرِيقًا
Dan Dia menurunkan orang-orang ahli kitab (Bani Quraizah) yang membantu mereka (golongan-golongan yang bersekutu) daripada benteng-benteng mereka, dan Dia memasukkan rasa takut ke dalam hati mereka. Sebahagian daripada mereka kamu bunuh dan sebahagian kamu tawan.
Setelah golongan-golongan yang bersekutu itu kucar-kacir, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menghancurkan Bani Quraizah (ahli kitab yang membantu pihak bersekutu melawan pihak yang beriman) dan menghalau mereka dari benteng-benteng mereka.
Allah Swt memasukkan perasaan takut ke dalam hati Bani Quraizah, sehingga mereka pun kalah. Tentera mukmin diarahkan membunuh sebahagian daripada mereka dan menawan sebahagian yang lain untuk dijadikan tawanan.
Ayat 27
وَأَوْرَثَكُمْ أَرْضَهُمْ وَدِيَـٰرَهُمْ وَأَمْوَٰلَهُمْ وَأَرْضًا لَّمْ تَطَـُٔوهَا ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرًا
Dan Dia mewariskan kepada kamu tanah-tanah, rumah-rumah dan harta benda mereka, dan (begitu juga) tanah yang belum kamu pijak. Dan Allah Maha Kuasa terhadap segala sesuatu.
Allah Swt menjadikan semua harta rampasan perang (ghanimah) seperti tanah-tanah, ladang-ladang, rumah-rumah dan harta kekayaan menjadi milik orang mukmin. Mereka juga diwariskan dengan tanah yang belum mereka pijak sebelumnya iaitu tanah wilayah Khaibar, namun ada juga pendapat yang mengatakan Parsi dan Rom. Manakala Ibnu Jarir mengatakan termasuk ketiga-tiga wilayah tersebut.
Allah Swt Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu. Dia mentakdirkan apa sahaja yang Dia kehendaki. Oleh itu, Dia memberikan kuasa mewarisi, memerintah dan memberikan pertolongan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, tidak ada sesuatu pun yang dapat melemahkan-Nya. Dia tidak akan menyalahi atau mengingkari janji-janji yang telah ditetapkan-Nya firman-Nya dalam ayat-ayat yang lain:
“(Itulah) janji Allah. ‘Allah tidak akan memungkiri janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.’”
Ar-Rum 30:6
“Dan mereka berkata, ‘Maha Suci Rabb kami, sesungguhnya janji Rabb kami pasti dipenuhi.’”
Al-Isra’ 17:108
“Wahai manusia, sesungguhnya janji Allah itu benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah (syaitan) yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.”
Fatir 35:5